GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Bernama)

Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia dijangka mula pulih dan sektor hartanah akan kembali mencatat pertumbuhan pada separuh kedua 2021, selepas program vaksinasi secara besar-besaran mula dilaksanakan.

Dalam kenyataan hari ini, Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia Sheldon Fernandez berkata, pasaran hartanah dijangka kembali pulih secara berperingkat pada 2021, dipacu oleh gambaran ekonomi yang lebih baik dan persekitaran kadar faedah yang rendah.

"Ini dapat dilihat daripada keputusan terbaru Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus berikutan bank pusat itu melihat pemulihan yang berterusan dalam ekonomi global.

"Bagaimanapun, risiko tetap ada dalam persekitaran yang tidak menentu berikutan pandemik Covid-19," katanya.

Katanya peningkatan jualan dalam pasaran hartanah juga dijangka berlaku pada separuh pertama 2021 berikutan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang akan tamat pada 31 Mei 2021.

Fernandez berkata, berdasarkan dapatan Kajian Sentimen Pengguna Separuh Pertama 2021 portal hartanah itu, mereka menyaksikan peningkatan dalam indeks sentimen hartanah, daripada 39 mata (separuh kedua 2020) kepada 42 mata (separuh pertama 2021).

Faktor penyumbang termasuklah kepuasan pasaran hartanah semasa, jangkaan positif terhadap persekitaran hartanah, persekitaran kadar faedah yang memuaskan, gambaran positif usaha kerajaan dan jangkaan harga yang memuaskan.

"Walaupun terdapat sedikit peningkatan sentimen, rakyat Malaysia masih berhati-hati dalam pembelian hartanah, dengan 42 peratus mengambil pendekatan tunggu dan lihat dengan harapan akan wujud tawaran yang lebih baik pada masa depan.

"Ramai yang menjangka harga rumah akan terus turun kerana pemaju mengubahsuai strategi harga mereka dengan melancarkan lebih banyak rumah mampu milik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 5:34 PM