KONSEP minimal menjadi pilihan dalam hiasan dalaman rumah baharu.
KONSEP minimal menjadi pilihan dalam hiasan dalaman rumah baharu.
Hafiz Ithnin


"ANTARA sebab membeli rumah ini adalah pemaju mempunyai rekod pembangunan yang baik dan turut menawarkan harga mampu milik untuk kami sekeluarga," akui pasangan suami isteri berusia 39 tahun itu.

Bagi Hafizi Al-Ghazali dan Ezzy Diana Jeffry, tinjauan lokasi dilakukan selama enam bulan bagi mendapatkan rumah yang benar-benar sesuai dengan cita rasa untuk didiami dalam jangka panjang.

Hafizi berkata, membeli rumah adalah komitmen jangka panjang dan kedudukan lokasi kediaman amat penting terutama untuk mereka yang sudah mempunyai keluarga.

"Saya mendapati rumah ini yang terletak berhampiran Bandar Baru Bangi, Selangor mempunyai persekitaran yang lengkap dan sesuai dengan mereka yang sudah mempunyai keluarga.

"Memang perlu membuat sedikit penelitian dan mengambil sedikit masa untuk membeli rumah ini kerana kami akan mempunyai komitmen dengan bank untuk jangka panjang terutama untuk mendiaminya dan bukan untuk pelaburan," katanya.

Sebelum membeli rumah dua tingkat bersaiz kira-kira 2,000 kaki persegi itu, Hafizi dan isteri sudah membeli rumah pertama di Bandar Kinrara di Puchong.

MEMILIH untuk mempunyai dapur yang ringkas.
MEMILIH untuk mempunyai dapur yang ringkas.

Katanya, rumah yang mereka miliki sebelum itu dalam segmen strata dan berkeluasan sekitar 900 kaki persegi.

"Dalam tempoh beberapa tahun membeli rumah itu, kami melihat saiznya tidak begitu sesuai dengan keperluan saya dan isteri yang mempunyai ahli keluarga yang sering menziarahi kerana ia agak sempit.

"Jadi, kami perlukan rumah jenis teres yang lebih selesa bukan sahaja untuk keluarga, tetapi untuk kelangsungan kami sekeluarga," katanya.

Katanya, dia membeli rumah pertamanya pada harga di bawah pasaran iaitu sekitar RM118,000 berbanding harga sebenar sekitar RM180,000.

KUALITI kediaman antara yang menjadi faktor pembelian Hafizi.
KUALITI kediaman antara yang menjadi faktor pembelian Hafizi.

"Hasil penjualan rumah pertama, kami menjadikannya sebagai modal untuk membeli kediaman baharu ini yang berharga sekitar RM700,000. Syukur, lokasi rumah pertama itu mempunyai permintaan yang tinggi. Kurang tiga bulan sahaja, ia sudah terjual.

"Jadi, pada saya dan isteri, lokasi rumah memainkan peranan amat penting kerana ia mempengaruhi harga jualan pada masa depan dan jika ingin membeli kediaman baharu, ia boleh dijadikan modal," katanya.

Mengenai rekod pembangunan yang baik daripada pemaju, Hafizi berkata, perkara itu memainkan peranan penting kerana ia dapat melihat strategi penjual untuk membangunkan sesuatu kawasan.

MEMPUNYAI bilik menyimpan barangan peribadi yang unik.
MEMPUNYAI bilik menyimpan barangan peribadi yang unik.

Katanya, mereka sudah tahu mengenai rekod kemajuan pemaju rumah yang dibelinya mampu mendirikan projek yang matang untuk kawasan kejiranan yang baik.

"Pemaju kediaman untuk rumah yang dibeli kami ini antara pemain industri yang terbesar di Malaysia. Jadi, prestasi mereka agak baik.

"Sebagai pembeli, pastinya saya dan isteri tidak mahu pemaju yang mempunyai rekod pembangunan rumah yang tidak begitu baik prestasinya atau tidak sesuai untuk pembeli yang sudah berkeluarga," katanya.

Hafizi yang bekerja di kawasan ibu negara juga tidak melihat lokasi rumah baharu dibelinya itu jauh dan memakan kos yang tinggi dari segi pengangkutan.

"Saya pergi ke tempat kerja menunggang motosikal. Dari rumah ke tempat kerja yang terletak di Petaling Jaya, hanya mengambil masa 30 minit.

"Jadi, ia sama jarak dengan rumah yang dibeli kami di Puchong sebelum ini dan lokasi yang mungkin segelintir orang melihat Bandar Baru Bangi satu lokasi yang jauh, sebaliknya tidak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 7:01 AM