NUR SYAZADATUL bersama suaminya, Muhamad Rusyaidi.
NUR SYAZADATUL bersama suaminya, Muhamad Rusyaidi.
Muhamaad Razis Ismail


PENGURUSAN kewangan antara aspek penting yang perlu dipertimbangkan sebelum, ketika dan selepas membeli kediaman pertama.

Hal ini kerana memiliki kediaman menuntut komitmen yang tinggi pada setiap bulan dalam satu tempoh yang lama.

Jadi, pembeli rumah perlu bijak menguruskan kewangan tanpa mengikut trend untuk mengelakkan masalah di kemudian hari.

Bagi Nur Syazadatul Nisma Suhurani, 26, sebagai individu yang menjalankan perniagaan, dia perlu bijak menguruskan kewangan.

Katanya, antara perkara yang dilakukan adalah menyediakan simpanan kecemasan.

"Dalam dunia perniagaan, sentiasa ada turun naik. Oleh itu saya perlu buat persediaan awal dengan menguruskan kewangan yang bijak.

"Ini antara perkara pertama yang dilakukan pada setiap bulan dengan mengambil sedikit gaji yang diperoleh untuk dimasukkan ke dalam simpanan kecemasan.

RUANG dalam yang luas dan selesa.
RUANG dalam yang luas dan selesa.

"Simpanan ini boleh bertahan dalam tempoh enam bulan termasuk untuk menyelesaikan komitmen rumah sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini," katanya.

Menurutnya, sebelum memiliki kediaman pertamanya di Tawau, Sabah dia sudah membuat kajian dengan teliti.

"Tiga kriteria yang diutamakan iaitu kawasan perumahan itu harus mempunyai sumber air yang baik, bekalan elektrik dan jarak ke pusat bandar tidak terlalu jauh.

"Perkara ini penting kerana ia dapat memudahkan dan melancarkan urusan perniagaan dalam talian yang diusahakan bersama suami, Muhamad Rusyaidi Mazlan, 26.

"Kami juga melihat lokasi kediaman ini mampu menjadi lubuk mendapatkan lebih ramai pelanggan untuk mengembangkan perniagaan. Hal ini, lebih memudahkan saya untuk menghantar produk dan mengepos barang," katanya.

KEMUDAHAN untuk melakukan aktiviti riadah.
KEMUDAHAN untuk melakukan aktiviti riadah.

Selain itu, lokasi kediaman ini juga strategik kerana terletak berhampiran dengan banyak kemudahan termasuk klinik, pasar, stadium, pejabat penghantaran barang dan sebagainya.

Jelasnya, rumah berkeluasan 2,438 kaki persegi ini dibeli pada 25 Januari lalu pada RM474,000.

"Maklumat berkenaan rumah ini diperoleh daripada sepupu yang turut membeli rumah di kawasan itu.

"Saya dan suami mengambil masa kurang daripada tiga bulan untuk membuat kajian berkenaan rumah itu sebelum membuat keputusan untuk membelinya," katanya.

Katanya, biarpun bekerja sendiri, dia bersyukur kerana proses pembelian rumah berjalan dengan lancar.

LOKASI strategik yang berdekatan dengan pelbagai kemudahan.
LOKASI strategik yang berdekatan dengan pelbagai kemudahan.

"Sebelum membuat permohonan pinjaman, kami sertakan segala dokumen lengkap yang diperlukan iaitu slip gaji, salinan kad pengenalan dan salinan cukai pendapatan.

"Alhamdulillah dalam tempoh seminggu sahaja, kami dimaklumkan pinjaman diluluskan," katanya.

Jelasnya, dia menerima kunci rumah pada 24 Mei lalu dan kini sedang menunggu bekalan elektrik sebelum proses pengubahsuaian dilakukan.

"Mengikut perancangan, rumah ini akan menjadi medium pelaburan untuk membeli tanah bagi membina rumah idaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 6:20 AM