SELEPAS tiga kali membuat tempahan, Siti Noor Anis mendapat rumah yang diidamkan.
SELEPAS tiga kali membuat tempahan, Siti Noor Anis mendapat rumah yang diidamkan.
Hafiz Ithnin


BAGINYA untuk memiliki rumah sendiri memerlukan perancangan yang betul terutama memastikan keadaan sekeliling lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Faktor berhampiran tempat kerja juga menjadi penilaian utama kerana jika tidak ia menjadikan kos bulan 'tersembunyi' tanpa disedari.

Perkara itu yang dikongsikan Wan Siti Noor Anis Wan Hassan turut memaklumkan dia cukup puas apabila memiliki rumah teres dua tingkat selepas hampir 10 tahun tinggal di apartmen.

"Sekurang-kurangnya kita dapat melihat anak-anak bermain di ruang di hadapan rumah berbanding tinggal di apartmen agak sukar untuk sentiasa memerhatikan mereka.

"Tambahan, dalam keadaan pandemik sekarang ini, anak-anak tidak terperap sahaja dalam rumah kerana ada ruang untuk mereka beriadah di hadapan rumah," katanya.

Guru berusia 34 tahun itu berkata, peluangnya untuk mendapat rumah yang diinginkan itu bukan sesuatu perkara mudah kerana perlu menunggu 'rezeki' daripada bakal pembeli yang gagal mendapatkan pinjaman bank.

SITI Noor Anis baharu mendapat kunci rumahnya pada Ogos lalu.
SITI Noor Anis baharu mendapat kunci rumahnya pada Ogos lalu.

"Dua kali saya membayar wang tempahan untuk mendapatkan rumah di Sungai Buloh, Selangor ini kerana ia mendapat permintaan tinggi.

"Kali ketiga baharu rezeki berpihak pada saya dan saya terus membayar wang tempahan tanpa memaklumkan kepada suami kerana sudah penat menunggu peluang itu," katanya.

Wanita itu yang lebih mesra disapa Wan Siti Noor Anis berkata, dia tertarik untuk memiliki rumah itu kerana terletak berhampiran tempat kerjanya yang hanya perlu memandu kurang 10 minit.

Katanya, faktor dekat dengan tempat kerja amat penting kerana setiap bulan tanpa disedari kos pengangkutan antara yang paling tinggi menjadi komitmen bulanan.

RUMAH teres dua tingkat yang dilengkapi empat bilik.
RUMAH teres dua tingkat yang dilengkapi empat bilik.

"Bagi saya jika kita membeli rumah perlu membuat perkiraan kos bulanan termasuk perbelanjaan harian ke tempat kerja dan menghantar anak ke taska.

"Jika membabitkan kos minyak kenderaan dan tol yang tinggi, ia tidak berbaloi untuk memilikinya. Tambahan, jika ke tempat kerja juga perlu berdepan jalan sesak boleh memberi tekanan," katanya.

Bercerita mengenai mendapatkan pembiayaan kediaman, Wan Siti Noor Anis berkata, ia tidak sukar kerana menggunakan kemudahan pembiayaan daripada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Kongsinya lagi, bagi memudahkan pengurusan aliran tunai memiliki rumah baharu bernilai RM532,000 itu, dia menjual rumah pertamanya.

DAPUR yang mendapat sentuhan renovasi daripada pakar hiasan dalaman profesional.
DAPUR yang mendapat sentuhan renovasi daripada pakar hiasan dalaman profesional.

"Membeli rumah sememangnya memerlukan aliran tunai yang baik. Apatah lagi jika kita inginkan sebuah rumah yang selesa untuk keluarga.

"Jadi, hasil jualan rumah pertama itu, saya jadikan modal untuk mengubahsuai rumah baharu ini dan kosnya hampir RM100,000 kerana saya dan suami ingin jadikan rumah ini tempat tinggal yang selesa untuk kami sekeluarga," katanya.

Katanya, faktor kejiranan juga penting bagi memastikan mereka sekeluarga tinggal di kawasan yang harmoni dan selamat.

"Enam bulan sebelum saya memutuskan untuk memiliki rumah ini, saya dan suami sudah membuat tinjauan terlebih dahulu.

MENGGUNAKAN juruhiasan dalaman profesional bagi kerja renovasi.
MENGGUNAKAN juruhiasan dalaman profesional bagi kerja renovasi.

"Kami pastikan keadaan sekeliling mempunyai komuniti kejiranan yang baik kerana ia boleh menjamin keselamatan," katanya.

Katanya lagi, rumah itu juga berpotensi untuk dijadikan aset pelaburan untuk jangka panjang kerana ia terletak di kawasan strategik dan mempunyai kemudahan lengkap.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 6:32 AM