RUMAH kos sederhana.
RUMAH kos sederhana.
Muhamaad Razis Ismail


"BIAR kecil tapi puas hati kerana miliki kediaman sendiri," kata seorang suri rumah, Rosmawati Ismail, 40, mengenai rumah kos sederhana yang dibeli di Taman Kinding Raya, Tanjung Rambutan, Perak, dua tahun lalu.

Rumah tiga bilik dengan keluasan 20 x 65 kaki persegi sudah memadai dan memberi keselesaan untuk mereka sekeluarga.

Rosmawati berkata, sejak berkahwin dengan suaminya, Shah Rizan Jaafar, 39, mereka menyewa di sebuah rumah teres di Taman Klebang Putra, Chemor, Perak, dengan bayaran RM380 sebulan selama sembilan tahun.

"Dalam tempoh itu, kami terpaksa menangguhkan hasrat untuk memiliki kediaman sendiri untuk memastikan keadaan wang benar-benar stabil.

RUANG tamu yang luas.
RUANG tamu yang luas.

"Tipulah saya cakap tidak mahu miliki kediaman sendiri, namun kami tidak mahu terbeban dengan komitmen bayaran bulanan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, dia kemudian berpindah menyewa sebuah rumah kos sederhana di Tanjung Rambutan kerana lokasinya lebih dekat dengan tempat suaminya bertugas sebagai pembantu perawatan kesihatan di Hospital Bahagia, Ulu Kinta.

"Sebelum ini suami terpaksa berulang-alik agak jauh dari kediaman lama ke tempatnya bertugas.

"Kami tinggal di situ selama setahun sebelum pemilik rumah mahu mengambil semula rumah terbabit," katanya.

SEKOLAH berhampiran kediaman.
SEKOLAH berhampiran kediaman.

Tambahnya, dalam tempoh dua bulan, mereka terpaksa mencari kediaman baru di kawasan sekitar.

"Alhamdulillah dengan izin Allah, kami mendapat maklumat melalui seorang rakan yang memaklumkan terdapat rumah ingin dijual di kawasan berhampiran dengan harga agak berpatutan.

"Tanpa berfikir panjang, kami ambil keputusan untuk membeli kediaman itu" katanya.

Beliau berkata, keluarganya turut gembira memiliki kediaman sendiri berikutan lokasinya yang strategik.

"Kawasan perumahan ini, berhampiran dengan banyak kemudahan seperti pasar raya, sekolah, balai polis dan klinik kesihatan.

"Malah rumah ke tempat kerja suami juga hanya 6 kilometer sahaja sekali gus dapat menjimatkan kos perjalanan berbanding sebelum ini.

ROSMAWATI bersama anaknya berusia tujuh tahun..
ROSMAWATI bersama anaknya berusia tujuh tahun..

"Kejiranan juga sangat baik dan kami saling membantu apabila berdepan masalah," katanya.

Katanya, orang ramai yang berkemampuan dinasihatkan memiliki kediaman sendiri selain atau pelaburan.

"Biarpun rumah tidak besar, tapi sekurang-kurangnya kita sudah memiliki aset sendiri yang boleh digunakan di masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 6:10 AM