PILIH pinjaman perumahan sesuai dengan keperluan serta kewangan anda dalam jangka panjang. - FOTO Google
PILIH pinjaman perumahan sesuai dengan keperluan serta kewangan anda dalam jangka panjang. - FOTO Google
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SEBELUM membuat pinjaman bagi membeli rumah, pilih bank yang menawarkan pulangan terbaik untuk keperluan anda.

Ambil masa teliti beberapa perkara dan fahami beberapa perkara asas sebelum membuat keputusan pinjaman terbaik untuk anda.

Antara aspek yang perlu diteliti adalah mengenai margin pembiayaan atau juga dikenali sebagai Margin of Financing (MOF).

Ia adalah peratusan daripada harga rumah yang ditawarkan untuk pembiayaan pinjaman perumahan.

Selalunya, bank atau institusi kewangan menawarkan MOF antara 85 peratus, 90 peratus dan 95 peratus (berbeza bagi setiap bank) bagi pembelian rumah pertama dan kedua.

Contohnya, harga rumah yang ingin dibeli adalah RM450,000 dan bank menawarkan MOF sebanyak 90 peratus maka anda boleh memohon pembiayaan atau pinjaman sehingga RM405,000.

Selain itu, tempoh terkunci juga tidak boleh dipandang remeh kerana dalam masa itu, peminjam tidak dibenarkan membuat pembayaran penuh, menjual atau membuat pembiayaan semula hartanah terbabit.

Kebiasaannya, tempoh terkunci ditetapkan bank sekitar tiga hingga lima tahun dan jika syarat itu dilanggar, peminjam boleh dikenakan penalti pada kadar tertentu.

AMBIL masa teliti beberapa perkara dan fahami beberapa perkara asas sebelum membuat keputusan pinjaman terbaik untuk anda. - FOTO Google
AMBIL masa teliti beberapa perkara dan fahami beberapa perkara asas sebelum membuat keputusan pinjaman terbaik untuk anda. - FOTO Google

Jadi, untuk mencari pinjaman rumah terbaik, pilih bank dengan tempoh terkunci paling sedikit terutama jika anda merancang ingin menjualnya dalam masa terdekat.

Peminjam juga perlu memahami apa itu fleksi, semi fleksi dan pinjaman asas sebelum memilih pinjaman daripada bank.

Ketiga-tiga jenis itu mempunyai cara berbeza bagi proses pembayaran semula dan kadar faedah.

Jenis fleksi misalnya membenarkan peminjam untuk lakukan bayaran tambahan bagi ansuran bulanan yang dikenakan bagi mengurangkan faedah yang dikenakan.

Pinjaman semi fleksi juga sama seperti fleksi iaitu boleh buat lebihan bayaran dan keluarkan lebihan itu jika diperlukan.

Manakala jenis pinjaman asas pula tidak mempunyai keistimewaan untuk mengurangkan kadar faedah dengan lebihan bayaran yang dilakukan.

Sementara itu, peminjam juga boleh memilih prinsip pinjaman Islamik yang sudah banyak disediakan institusi kewangan di negara ini.

Dua konsep pinjaman perumahan Islamik boleh dijadikan pilihan iaiitu Al-Bai' Bithaman Ajil atau Musharakah Mutanaqisah.

Jadi, fikir masak-masak sebelum membuat pilihan pinjaman sama ada jenis konvensional ataupun pembiayaan perumahan Islamik.

Luangkan masa melakukan perbandingan kerana setiap pinjaman itu adalah berbeza dan kenal pasti apa yang sesuai dengan keperluan serta kewangan anda dalam jangka panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 6:49 AM