HAZIQ Shazwan dan keluarga bakal teruja untuk menduduki kediamannya sebaik siap pengubahsuaian.
HAZIQ Shazwan dan keluarga bakal teruja untuk menduduki kediamannya sebaik siap pengubahsuaian.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Lebih lima tahun menunggu dan dua kali permohonan untuk membeli rumah menerusi skim Rumah Selangorku oleh Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) gagal.

Namun, semua itu tidak mematahkan semangat seorang kakitangan swasta, Haziq Shazwan Raja Daniel, 31, untuk memiliki rumah pertamanya.

Mengakui hampir putus asa, Haziq Shazwan bersyukur kerana rezeki bagaimanapun berpihak kepadanya apabila permohonan kali ketiga pada tahun 2018 diluluskan iaitu selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.

Anak jati Subang, Selangor itu ditawarkan rumah teres dua tingkat berharga RM180, 000 yang terletak di Kuala Selangor.

Akui Haziq Shazwan, pada awalnya dia berbelah bahagi menerima tawaran itu kerana memikirkan faktor lokasi rumah terbabit yang dianggap jauh dari tempat kerjanya di Bukit Jelutong.

SYURGA kecil untuk Nur Lydiana sekeluarga.
SYURGA kecil untuk Nur Lydiana sekeluarga.

Namun, selepas menimbang pelbagai perkara termasuk harga rumah yang murah dia akhirnya menerima tawaran berkenaan.

"Soal lokasi jatuh nombor dua kerana dengan harga begitu, saya tidak akan dapat membeli rumah teres yang selesa di tempat lain.

"Lagipun, isteri sudah tidak bekerja jadi hanya saya seorang sahaja yang perlu berulang alik.

"Memang rugi jika tawaran itu dilepaskan kerana dengan harga yang sama, tentunya hanya untuk rumah jenis flat atau apartmen sahaja di kawasan lain," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Haziq Shazwan, proses untuk mendapatkan pinjaman juga mudah dan ia dapat diselesaikan dalam masa tiga bulan sahaja memandangkan dia hanya mempunyai komitmen insuran bulanan kereta.

Katanya, ketika menerima tawaran daripada pemaju, pembinaan projek perumahan itu juga sudah memasuki fasa terakhir dan dia tidak perlu membayar ansuran bulan berdasarkan perkembangan tahap pembinaan.

"Ia sedikit sebanyak menjimatkan kerana saya hanya mula membayar ansuran bulanan kepada bank ketika hampir mendapat kunci iaitu Oktober lalu.

DUA kali gagal permohonan tidak mematahkan semangat Haziq Shazwan untuk memiliki rumah pertamanya.
DUA kali gagal permohonan tidak mematahkan semangat Haziq Shazwan untuk memiliki rumah pertamanya.

"Selain itu, saya sekeluarga juga bersyukur mendapat rebat RM30, 000, iaitu subsidi yang diberikan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada pembeli beberapa projek perumahan terpilih ketika itu.

"Semua itu saya anggap rezeki tiga anak kami dan berterima kasih kepada kerajaan Selangor yang membantu rakyatnya memiliki kediaman sendiri," katanya yang turut menggalakkan golongan muda supaya membeli kediaman sementara tidak dibebani komitmen lain.

Dalam pada itu, Haziq Shazwan berkata, rumah berkenaan baharu sahaja selesai proses pengubahsuaian dan jika tiada aral mereka sekeluarga akan berpindah sebaik siap sepenuhnya.

Katanya, urusan dekorasi rumah adalah idea isterinya, Nur Lydiana Faez, 31, dengan gabungan sedikit garapan ilham darinya.

"Binaan rumah ini adalah 15 x 70, kira-kira 850 kaki persegi dan mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air.

PASANGAN ini sanggup berhabis untuk mendapatkan dapur yang selesa untuk seisi keluarga.
PASANGAN ini sanggup berhabis untuk mendapatkan dapur yang selesa untuk seisi keluarga.

"Ruang dapurnya agak sempit jadi kami ubah suai sedikit bagi memastikan ia lebih luas dan selesa," katanya.

Sementara itu, Nur Lydiana mengakui baik dia mahupun Haziq masing-masing teruja untuk berpindah ke kediaman sendiri selepas bertahun menyewa dan tinggal di rumah mentua.

Kata Nur Lydiana, memandangkan tiga anak mereka masih kecil, dia dan suaminya sepakat memilih konsep moden minimalis untuk kediaman mereka.

Katanya, mereka tidak gemarkan terlalu banyak barang di ruang tamu dan mahu kawasan yang luas untuk anak-anak bermain jadi, tiada hiasan pokok atau perabot lain hanya ada sofa dan 'mini bean bag.'

"Begitu juga di ruang lain di dalam rumah kerana kami mahukan suasana yang nampak luas tanpa sarat dengan dekorasi.

"Apa yang penting adalah kawasan dapur dan kami berhabis sedikit untuk mendapatkan dapur idaman yang selesa bagi seisi keluarga.

"Saya bersyukur suami diberikan rezeki untuk membeli rumah ini, ia adalah syurga untuk kami lima beranak, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 7:00 AM