PANDEMIK Covid-19 beri kesan kepada sektor hartanah dan perumahan.
PANDEMIK Covid-19 beri kesan kepada sektor hartanah dan perumahan.
SETIAP fasa berkait rapat dengan keadaan sosial, politik, ekonomi negara sejak merdeka.
SETIAP fasa berkait rapat dengan keadaan sosial, politik, ekonomi negara sejak merdeka.
Muhamaad Razis Ismail


SELEPAS negara mencapai kemerdekaan pada 1957, kerajaan melaksanakan pelbagai usaha untuk memajukan sektor hartanah dan perumahan negara.

Berdasarkan laman web Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), perkembangan dasar perumahan di Malaysia sejak merdeka boleh dibahagikan kepada lima fasa.

Fasa itu adalah Fasa Perumahan Awal Kemerdekaan (1957-1970), Perumahan untuk Mengatasi Masalah Kemiskinan (1970-1985), Perumahan Berfokuskan Pasaran (1986-1997), Perumahan untuk Menghapuskan Setinggan (1998-2011) dan Perumahan Mampu Milik (2012-2017).

Setiap fasa pembangunan perumahan lazimnya berkait rapat dengan keadaan sosial, politik dan ekonomi negara sejak merdeka.

Keadaan ini menjadikan dasar dan program perumahan yang digubal di Malaysia adalah unik selaras dengan keperluan semasa negara ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Jabatan Pengurusan Harta Tanah Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dr Ismail Omar berkata, pada mulanya, dasar ini memberi fokus kepada perumahan untuk kakitangan kerajaan dan kos rendah terutama melalui pemaju sektor awam.

"Kemudian, Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 diperkenalkan yang menumpu kawalan kepada pemaju bukan pembeli.

"Pada 1980-an pemaju swasta mula membina rumah kos rendah, namun banyak masalah timbul kerana tanah mula mahal dan harga bahan binaan naik.

KESEDARAN mengenai hartanah semakin meningkat.
KESEDARAN mengenai hartanah semakin meningkat.

"Selepas Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) mula ada inisiatif rumah mampu milik melalui Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan sebagainya," katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama) berkata, sejak merdeka, permintaan dan penawaran terhadap perumahan dan hartanah dilihat masih tidak seimbang.

"Ramai yang berpindah ke bandar kerana peluang pekerjaan yang lebih luas. Bagaimanapun, ruang tanah yang terhad mengakibatkan permintaan meningkat.

"Keadaan ini menyebabkan harga tanah menjadi mahal dan harga bahan binaan turut meningkat," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan kesedaran masyarakat terhadap hartanah dilihat semakin meningkat dari semasa ke semasa, namun perlu diwujudkan program yang tersusun dalam usaha merakyatkan ilmu hartanah.

"Oleh itu, semua agensi berkaitan tanah dan rumah termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu berganding bahu ke arah ini," katanya.

PEMILIK rumah setinggan di Kampung Pandan mendaftar pembelian pangsapuri kos rendah pada 1986.
PEMILIK rumah setinggan di Kampung Pandan mendaftar pembelian pangsapuri kos rendah pada 1986.

Mengulas lanjut, susulan penularan pandemik Covid-19 di negara ini, pemaju dan pembeli hartanah turut terkesan.

"Saya melihat moratorium dan kempen pemilikan rumah hanya untuk jangka pendek dan kurang berkesan.

"Dalam keadaan semasa, kerajaan perlu memiliki Pelan induk Reformasi, Transformasi Perumahan Negara, Pelan Induk Data Raya Hartanah dan Perumahan Negara," katanya.

Selain itu, prosedur pembinaan rumah dan sebagainya perlu diubah suai termasuk pembiayaan bank, insurans, dasar perumahan, harga bahan binaan, kanun tanah negara dan akta lain berkaitan tanah.

Beliau mencadangkan perumahan perlu lebih mesra rakyat supaya mereka mempunyai kemampuan untuk menyewa kediaman berbanding memiliki.

"Projek pembinaan ini boleh dilaksanakan di atas tanah wakaf atau tanah pinggir bandar rezab Melayu dengan kemudahan dan pengangkutan yang baik," katanya.

PENEMPATAN rumah setinggan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada 1991.
PENEMPATAN rumah setinggan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada 1991.

Jelasnya, sehingga kini masih banyak ruang dan peluang untuk penambahbaikan untuk membangunkan sektor hartanah.

"Kerajaan perlu mendidik rakyat supaya mampu menyewa rumah dan bukan mampu miliki (kediaman) semata-mata selain universiti perlu menawarkan kursus perumahan dan latih pegawai perumahan yang tulus dan cekap.

"Pada masa sama, perlu ada rangkaian penyelidikan dan pembangunan (R&D) membabitkan universiti, agensi kerajaan, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) dan sebagainya.

"Kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu bekerjasama membina perumahan sosial," katanya.

RUMAH pangsa Taman Bakti di Kampung Pandan untuk menempatkan penghuni setinggan hampir siap dibina pada 1987.
RUMAH pangsa Taman Bakti di Kampung Pandan untuk menempatkan penghuni setinggan hampir siap dibina pada 1987.

Fasa Dasar Perumahan Negara

- Perumahan Awal Kemerdekaan (1957-1970)

- Perumahan untuk Mengatasi Masalah Kemiskinan (1970-1985)

- Perumahan Berfokuskan Pasaran (1986-1997)

- Perumahan untuk Menghapuskan Setinggan (1998-2011)

- Perumahan Mampu Milik (2012 sehingga kini)

INISIATIF rumah mampu milik melalui PR1MA.
INISIATIF rumah mampu milik melalui PR1MA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 6:30 AM