PEMERIKSA kediaman kompeten mempunyai kepakaran memeriksa kerosakan dan kecacatan rumah.
PEMERIKSA kediaman kompeten mempunyai kepakaran memeriksa kerosakan dan kecacatan rumah.
Muhamaad Razis Ismail


KEBIASAANNYA apabila memperoleh kunci, antara perkara pertama yang ingin dilakukan pemilik adalah menata hias dan mengubah suai rumah mengikut konsep diimpikan.

Bagaimanapun, dalam keterujaan itu, ramai yang terlepas pandang keperluan untuk memeriksa dahulu kerosakan atau kecacatan di rumah sebelum kerja menata hias dan mengubah suai rumah dilakukan.

Langkah ini amat penting untuk mengelakkan kerugian yang terpaksa ditanggung selama tempoh liabiliti kecacatan ataupun dikenali sebagai 'defect liability period' (DLP) selama 24 bulan.

Dalam tempoh itu, pemaju perlu membaiki kecacatan dan kerosakan menerusi laporan yang dibuat tanpa mengenakan caj tambahan.

Pemeriksa kediaman bertauliah, Vennu Anand berkata, pengalaman selama sembilan tahun terbabit dalam bidang memeriksa kerosakan rumah, didapati ramai pemilik melakukan kesalahan sama.

"Keterujaan mereka selepas memperoleh kunci adalah terus membuat pelbagai pengubahsuaian rumah tanpa memeriksa kerosakan dan kecacatan rumah.

"Masalah timbul, apabila rumah yang sudah diubah suai, ia mula didiami dan mendapati ada beberapa kerosakan serta kecacatan yang tersembunyi. Ia termasuk keretakan pada pintu gelongsor, pendawaian elektrik yang tidak selamat dan sebagainya.

"Apabila tuntutan dibuat, ada dalam kalangan pemaju enggan membuat pembaikan kerana beranggapan kerosakan itu berpunca daripada kerja pengubahsuaian rumah yang dilakukan pemilik," katanya.

Menurutnya, keadaan ini menyebabkan pemilik terpaksa mengeluarkan kos tambahan membaiki kerosakan dan kecacatan rumah.

"Saya kasihan kepada pemilik yang berdepan masalah ini kerana baru berhabis puluhan ribu ringgit untuk mengubah suai rumah, tapi terpaksa pula mengeluarkan wang tambahan untuk membaik pulih.

"Tambahan pula, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, harga bahan binaan meningkat secara mendadak dan ia pasti membebankan pemilik rumah," katanya.

Justeru itu, beliau yang juga Pengarah Urusan Dr Defect menasihatkan pemilik memanfaatkan tempoh liabiliti kecacatan untuk memastikan kerosakan rumah dibaiki pemaju.

"Berbanding perlu mengeluarkan belanja besar untuk membaiki sendiri rumah, pemilik dinasihatkan memeriksa rumah sebaik saja memperoleh kunci.

"Pemilik boleh memeriksa sendiri atau mengeluarkan sedikit wang menggunakan khidmat pemeriksa rumah yang kompeten.

"Pemeriksa rumah melakukan pemeriksaan menyeluruh termasuk lantai, dinding dan bumbung untuk membantu pemilik mengenal pasti kerosakan dan kecacatan sama ada secara jelas atau tersembunyi selain menyediakan laporan lengkap sebelum tuntutan dibuat kepada pemaju," katanya.

Sepanjang terbabit dalam bidang itu, beliau mengakui kesedaran masyarakat untuk membuat pemeriksaan rumah masih berada pada tahap kurang memuaskan.

"Atas sebab itu, saya aktif menggunakan platform media sosial bukan semata-mata mempromosikan perkhidmatan disediakan, namun lebi

h kepada berkongsi ilmu dan kesedaran berkenaan kepentingan memeriksa rumah.

"Keperluan memeriksa kerosakan dan kecacatan rumah bukan untuk mengelakkan kerugian serta keselesaan semata-mata, namun lebih penting adalah untuk menjamin keselamatan penghuninya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 6:45 AM