FARIS Yahaya bersama para penerima hadiah cabutan bertuah di Majlis penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah untuk Residensi Suasana Damai yang diadakan di Refflesia Sales Gallery, Damansara Perdana. FOTO Eizairi Shamsudin
FARIS Yahaya bersama para penerima hadiah cabutan bertuah di Majlis penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah untuk Residensi Suasana Damai yang diadakan di Refflesia Sales Gallery, Damansara Perdana. FOTO Eizairi Shamsudin
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Petaling Jaya: Dalam menghadapi 'iklim' ekonomi kian mencabar, pemaju hartanah perlu sentiasa sensitif dengan kemampuan terhad pengguna bagi membeli produk dihasilkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MK Land, Datuk Faris Yahaya berkata, setiap pemaju hartanah perlu responsif dalam mengimbangi antara kualiti kediaman dengan kos yang mampu dikeluarkan pembeli.

"Seperti mana yang kita tahu ekonomi kini lebih mencabar dan pendapatan boleh guna setiap keluarga menguncup.

"Apabila menguncup, pengguna akan memilih atau membeli rumah mampu milik. Oleh itu pemaju hartanah perlu sentiasa sensitif dengan kemampuan pembeli untuk membeli produk (kediaman)," katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah Bagi Residensi Suasana Damai di sini, tadi.

Tambah beliau, sebagai pemaju, pihaknya tidak boleh mengambil sikap pentingkan keuntungan semata-mata.

Nama baik MK Land menjadi antara faktor pembeli mempercayai produk syarikat.

"Pembeli sedar reputasi syarikat amat penting, kualiti pembinaan serta projek harus siap dalam tempoh ditetapkan adalah antara jaminan yang diberikan oleh MKLand untuk pembeli kami," katanya.

Walaupun perlu membuat beberapa langkah penjimatan kos, Faris berkata, MK Land tidak abaikan kualiti dan keselamatan.

Selain itu, menurut Faris, MK Land mengutamakan kemudahan infra untuk pembeli bagi memastikan bakal penduduk akan menikmati pelbagai kemudahan.

Selain itu katanya, janji yang diberikan kepada pembeli juga hendaklah ditepati oleh setiap pemaju rumah.

"Bila kita janji semasa dia beli rumah (contohnya akan siap dalam dua tahun) kita kena siapkan rumah itu dalam dua tahun," katanya.

Mengulas mengenai majlis cabutan bertuah, ia adalah bagi meraikan kejayaan Kempen X50 yang diadakan oleh MK Land, bermula pada 1 Februari 2021 dan berakhir pada 9 Jun lalu.

Katanya, cabutan bertuah ini dibuat untuk menarik lebih ramai pembeli menempah unit di Residensi Suasana Damai.

"Ia terbuka kepada pembeli yang menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) dan mendapat kelulusan pinjaman dalam tempoh 30 hari dari tarikh tempahan unit dibuat," katanya.

Beliau berkata, objektif utama kempen cabutan bertuah itu diadakan adalah untuk memberikan ganjaran sekali gus menghargai pembeli yang membeli unit kediaman di Residensi Suasana Damai.

Faris memaklumkan, seramai 125 pembeli layak menyertai cabutan bertuah ini dan hadiah utama yang ditawarkan adalah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 bernilai RM90,000.

Dalam majlis itu, pembeli bertuah, Mohammad Ilham Eddie Rosman, 27, berasal dari Sabah memenangi sebuah kenderaan SUV Proton X50.

Pengurus kewangan itu berkata, dia baru menerima kunci rumah yang dibeli bulan lalu dan dalam proses mencari kenderaan baru untuk keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 4:43 PM