KELUASAN kediaman yang sederhana memberi keselesaan kepada keluarga Muhammad Shafiq.
KELUASAN kediaman yang sederhana memberi keselesaan kepada keluarga Muhammad Shafiq.
Muhamaad Razis Ismail

Kebiasaannya, pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, antara perkara terawal yang akan dilakukan adalah mencari kediaman untuk tinggal bersama.

Bagaimanapun, bukan semua dapat berbuat demikian atas beberapa faktor termasuk kekangan kewangan berikutan harga atau kadar sewa rumah yang tinggi terutama di kawasan mempunyai kos sara hidup yang tinggi.

Situasi ini sudah pasti membebankan terutama pasangan muda yang ingin memulakan hidup bersama.

Ada dalam kalangan mereka perlu tinggal bersama ahli keluarga sementara memiliki sumber kewangan yang kukuh.

Perkara sama turut dilalui Muhammad Shafiq Sulini, 24, dan isterinya, Nur Anis Arina Azhari 23, yang mendirikan rumah tangga pada usia awal 20-an tiga tahun lalu.

Mengikut perancangan awal selepas mendirikan rumah tangga mereka berhasrat ingin tinggal menyewa.

KEDIAMAN pertama jenis pangsapuri milik Muhammad Shafiq.
KEDIAMAN pertama jenis pangsapuri milik Muhammad Shafiq.

Bagaimanapun, disebabkan kadar sewa yang tinggi di Pulau Pinang, keluarga meminta mereka tinggal bersama sementara menemui kediaman yang sesuai.

Muhammad Shafiq berkata, sebelum mendirikan rumah tangga, mereka sudah merancang untuk tinggal menyewa di kawasan berhampiran.

"Bagaimanapun, keluarga tidak memberi keizinan kerana harga rumah sewa sangat tinggi. Keluarga memahami pasangan muda masih belum mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

"Oleh itu, kami mengambil keputusan untuk tinggal bersama keluarga, sementara saya mengumpul wang dan mencari kediaman yang sesuai dengan bajet kami," katanya.

Dia menyedari tidak boleh duduk selama-lamanya dengan keluarga dan perlu keluar dari zon selesa untuk berdikari dan belajar sendiri erti kehidupan.

"Saya mencuba nasib membuat permohonan memiliki rumah pertama dari Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang secara kaedah sewa beli.

PASARAYA yang terletak berhampiran kediaman memudahkan urusan membeli keperluan keluarga.
PASARAYA yang terletak berhampiran kediaman memudahkan urusan membeli keperluan keluarga.

"Namun saya sedar bukan mudah untuk mendapat kelulusan kerana syarat yang ketat dan ramai turut membuat permohonan sama.

"Dua kali saya cuba memohon dan Alhamdulillah, selepas dua tahun, tanpa disangka permohonan diluluskan untuk memiliki sebuah kediaman jenis pangsapuri di Balik Pulau dengan harga RM42,000 pada November tahun lalu," katanya.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, dia bersyukur pemilikan kediaman melalui kaedah sewa beli ini tidak memerlukan kos yang tinggi.

Katanya, sebelum masuk ke kediaman itu pada Januari lalu, dia mula membuat pengubahsuaian yang dilaksanakan secara berperingkat.

"Biarpun dapat berjimat daripada segi wang pendahuluan dan kos peguam, modal diperlukan untuk membuat pengubahsuaian kediaman.

"Saya tumpukan pengubahsuaian yang penting dahulu untuk keselesaan dan keselamatan keluarga termasuk memasang pintu jeriji, kipas dan lampu. Apabila sudah tinggal di situ, saya membuat pengubahsuaian lantai dan hiasan di dinding.

MUHAMMAD Shafiq (kiri) bersama keluarganya.
MUHAMMAD Shafiq (kiri) bersama keluarganya.

"Insya-Allah, jika diberikan rezeki, saya ingin memasang kabinet dapur sebagai hadiah kepada isteri," katanya.

Mengulas lanjut, dia merasakan pembelian aset itu sangat berbaloi kerana memenuhi cita rasa kediaman yang diinginkan selain terletak di lokasi yang agak strategik.

"Keluasan kediaman yang sederhana membabitkan 650 kaki persegi dengan dilengkapi ruang tamu, tiga bilik tidur, bilik air dan tandas amat sesuai untuk keluarga kecil kami.

"Pada masa sama, lokasi kediaman juga berada berhampiran dengan pelbagai kemudahan asas termasuk sekolah dan juga pasar raya," katanya.

Jelasnya, apabila membeli kediaman, pengurusan kewangan amat penting untuk memastikan bayaran bulanan kediaman tidak berdepan masalah.

"Sebagai ketua keluarga, saya juga bertanggungjawab memastikan segala keperluan keluarga mencukupi. Dalam soal kewangan perlu disiplin dalam menguruskan gaji. Mujurlah, isteri juga banyak membantu," katanya.

Dia menasihatkan kepada yang berpeluang untuk memiliki kediaman pertama supaya tidak teragak-agak berbuat demikian untuk keselesaan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 7:00 AM