MOHD Zaim dan isteri bergambar di depan rumah.
MOHD Zaim dan isteri bergambar di depan rumah.
Nurul Husna Mahmud


MEMBELI rumah pertama antara momen indah setiap pasangan. Namun, ia menjadi pengalaman mencabar buat Guru Kolej Vokasional Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan Mohd Zaim Sulaiman, 36, apabila terpaksa menggunakan nama isteri kerana status hartanah itu Rezab Melayu.

Kata Mohd Zaim, dia yang berketurunan Melayu Kemboja menyebabkan proses pembelian rumah yang terletak di daerah sama itu diteruskan atas nama isteri, Nor Adlina Omaruddin, 36.

"Saya membeli rumah ini pada 2014 selepas empat kali berpindah-randah dari satu rumah ke rumah lain.

"Pada tahun itu saya berasa penting untuk memiliki rumah sendiri kerana isteri sudah dapat pertukaran mengajar dari Perak ke Negeri Sembilan.

"Jadi, memikirkan keluarga sudah ada bersama, saya ambil keputusan mencari rumah yang sesuai untuk kami menetap," katanya.

Kata Mohd Zaim, dia dan isterinya meninjau beberapa lokasi projek baharu bagi mendapat penawaran jualan harga sesuai dengan bajet ketika itu.

"Pencarian saya dan isteri untuk memiliki rumah pertama boleh dikatakan mencabar kerana kami tiada pengetahuan yang dalam mengenai hartanah. Selain itu, kami berhasrat memiliki rumah atas tanah dengan bajet bawah RM400,000.

TERLETAK berhampiran fasiliti penting seperti UTC.
TERLETAK berhampiran fasiliti penting seperti UTC.

TAMAN permainan antara kemudahan terdapat dalam kawasan taman terbabit.
TAMAN permainan antara kemudahan terdapat dalam kawasan taman terbabit.

"Harga kebanyakan rumah ketika itu semuanya melebihi paras sasaran kami. Sehingga kami dimaklumkan seorang jiran ada taman baharu dibuka dengan kadar sekitar RM300,000 tidak jauh dari lokasi rumah sewa.

"Selepas lihat rumah contoh dan isteri pun suka dengan reka bentuk sebab rumah teres dua tingkat serta terletak di tengah pusat bandar, kami terus hubungi ejen hartanah untuk proses pembelian.

"Menerusi ejen itu juga yang saya dapat tahu pembelian hartanah terbabit terpaksa menggunakan nama isteri kerana saya berketurunan Melayu Kemboja dan tidak memiliki status Bumiputera yang menjadi syarat pembelian hartanah terbabit," katanya.

Tidak hanya proses pembelian itu rumit, namun menggunakan kemudahan pembiayaan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) juga mencabar bagi mereka.

"Satu lagi rintangan buat saya dan isteri dalam memiliki rumah ini juga ialah jumlah pembiayaan kami oleh LPSSA tidak dapat tampung jumlah nilai keseluruhan rumah.

"Had pinjaman kami terima adalah RM320,000 berbanding harga rumah bernilai RM365,000. Dalam pinjaman rumah, had pembiayaan ditawar berdasarkan gred perkhidmatan.

"Saya mohon pembiayaan peribadi untuk tampung baki pembelian rumah selain kos lain diperlukan," katanya.

MOHD Zaim tekad beli rumah kerana mahu menjalani hidup berkeluarga dengan tenang.
MOHD Zaim tekad beli rumah kerana mahu menjalani hidup berkeluarga dengan tenang.

Tambah Mohd Zaim, proses pembelian rumah itu juga mengambil tempoh tiga bulan bagi proses menandatangani perjanjian jual beli

"Biarpun pembelian rumah pertama ini prosesnya agak remeh apabila terpaksa menggunakan nama isteri dan perlu melalui proses pemohonan pinjaman tambahan untuk tampung kos pembelian rumah, saya rasa itu satu yang berbaloi.

"Bagaimanapun, dari sudut lain ketika proses pembelian rumah ini urusan kami dipermudahkan termasuk hanya dikenakan bayaran deposit RM500 selain caj lain yang ditolak menerusi pinjaman," katanya.

Tambahnya lagi, hartanah itu satu pelaburan yang menguntungkan kerana kedudukannya di tengah-tengah bandar Seremban selain dikelilingi fasiliti dan infra penting.

"Saya bersyukur kerana pencarian rumah pertama untuk saya dan keluarga ditemukan dengan kediaman ini. Kedudukan taman perumahan ini begitu hampir dengan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Stesen KTMB Seremban.

"Dalam taman ini juga ada kemudahan seperti balai raya, surau dan tadika kemas selain kejiranan yang harmoni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 6:43 AM