PERLU bijak menabung sebelum membuat keputusan memiliki kediaman.
PERLU bijak menabung sebelum membuat keputusan memiliki kediaman.
Hafiz Ithnin


KADANG-KALA apabila sudah berkerja, terdapat segelintir yang mula memikirkan untuk sama ada adakah wajar untuk membeli kediaman ketika masih berstatus bujang.

Namun, apabila melihat kepada komitmen dan nisbah pendapatan yang tidak seimbang menyebabkan niat itu terhenti dan mengambil langkah menyewa kediaman adalah langkah terbaik.

Bagaimanapun, sebenarnya adakah membeli kediaman sebelum atau selepas berkahwin adalah paling terbaik?

Mengulas mengenai isu itu, Penganalisis Hartanah, Shazali Ahmad mempunyai pandangannya tersendiri:

MEMILIKI kediaman sebelum berkahwin dapat menyediakan keperluan kepada bakal isteri.
MEMILIKI kediaman sebelum berkahwin dapat menyediakan keperluan kepada bakal isteri.

1. Orang yang hendak membeli rumah perlu mempunyai pengurusan kewangan yang baik baru boleh dapat pembiayaan daripada bank. Bank hanya akan beri pembiayaan sekiranya orang tersebut mempunyai latar belakang kewangan yang baik.

2. Orang yang membeli rumah sebelum kahwin mempunyai perancangan yang bagus tentang masa hadapannya. Beliau berfikiran jauh kerana rumah merupakan keperluan asas kehidupan dan boleh dijadikan sebagai pelaburan jangka panjang.

3. Pembiayaan beli rumah adalah perkara yang sukar untuk mendapat kelulusan berbanding pinjaman lain.

Maka belilah rumah sewaktu tempoh satu hingga dua tahun bekerja kerana semakin berusia semakin tinggi kos sara hidup disebabkan inflasi.

PENGURUSAN kewangan penting dalam pembelian kediaman supaya tidak berlaku kesempitan aliran tunai bulanan.
PENGURUSAN kewangan penting dalam pembelian kediaman supaya tidak berlaku kesempitan aliran tunai bulanan.

4. Beli rumah di bawah kelayakan supaya tidak sesak poket kewangan di masa hadapan. Contoh kelayakan RM400,000 maka belilah rumah di bawah harga RM400,000.

5. Sebelum kahwin, kemungkinan orang itu masih duduk bersama keluarga atau menyewa bersama rakan sekerja. Maka rumah yang dibeli tadi boleh diberikan sewa kepada orang lain, atau diberikan sewa bilik kepada rakan sekerja yang lain, secara tak langsung rumah tadi jadi pelaburan, orang lain yang tolong bayarkan bayaran bulanan kepada bank. Lebih baik lagi boleh dapat pendapatan tambahan dari sewa tadi.

6. Rumah yang disewa tadi perlu ada perjanjian sewa dan bukti bayaran sewa bulanan yang dibayar oleh penyewa dengan cara menunjukkan penyata bank wang masuk. Ini akan memudahkan lagi untuk orang tu beli rumah lagi.

7. Beli rumah dahulu baru kereta. Ini akan memudahkan untuk kita dapat kedua-duanya. Bank akan tengok komitmen kita. Jika rumah boleh bagi pendapatan tambahan, lagi mudah untuk pembiayaan kereta diluluskan.

Jika beli kereta dahulu baru rumah dikhuatiri kelayakan pembiayaan rumah tidak berjaya kerana komitmen kereta sudah telan sebahagian daripada gaji kita. Contoh mudah kira, Harga rumah RM100,000, bayaran bulanan dianggarkan sekitar RM500, manakala harga kereta RM100,000 bayaran bulanan menjadi RM1,100.

8. Semasa sudah berkahwin rumah yang dibeli tadi boleh dijadikan rumah untuk duduk sendiri bersama pasangan hati.

9. Rumah yang dibeli mungkin bukan rumah impian kerana dibeli di bawah kelayakan, tetapi boleh dijadikan sebagai batu loncatan untuk mendapatkan rumah impian dengan cara menjual semula selepas beberapa tahun kerana nilai harga pasaran meningkat di masa hadapan.

10. Rumah yang dibeli tadi juga boleh dijadikan tabungan pendidikan, tabungan anak-anak, persaraan dan tabungan capai impian.

SHAZALI Ahmad
SHAZALI Ahmad

11. Bagi lelaki jika ada rumah sebelum kahwin walaupun rumah kecil ini adalah tanda anda sudah bersedia untuk berkahwin. Selain dapat tawan hati isteri, ibubapa mentua juga senang hati.

12. Bagi wanita pula rumah tadi boleh dijadikan sebagai pendapatan tambahan dan juga sebagai perlindungan sekiranya berlaku penceraian atau kematian pasangan selepas berkahwin, walaupun ianya tak nak berlaku dalam kehidupan setiap orang. Ibarat pepatah sediakan payung sebelum hujan.

13. Jangan bersedih jika anda sudah berkahwin dan masih belum beli rumah, ia masih belum terlambat untuk mengubah hidup anda selagi nyawa dikandung badan di situlah ada peluang. Jangan putus asa teruskan usaha.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 6:06 AM