LAPOR segera kerosakan yang ada kepada pemaju.  FOTO: Sumber Google
LAPOR segera kerosakan yang ada kepada pemaju. FOTO: Sumber Google
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my

SEBAGAI pembeli, anda mungkin berasakan tempoh tanggungan kecacatan yang diberi selepas mendapat kunci rumah adalah lama.

Namun, ia penting dalam mengenal pasti dan melaporkan kerosakan kepada pemaju.

Jika anda sudah berpindah masuk dan mengadakan rumah terbuka, sekiranya terdapat kesan calar di pintu sekalipun, pemaju mungkin tidak mahu memperbaikinya.

Lebih ketara, jika anda sudah mula melakukan kerja pengubahsuaian rumah berkenaan, pemaju boleh menyalahkan pemilik atas kerosakan dilaporkan.

Sebaiknya, segera melakukan pemeriksaan selepas mendapat kunci rumah kerana lagi mudah untuk kerosakan itu diperbaiki.

Biasanya, pemeriksaan dilakukan bersama wakil pemaju ketika proses penyerahan dilakukan.

Walaupun tempoh tanggungan kecacatan masih ada selepas pemeriksaan bersama wakil pemaju, tetapi ia tetap penting bagi pembeli untuk mengenal pasti kecacatan setakat mana yang boleh ketika bersama wakil pemaju terbabit.

Berikut antara langkah penting yang pembeli perlu lakukan ketika melakukan pemeriksaan rumah:

1) Periksa kunci dan pintu

Semua pintu termasuk kabinet, kunci dan kunci pintu perlu diperiksa sebaiknya untuk memastikan ia berfungsi serta tidak tersekat.

Pastikan juga semua anak kunci dan ibu kunci pintu di rumah anda itu sepadan.

Cuba buka dan tutup pintu beberapa kali untuk pastikan ia tiada masalah.

Pintu antara barangan rumah paling berisiko untuk rosak ketika premis dibina dan pemasangan dijalankan.

Jangan lupa periksa bingkai pintu jika terdapat lekuk dan calar.

PASTIKAN kunci sepadan dengan pintu.  FOTO: Sumber Google
PASTIKAN kunci sepadan dengan pintu. FOTO: Sumber Google

2) Periksa setiap permukaan

Tempat yang sentiasa terdedah kepada lekuk dan calar ialah bahagian atas permukaan terutama di bahagian dapur.

Untuk periksa, lalukan tapak tangan anda ke bahagian permukaan bagi memastikan tiada rekahan, calar, lekuk atau lubang besar ditengah-tengahnya.

3) Periksa lantai

Tiada pemilik yang mahu lantai rumah mereka tidak rata. Anda boleh gunakan alat pengukur untuk mengesan keadaan lantai di seluruh rumah.

Salah satu tip untuk memeriksa dengan pantas ialah dengan menggunakan bola golf atau tenis.

Jika bola yang digolek itu tersangkut di mana-mana, ia kemungkinan terdapat rekahan pada lantai.

4) Periksa dinding dan sudut

Papan skirting dan sudut dinding biasanya akan ada jurang atau permukaan yang tak rata apabila tidak diletak dengan elok.

Jadi, sebagai pembeli anda perlu pastikan tiada ruang besar atau rekahan pada dinding dan sudut dinding.

PERIKSA semua pintu termasuk pintu kabinet dapur.  FOTO: Sumber Google
PERIKSA semua pintu termasuk pintu kabinet dapur. FOTO: Sumber Google

5) Periksa air

Jangan buka satu paip saja dan terus anggap yang semua paip dalam rumah tu berfungsi dengan baik.

Periksa kebocoran pada semua paip dan bilik air selain pastikan semuanya berfungsi dengan baik.

Juga jangan ketinggalan untuk memeriksa paip air panas (jika ada) dan pastikan ia juga dalam keadaan baik.

6) Periksa dan uji bekalan tenaga elektrik

Pastikan anda membawa kelengkapan peralatan yang berkaitan.

Tidak ketinggalan, bawa alat pengecas atau sebarang peralatan elektrik supaya anda boleh memeriksa semua soket dalam rumah itu.

Selepas kerosakan dilaporkan, pemaju biasanya perlu memulakan proses pembaikan dalam masa 30 hari.

Sekiranya pemaju masih tidak memberi jawapan dalam tempoh 30 hari, mengikut undang-undang, pembeli boleh memulakan proses pembaikan dengan perbelanjaan ditanggung pemaju.

SEGERA lakukan pemeriksaan selepas mendapat kunci rumah.  FOTO: Sumber Google
SEGERA lakukan pemeriksaan selepas mendapat kunci rumah. FOTO: Sumber Google

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 6:20 AM