RAMAI teruja beli rumah pelaburan tanpa ambil kira jarak.
RAMAI teruja beli rumah pelaburan tanpa ambil kira jarak.
Muhamaad Razis Ismail


PEMBELI rumah untuk pelaburan sering mengabaikan jarak kediaman dibeli dengan kediamannya sendiri.

Pengarah Urusan Hartaplus Capital Sdn Bhd, Bija Rosly berkata, jarak sebenarnya memainkan peranan penting untuk memastikan kediaman yang disewakan sentiasa berada dalam keadaan baik.

"Kebiasaannya, pembeli rumah pada awalnya akan teruja dengan pembelian rumah tanpa memikirkan jarak yang akan memberi kesan di kemudian hari.

"Jika mendapat penyewa yang baik, rumah anda akan selamat namun apabila sebaliknya yang berlaku, anda akan berdepan masalah besar," katanya.

Oleh itu, beliau menasihatkan sebaiknya mempertimbangkan jarak kediaman jika ingin membuat pelaburan dalam hartanah.

"Jika anda seorang pelabur yang baru, mulakan pelaburan yang berdekatan dengan kediaman atau kawasan kita dahulu.

BIJA
BIJA

"Apabila sudah mahir dan faham selok-belok, boleh mencuba pelaburan hartanah yang jauh. Akan tetapi, persiapkanlah diri untuk berdepan pelbagai perkara," katanya.

Beliau menyenaraikan lima perkara yang bakal dihadapi oleh mereka yang mempunyai rumah yang disewakan jauh dari kediaman diduduki sendiri.

BAKAL berdepan pelbagai masalah.
BAKAL berdepan pelbagai masalah.

1.Masa

Kita tiak boleh sampai cepat jika berlaku sesuatu perkara yang memerlukan tuan rumah hadir sendiri dengan segera. Contohnya kes kehilangan barang, kes membabitkan polis, pergaduhan, kematian atau perkara penting yang lain. Contoh yang lain adalah apabila musim cuti pendek, kebanyakan penyewa akan pulang bercuti dan tiba-tiba ada bakal penyewa mahu meninjau bilik kosong yang diiklankan. Oleh kerana tiada penyewa sedia ada yang boleh membantu membukakan pintu, tuan rumah terpaksa hadir sendiri. Dalam hal ini, tuan rumah boleh sahaja menunda ke tarikh lain, tetapi risikonya beliau akan kehilangan penyewa berpotensi.

2. Kudrat dan emosi

Apabila kita hendak ke rumah sewa yang jauh jaraknya, persediaan awal yang rapi perlu dibuat supaya tiada dokumen atau barang penting tertinggal. Ini selalu berlaku kepada tuan rumah yang sibuk dengan kerja hakiki dan menguruskan rumah secara sambilan. Tidak salah untuk melakukannya, tetapi kudrat dan emosi kita akan mudah berasa penat.

KOS minyak dan tol perlu diambil kira.
KOS minyak dan tol perlu diambil kira.

3. Kos perjalanan seperti minyak dan tol

Jika rumah sewa terlalu jauh dari kediaman kita, kos-kos ini terpaksa dikeluarkan untuk menyelesaikan perkara yang berlaku di rumah sewa. Melakukan perjalanan ke rumah sewa adalah untuk menyelesaikan masalah, perasaan dan keterujaannya tidak sama sekali dengan perasaan membayar kos perjalanan dan tol untuk pergi bercuti. Lama-kelamaan kita akan berfikir, adakah berbaloi untuk buat semua ini?

SUKAR pantau proses pengubahsuaian rumah.
SUKAR pantau proses pengubahsuaian rumah.

4. Proses renovasi rumah sewa menjadi lebih sukar

Apabila kita tidak biasa dengan sesebuah kawasan, ia memerlukan masa yang lebih panjang untuk kita faham dan berkenalan dengan masyarakat sekitar. Proses renovasi rumah sewa menjadi lebih sukar kerana tidak dapat mencari kontraktor yang berkualiti disebabkan tempoh renovasi yang terhad. Pada ketika itu, sangat susah mencari kontraktor yang boleh dipercayai dan boleh mengikut keperluan yang ditetapkan. Akibatnya, hasil kerja mereka sangat mengecewakan dan untuk membetulkannya semula, perlu mengeluarkan kos yang agak besar.

5. Pelaburan di luar kawalan

Sebagai pelabur, kita selalu diingatkan untuk fahami dengan jelas pelaburan yang dibuat dan dapat mengawal perkara-perkara mengikut keperluan yang kita mahukan. Apabila terjadinya perkara di luar kawalan pada sesebuah pelaburan, pengurusan menjadi tidak berkualiti dan kita akan mudah menyerah kalah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 6:31 AM