NORSURIYA bersama suami di hadapan kediaman yang dijadikan rumah tamu.
NORSURIYA bersama suami di hadapan kediaman yang dijadikan rumah tamu.
Muhamaad Razis Ismail


PERANCANGAN awal, wanita ini membeli rumah pertama di Kota Seribong, Kota Bharu untuk diduduki bersama suami dan enam anak.

Biarpun sudah memiliki rumah atas nama suami di Pasir Hor, Kota Bharu, Kelantan, namun rumah teres dua tingkat itu dibeli Norsuriya Muhamad Ghazali pada tahun lalu atas saranan suami sebagai aset kepada dirinya.

Bagaimanapun, selepas rumah itu diduduki selama seminggu mereka kembali ke rumah lama kerana tidak mempunyai halaman luas.

Siapa sangka bermula daripada itu, timbul idea untuk menjadikan rumah berkenaan sebagai rumah tamu yang mampu menjana pendapatan agak lumayan.

Norsuriya berkata, dia tidak terfikir untuk membeli rumah baharu kerana memiliki rumah yang diduduki sejak 2014.

Katanya, segalanya berubah pada 2020, apabila suami, Ahmad Mizan Mohamad Ideris berdepan masalah kesihatan sehingga terpaksa ditahan di wad di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian akibat komplikasi pembedahan membuang hempedu.

"Akibat daripada masalah kesihatan itu, suami pernah beberapa kali ditahan di wad HUSM.

"Oleh kerana itu, suami mencadangkan supaya saya memiliki rumah atas nama sendiri kerana sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku seperti kematian, rumah yang didiami pada ketika itu perlu melalui proses faraid," katanya.

PERSEKITARAN rumah yang kondusif.
PERSEKITARAN rumah yang kondusif.

Menurutnya, sejak itu, dia mula membuat carian dan menemui projek perumahan yang baharu dibuka di Kota Seribong, Kota Bharu.

"Saya tertarik dengan rumah ini kerana ia terletak di lokasi sangat strategik yang berhampiran sekolah, kedai, stesen minyak dan bandar Kota Bharu. Malah, untuk ke Wakaf Che Yeh hanya mengambil masa kira-kira lima minit.

"Selepas membuat pertimbangan termasuk komitmen bulanan, saya buat keputusan membeli rumah itu pada tahun lalu.

"Selepas proses ubah suai dalaman siap sepenuhnya, saya dan keluarga berpindah ke rumah baharu itu. Bagaimanapun, kami hanya tinggal di rumah itu selama seminggu sebelum berubah fikiran kembali ke rumah lama yang mempunyai halaman lebih luas untuk bercucuk tanam dan pelihara haiwan ternakan," katanya.

Katanya, oleh kerana tidak mahu rumah terbiar kosong, dia membuat keputusan menyewakan kediaman itu dan menjadikan sebagai rumah tamu.

"Pada awalnya, sambutan biasa-biasa sahaja, namun selepas promosi di Facebook, TikTok carian Google dan dari mulut ke mulut pelanggan yang pernah menginap di sini, menjadikan sambutan makin bertambah.

MEMBUAT penambahan kemudahan kolam.
MEMBUAT penambahan kemudahan kolam.

"Kemudian kami mula membuat penambahan kolam di belakang rumah, sekali gus menarik lebih ramai pelanggan," katanya.

Melihat kepada sambutan menggalakkan, timbul idea membeli dua lagi kediaman untuk dijadikan rumah tamu di sekitar Kota Bharu.

"Kini hasil sewaan harian rumah inap 'ayahandabonda' dapat membayar semua bayaran bulanan dan kos penyelenggaraan memandangkan saya membeli apartmen dan teres di kawasan taman perumahan," katanya.

Norsuriya berkata, dari awal sebelum membeli rumah dia sudah terbiasa membuat simpanan di unit amanah dan pembelian jongkong emas secara konsisten setiap bulan.

"Gaji yang diperoleh selepas ditolak zakat saya akan terus agihkan ke beberapa akaun seperti Tabung Haji dan membeli jongkong emas.

"Duit dari pembelian jongkong emas, saya tukar dengan membeli hartanah dan dijadikan sebagai pendapatan pasif," katanya.

PENGUBAHSUAIAN ruang dalaman rumah dititikberatkan untuk keselesaan pelanggan.
PENGUBAHSUAIAN ruang dalaman rumah dititikberatkan untuk keselesaan pelanggan.

Norsuriya berkata, aset yang dijadikan sebagai rumah tamu ini adalah persiapan untuk berdepan kemungkinan yang tidak diingini pada masa hadapan.

"Rumah tamu ini boleh dijadikan sebagai rumah sewa atau dijual kerana nilai aset ini semakin meningkat kerana berada di lokasi yang strategik.

APARTMEN di bandar Kota Bharu menjadi aset terbaharu yang dimiliki.
APARTMEN di bandar Kota Bharu menjadi aset terbaharu yang dimiliki.

"Buat masa ini saya fokuskan kepada rumah sedia ada dan tidak merancang menambah hartanah baharu berikutan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) beberapa kali tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 7:00 AM