KAWASAN perumahan Taman Pandan Pertama 1, Kuantan, Pahang.
KAWASAN perumahan Taman Pandan Pertama 1, Kuantan, Pahang.
Nurul Husna Mahmud


BANYAK faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum membeli hartanah pertama untuk dijadikan kediaman mahupun aset pelaburan.

Selain kedudukan strategik, aspek lain termasuk rumah atau hartanah itu berada dalam lokasi terdedah kepada risiko bencana perlu diletak dalam senarai teratas.

Itu antara perkara diteliti kakitangan sebuah universiti di Pahang, Noraini Hussin apabila mencari kediaman impian atau rumah pertamanya.

"Cabaran pada saya ialah lokasi berkenaam perlu strategik termasuk terletak di luar kawasan banjir.

BAHAGIAN dalam rumah.
BAHAGIAN dalam rumah.

"Apabila menyebut kawasan strategik, aspek saya lihat merangkumi fasiliti seperti lapangan terbang selain tidak jauh dari tempat kerja.

"Pada masa sama, harga rumah perlu bersesuaian dengan kemampuan diri dan sepadan dengan keluasannya," katanya.

Kata Noraini, rumah pertamanya itu berstatus pegangan bebas dan teres berkeluasan 22x70 kaki persegi cukup selesa diduduki.

"Rumah terletak di Taman Pandan Pertama 1, Kuantan itu saya beli pada harga sekitar RM160,000 pada 2012.

TAMAN permainan di taman perumahannya.
TAMAN permainan di taman perumahannya.

"Pada saya ia berbaloi kerana status tanah dan jenis rumah itu sendiri.

"Kebetulan saya masih bujang, saya sewakan bilik kepada penyewa luar setidaknya membantu saya menampung ansuran bulanan.

"Boleh katakan lokasi strategik iaitu tidak jauh dari pusat bandar selain berhampiran pasar raya dan kemudahan seperti klinik mahupun farmasi menyebabkan mudah saya mencari penyewa," katanya.

Menceritakan prosedur dilalui kata Noraini, ejen disarankan rakan sekerja memudahkan proses pembelian.

"Sepanjang urusan pembelian hartanah tiada masalah kerana ia projek baharu.

NORAINI di depan rumahnya.
NORAINI di depan rumahnya.

"Ejen yang uruskan dan pemaju juga permudahkan urusan dokumentasi termasuk menanggung kos peguam untuk segala urusan jual beli," katanya.

Namun dia tidak menolak pemilik rumah perlu menyiapkan peruntukan luar jangka kerana kerja pengubahsuaian termasuk pendawaian dan membeli peralatan serta perabot memerlukan kos tinggi.

"Saya terpaksa membelanjakan tidak kurang daripada RM10,000 untuk kerja pengubahsuaian sebelum rumah boleh diduduki.

"Jadi saranan saya selain melihat aspek komitmen bulanan serta deposit, pembeli rumah baharu perlu ada ekstra sekurang-kurangnya RM10,000 untuk kos luar jangka.

"Ini membabitkan pendawaian, kerja pasang gril dan perabot mahupun lain-lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 6:30 AM