RUMAH asal Khairil Anuar sebelum proses pengubahsuaian.
RUMAH asal Khairil Anuar sebelum proses pengubahsuaian.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


FAKTOR projek perumahan yang sudah siap dan terletak berdekatan kediaman ibu bapa mendorong Khairil Anuar Abd Mutallib, 35, membeli rumah pertamanya jenis semi D dua tingkat di perumahan PR1MA Residensi Utama, Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah.

Khairil Anuar berkata, projek perumahan yang sudah siap bukan sahaja mengurangkan risiko rumah terbengkalai malah menjimatkan kewangan pembeli.

Selain itu, projek perumahan itu juga menjadi pilihan Khairil Anuar kerana ia terletak berdekatan tempat kerja isterinya, Norashida Yusri, 33.

"Saiz lot tanah rumah ini juga agak luas iaitu 2,476 kaki persegi, binaan rumah 1,864 kaki persegi dan ia cukup selesa buat keluarga kecil kami.

"Lebih istimewa, kami juga mendapat rebat dan selepas ditolak, harga rumah ini adalah RM288,799.20.

"Selepas mengambil kira semua komitmen lain, kami mengambil keputusan membeli rumah ini kerana ansuran bulanannya juga masih di tahap yang berpatutan," katanya.

Menurut Khairil Anuar, meskipun masih mempunyai beberapa komitmen lain namun dia bersyukur kerana pinjaman bank mudah diluluskan.

KHAIRIL Anuar sekeluarga di hadapan rumah mereka.
KHAIRIL Anuar sekeluarga di hadapan rumah mereka.

Kata bapa kepada seorang anak perempuan itu lagi,

dia membuat permohonan untuk membeli rumah itu pada awal Mei 2019 dan pada pertengahan Jun 2019, pinjaman banknya diluluskan.

"Kurang sebulan daripada tarikh berkenaan iaitu pada awal Julai 2019, saya menandatangani perjanjian jual dan beli.

"Saya bersyukur kerana proses memiliki rumah ini agak lancar dan pada awal tahun lalu, kami mendapat kunci," katanya.

Kata Khairil Anuar lagi, rumah berkenaan memiliki empat bilik tidur dan tiga bilik air.

Menurutnya, untuk fasa awal dia dan isteri hanya melakukan pengubahsuaian di bahagian porch dan balkoni serta mengekalkan semua struktur binaan asal yang lain.

"Saya dan isteri bergabung idea dalam menghias rumah ini dan kami memilih konsep moden minimalis.

HIASAN berkonsepkan moden minimalis.
HIASAN berkonsepkan moden minimalis.

"Kami juga menyiapkan sendiri dekorasi rumah termasuk memasang panel dinding (wainscoting) di ruang tamu.

"Dek kerana minat isteri terhadap warna merah jambu, barangan dekorasi dalaman rumah dan dapur juga banyak daripada rona berkenaan," katanya.

Tambah Khairil Anuar, meskipun perumahan itu terletak di kawasan baharu namun ia lengkap pelbagai kemudahan.

Ia juga mudah diakses dari jalan raya utama dan lokasinya juga strategik.

"Sebelum ini kami tinggal di rumah teres yang dibeli isteri di Padang Serai, ia agak jauh dari tempat kerja isteri sebelum ini berbanding lokasi rumah sekarang.

"Rumah ini adalah syurga kecil yang bukan sahaja melengkapkan malah memberi keselesaan kepada kami sekeluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 6:00 AM