SEKTOR pembinaan boleh berjalan lancar. - FOTO Google
SEKTOR pembinaan boleh berjalan lancar. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


SEJAK tahun lalu, sektor hartanah antara yang terjejas teruk akibat penularan pandemik Covid-19.

Persepsi dan kebimbangan untuk melabur dalam hartanah menjejaskan kerancakan transaksi di dalam sektor ini.

Malah, pemaju yang membuat pelbagai tawaran menarik melalui Kempen Pemilikan Rumah secara maya ada yang kurang mendapat sambutan menggalakkan.

Bagaimanapun, ketibaan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac pada bulan lalu memberi sinar baharu kepada sektor hartanah di negara ini.

Vaksin ini dilihat dapat membasmi penularan pandemik ini yang sudah berlarutan sejak tahun lalu sekali gus memberi impak positif kepada sektor ekonomi di negara ini.

Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail berkata, biarpun masih baharu, secara umumnya vaksin ini dapat meningkatkan keyakinan pembeli dan pelabur.

Katanya, sebelum ini ketidaktentuan jumlah kes pada setiap hari menimbulkan kebimbangan mereka sekali gus memberi kesan kepada hartanah.

"Kesan daripada vaksin ini masih belum dapat dilihat kerana ia masih baru tiba di negara ini.

"Bagaimanapun perlu diakui ia dapat memberi kelegaan kepada seluruh rakyat Malaysia dan tentunya memberi impak positif dan meningkatkan keyakinan pembeli, penyewa dan pelabur.

"Keadaan ini mewujudkan sentimen positif untuk mereka melabur dalam sektor hartanah khususnya dalam membuat keputusan membeli atau melabur dalam semua sektor hartanah," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, vaksin ini memberi harapan kepada masyarakat di negara ini bahawa penularan pandemik ini akan berakhir tidak lama lagi.

"Dengan itu kita dapat menyusun kembali pelbagai aktiviti perniagaan termasuk pekerjaan, pelaburan dan pelancongan untuk kembali beroperasi seperti sedia kala.

"Keadaan ini sekali gus meningkatkan keyakinan dan mendorong kepada peningkatan permintaan terhadap sektor perumahan," katanya.

VAKSIN Covid-19 memberi sinar baharu kepada sektor hartanah.
VAKSIN Covid-19 memberi sinar baharu kepada sektor hartanah.

SEKTOR hartanah dijangka rancak dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
SEKTOR hartanah dijangka rancak dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Mengulas lanjut, langkah kerajaan memansuhkan kriteria kemudahan i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini juga membantu kepada perkembangan sektor hartanah terutamanya perumahan.

"Saya lihat untuk sektor perumahan, ia memberi maklum balas positif kerana ada sebahagian melihat rumah adalah keperluan.

"Pembeli boleh menggunakan skim sewa untuk miliki (RTO) dengan menyewa dahulu sebelum miliki rumah idaman itu pada masa hadapan," katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan memanfaatkan wang i-Sinar itu untuk aset yang produktif seperti hartanah yang mempunyai nilai dan baik di masa hadapan.

Beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk melanjutkan pengecualian duti setem, (pengecualian) cukai keuntungan harga tanah dan kempen pemilikan rumah.

Pengecualian duti setem bermula 1 Jun tahun lalu hingga 31 Mei ini. Sementara pengecualian cukai keuntungan harta tanah pula bermula 1 Jun tahun lalu dan dijangka berakhir 31 Disember ini.

"Kerajaan seharusnya melanjutkan langkah ini supaya kesan sentimen positif dapat diterjemahkan dalam bentuk peningkatan permintaan sektor perumahan dan pembelian aset.

"Saya jangkakan perkara ini (impak positif) berlaku dalam tempoh beberapa bulan akan datang," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, kekurangan pekerja di sektor pembinaan akibat pandemik Covid-19 perlu dilihat dari sudut positif.

"Sektor pembinaan tidak seharusnya berterusan bergantung kepada pekerja asing dan sepatutnya pandemik ini memberi pengajaran kepada kontraktor atau pemaju.

"Ambil kesempatan ini untuk memanfaatkan tenaga kerja tempatan dan kembangkan teknologi sedia ada," katanya.

Beliau berkata, kerajaan boleh membantu dengan memberi rangsangan kepada sektor pembinaan yang mengambil pekerja tempatan.

"Sekiranya kita dapat lakukan perkara ini, sektor pembinaan dapat beroperasi seperti biasa dan masalah kekurangan pekerja pembinaan dapat diselesaikan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 7:00 AM