BAKAL pembeli rumah perlu mempunyai ilmu supaya tidak terpedaya dengan penipuan individu tidak bertanggungjawab (gambar hiasan).
BAKAL pembeli rumah perlu mempunyai ilmu supaya tidak terpedaya dengan penipuan individu tidak bertanggungjawab (gambar hiasan).
Hafiz Ithnin


Pembeli rumah pertama terutamanya diingatkan supaya berhati-hati dalam urusan pembelian kediaman memandangkan ketika ini terdapat pelbagai taktik yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan.

Antara yang sering berlaku membabitkan pembayaran deposit, pemilihan unit yang berbaloi, pengubahan dokumen pembiayaan secara haram dan pendedahan maklumat peribadi pembeli kepada pihak lain.

Lebih membimbangkan isu penipuan itu berlaku di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi hartanah iaitu di Kuala Lumpur dan Selangor memandangkan lokasi berkenaan menjadi tumpuan ejen hartanah tidak berdaftar terutamanya mereka yang gemar penipuan.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) menerima peningkatan 30 peratus aduan pengguna yang ditipu broker hartanah haram.

Penemuan semasa juga menunjukkan Malaysia merekodkan 72,000 kes penipuan dengan kerugian berjumlah RM5.2 bilion antara tahun 2020 dan Mei 2022 yang mengakibatkan pelbagai kesan terhadap mangsa antaranya kerugian wang dan tempat tinggal.

Perkara itu yang dikongsikan Pengetua dan Rakan Kongsi Tia & Nordin, merangkap Naib Pengerusi Panel Penilai PropertyGuru Asia Awards Malaysia ke-9, Chris Tia.

Chris berkata, isu penipuan yang dinyatakan itu bukanlah sesuatu yang baharu berlaku dalam kalangan bakal pembeli tetapi ia tidak didedahkan secara meluas kepada orang ramai.

"Kes penipuan ini berlaku membabitkan ejen atau broker hartanah tidak berdaftar yang mensasarkan kebiasaannya pembeli baharu atau pertama yang kurang berpengalaman dalam urusan pembelian.

"Pembeli rumah pertama khasnya, mereka tidak mempunyai pengalaman atau ilmu yang cukup dalam urusan pembelian akan terdedah dengan risiko penipuan oleh ejen hartanah tidak berdaftar ini khasnya," katanya.

Misalnya, dalam kes penipuan menggelapkan wang deposit, bakal pembeli akan berurusan dengan dua ejen hartanah. Ejen pertama bertindak memperkenalkan produk dan ejen kedua menerima wang deposit.

"Apabila bakal pembeli bersetuju untuk membayar wang deposit atau tempahan, ejen pertama akan menyuruh pembeli untuk membayar wang itu kepada ejen kedua.

"Selesai urusan pembayaran, biasanya pembeli akan memaklumkan kepada ejen pertama. Namun, ejen pertama akan memaklumkan mereka tidak mendapat wang itu daripada ejen kedua atau ejen kedua menghilangkan diri.

"Seterusnya urusan pembelian tidak dapat diproses. Situasi penipuan ini antara yang paling biasa berlaku mengakibatkan wang pembeli hangus begitu sahaja," katanya.

Antara situasi lain ialah pengubahan dokumen untuk pembiayaan kediaman secara haram membabitkan ejen pembiayaan haram yang mengakibatkan bakal pembeli disenarai hitam pihak bank.

"Apabila bakal pembeli dilihat tidak layak untuk memohon pembiayaan, pihak ejen haram akan memperkenalkan pembeli kepada ejen pembiayaan haram. Ejen pembiayaan ini akan meminta dokumen peribadi bakal pembeli untuk diproses bagi mendapatkan pembiayaan.

"Namun, ejen pembiayaan ini akan mengubah dokumen peribadi berkenaan seperti pendapatan tahunan supaya permohonan pembeli itu dapat diluluskan. Bagaimanapun, apabila pihak bank mengetahui dokumen itu adalah palsu, bakal pembeli akan disenarai hitam selama 10 tahun daripada bukan sahaja satu bank tetapi pelbagai bank lain juga kerana permohonan dihantar lebih kepada lebih satu bank," katanya.

Chris berkata, dalam pengiklanan hartanah secara dalam talian juga, bakal pembeli turut terdedah dengan situasi apabila maklumat peribadi mereka dikongsi kepada pihak lain secara tidak bertanggungjawab.

Di dalam media sosial contohnya, terdapat pihak mengiklankan produk hartanah yang hanya menawarkan harga, saiz kediaman, jenis hartanah dan lokasi saja. Bakal pembeli akan diminta untuk mengisi nombor telefon supaya pihak 'ejen' akan meneruskan proses pertanyaan.

Malangnya, bakal pembeli akan menerima pelbagai khidmat pesanan ringkas daripada pelbagai pihak yang menawarkan produk kediaman yang berbeza seperti diiklan di media sosial.

"Malah, nombor telefon yang didaftarkan itu juga berpotensi dijual kepada pihak dalam perniagaan lain seperti pembiayaan atau kad kredit yang mengakibatkan bakal pembeli akan diganggu dengan pelbagai jenis iklan di telefon bimbit.

"Saya sarankan apabila seseorang itu berminat untuk membeli rumah, mereka boleh meninjau secara fizikal atau membuka laman web pihak pemaju sendiri untuk menghubungi mereka secara terus berbanding di laman media sosial yang kita tidak tahu pemilik akaun berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 7:00 AM