RUANG menjadi faktor pembelian kediaman.
RUANG menjadi faktor pembelian kediaman.
Hafiz Ithnin


"Pengurusan kewangan paling penting untuk memiliki kediaman," jelas lelaki berusia 45 tahun itu ketika ditanya penulis mengapa beliau mengambil masa yang lama untuk memiliki rumah pertama.

Fadzley Izwan Abdul Manaf dan isterinya, Shafira Mazalan membeli rumah pertama mereka selepas sepuluh tahun mendirikan rumah tangga. Sepanjang tempoh itu, mereka memilih untuk menyewa.

Meskipun dalam kalangan rakan-rakan mereka yang berumahtangga dan sudah memiliki rumah sendiri lebih awal, perkara itu tidak sedikit pun memberi tekanan kepada pasangan suami isteri itu.

Bagi pasangan itu, membeli kediaman memerlukan penilaian yang betul kerana ia membabitkan pembiayaan jangka masa panjang dan perlu melihat kesesuaian dengan poket peribadi.

Selain itu, Fadley percaya apabila tiba masa yang sesuai untuk mereka membeli kediaman (kesesuaian aliran tunai peribadi), tindakan seterusnya hanya memilih sahaja produk kediaman yang diinginkan mengikut bajet sendiri.

Akhirnya pada 2019, pasangan itu memutuskan untuk memiliki kediaman teres dua tingkat yang mempunyai sistem berpagar taman dan dikelilingi projek kediaman dan pusat komersial yang sudah matang di Kajang, Selangor.

Menceritakan kisah dia membeli kediaman itu, Fadley berkata, pada tahun berkenaan, dia membuat tinjauan sebuah projek di Negeri Sembilan tetapi disebabkan rasa kurang sesuai dengan cita rasa, pada hari sama dia mengunjungi projek kediaman yang dibelinya.

"Sebaik sahaja melihat kedudukan, saiz, kemudahan dan kedudukan yang strategik, saya serta isteri terus membayar wang deposit. Tambahan, projek kediaman kami ini dibangunkan sebuah syarikat pemaju yang agak terkenal.

"Bagi saya ciri-ciri ini antara faktor yang mendorong saya dan isteri mengambil keputusan untuk terus membayar wang tempahan serta deposit. Selain itu, pakej jualan yang ditawarkan agak menarik untuk pembeli rumah pertama seperti kami," katanya.

Meskipun pasangan itu berkerja di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur dan perlu berulang-alik setiap hari ke kediaman mereka di Kajang, namun mereka merasakan perkara itu bukan menjadi penghalang.

Katanya, dia sudah biasa dengan persekitaran di Kajang terutama di Bandar Baru Bangi memandangkan sebelum ini menuntut di institusi pengajian tinggi di kawasan itu dan Kajang sememangnya menjadi perhatian utama untuk memiliki kediaman.

"Tambahan pula, saya ke tempat kerja menaiki motosikal dan jika memandu sekali pun hanya mengambil masa sekitar 45 minit atau sejam ke tempat kerja sekiranya waktu sesak. Bagi saya Kajang dan Kuala Lumpur tidaklah jauh sangat dan ramai penduduk di kawasan ini bekerja di ibu negara.

MEMBELANJAKAN hampir RM300,000 untuk ubah suai dan pembelian perabot.
MEMBELANJAKAN hampir RM300,000 untuk ubah suai dan pembelian perabot.

"Paling penting ialah kawasan yang dihuni kita ini selesa dan mampu memberi ketenangan apabila pulang dari kerja kerana projek kediaman saya ini tidak mempunyai kepadatan yang tinggi," katanya.

Bercerita lanjut, katanya, persekitaran kediaman yang dibelinya amat menarik kerana ia mempunyai keselamatan perumahan berpagar taman sudah semestinya boleh menjamin keselamatan penduduk.

"Keselamatan juga antara perkara yang saya titik beratkan kerana di dalam kawasan ini mempunyai taman permainan dan tempat riadah untuk penduduk. Jadi apabila kawasan berpagar saya merasa selamat untuk membiarkan anak-anak bermain di taman permainan.

"Selain itu, pengunjung juga tidak mudah untuk masuk ke kawasan ini kerana mereka perlu mendapat kebenaran daripada penghuni kediaman itu sendiri," katanya.

Jelasnya, lokasi kediaman yang mempunyai persekitaran komersial yang sudah matang sudah semestinya menjadi antara faktor tarikan kerana ia memudahkan kehidupan seharian seperti mempunyai pusat komersial, sekolah dan hubungan jalan raya.

Pada masa sama, saiz kediaman menjadi tarikan untuk beliau membeli kediaman itu kerana pada harga yang dibeli sekitar RM600,000 dengan saiz kira-kira 1,760 kaki persegi dan mempunyai pelbagai kemudahan seperti itu agak sukar didapati di sekitar ibu negara.

"Bagi saya keputusan membeli kediaman ini adalah agak tepat kerana ia mempunyai harga yang berbaloi dengan bajet kami, saiz yang agak besar serta kemudahan yang ditawarkan juga menarik," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 7:00 AM