KADAR faedah bank ditentukan OPR yang menentukan rangka kerja hala tuju kewangan negara. - FOTO Eizairi Shamsudin
KADAR faedah bank ditentukan OPR yang menentukan rangka kerja hala tuju kewangan negara. - FOTO Eizairi Shamsudin
HM Digital

APAKAH kadar dasar semalaman (OPR)?

OPR ialah kadar faedah yang ditetapkan bank pusat, Bank Negara Malaysia (BNM) yang menentukan kadar faedah untuk institusi kewangan yang meminjamkan wang antara satu sama lain untuk tempoh satu malam.

Dalam operasi harian, rizab wang tunai bank berubah-ubah, bergantung kepada aktiviti peminjaman yang berlaku dalam bank dan deposit serta pengeluaran wang yang dibuat pelanggannya.

Mungkin aplikasi OPR ini nampak macam muslihat pindah milik dan alir tunai biasa, tetapi keperluan pinjaman serta bayaran pinjaman tunai mengikut hari ini penting untuk sistem kewangan makro berfungsi dengan lancar. Malah ia juga beri kesan kepada kadar faedah pinjaman.

Bank akan bergantung kepada pinjaman sebagai aktiviti perniagaan yang penting untuk tujuan keseimbangan akaun terutama kesediaan rizab tunai sebagai syarat asas penilaian nisbah dan kredit kecairan mengikut syarat ditetapkan BNM.

Kadangkala ia dipanggil Keperluan Rizab (Reserve Requirement) iaitu jumlah tunai yang sesebuah bank perlu ada pada satu-satu masa.

Kadar faedah bank ditentukan OPR yang menentukan rangka kerja hala tuju kewangan negara untuk memastikan keseluruhan institusi kewangan mempunyai bekalan tunai yang stabil dan mencukupi.

Disebabkan OPR adalah perkara asas yang memastikan fungsi perbankan boleh terus berjalan, perubahan kadar OPR akan bagi kesan kepada keseluruhan komponen dalam sistem ekonomi negara, bukan setakat kadar pinjaman sahaja. Contohnya pengangguran dan inflasi harga barangan.

Lebih tinggi OPR ditetapkan, lebih tinggi kos pinjaman. Lebih tinggi kos pinjaman, semakin terhad peluang pembiayaan modal untuk individu serta perniagaan.

Apabila semakin sukar untuk meminjam, semakin berkurangan aktiviti yang boleh dibuat kerana modal tak ada. Tidak terkecuali kesan ini dalam sektor perumahan kepada pembeli dan pemaju.

PINJAMAN boleh ubah adalah pilihan yang tepat buat masa sekarang. - FOTO Google
PINJAMAN boleh ubah adalah pilihan yang tepat buat masa sekarang. - FOTO Google

WALAUPUN kadar OPR dinaikkan, ia masih membuka akses pinjaman rumah baharu kepada bakal pembeli. - FOTO Google
WALAUPUN kadar OPR dinaikkan, ia masih membuka akses pinjaman rumah baharu kepada bakal pembeli. - FOTO Google

Sebaliknya, pengurangan OPR akan bagi kesan positif pada keupayaan pemilikan modal, pengurangan faedah pembayaran bagi individu dan perniagaan kepada bank, menyebabkan lebih ramai boleh mendapatkan akses kepada pinjaman.

Apabila OPR turun atau naik, kadar faedah kepada pinjaman juga akan terkesan.

Pengurangan OPR akan bagi kesan pada peminjam sedia ada dengan kadar berbeza. Kadar itu masih tertakluk pada Kadar Asas (Base Rate) dan Kadar Pinjaman Asas (BLR).

Tak perlu kita pergi jauh untuk memahami hal kompleks dalam BR atau BLR, yang penting konsepnya apabila OPR berkurang atau naik, BR & BLR yang bank tetapkan juga akan berkurang atau naik sekali.

Maksudnya, perubahan baru-baru ni yang ditetapkan BNM mungkin memberi kesan pada beberapa jenis pembiayaan perumahan.

Walaupun kadar OPR dinaikkan, ia masih membuka akses pinjaman rumah baharu kepada bakal pembeli. Kadar tertinggi pernah direkodkan adalah pada 2008 apabila kadar OPR mencecah 3.5 peratus.

Dalam mempertimbangkan perkara ini, pembeli yang berminat mendapatkan pinjaman masih mampu mendapatkannya dengan kadar faedah rendah. Ia mungkin bukan yang terendah, tapi masih bersesuaian.

Kadar faedah untuk pinjaman boleh ubah lebih cepat disesuaikan berbanding pinjaman tetap. Realitinya, untuk pinjaman kadar tetap, tempoh masa yang panjang diperlukan sebelum kadar faedah berubah dengan ketara.

Jadi, kalau anda tengah cari pinjaman yang bersesuaian, pinjaman boleh ubah adalah pilihan yang tepat buat masa sekarang, berbanding pinjaman tetap yang akan mengambil masa lebih lama untuk disesuaikan. - SUMBER PROPERTYGURU

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 6:34 AM