LAMAN luas rumah milik Dr Khairul Idzham. FOTO Dr Khairul Idzham Abdul Khalid
LAMAN luas rumah milik Dr Khairul Idzham. FOTO Dr Khairul Idzham Abdul Khalid
Hafiz Ithnin

MELIHAT perkongsian foto pemilik kediaman itu, sememangnya menjadi idaman termasuk penulis kerana mempunyai reka bentuk hiasan dalaman yang menarik dan mewah.

Bagaimanapun, siapa sangka di sebalik foto itu sebenarnya terungkap kisah penuh cabaran pemiliknya untuk memiliki rumah diidamkan.

Bukan sahaja perlu mempunyai aliran tunai yang baik, malah si isteri turut sanggup 'berkorban' untuk memastikan impian mereka sekeluarga dicapai.

Pemilik, Dr Khairul Idzham Abdul Khalid berkata, sudah menjadi impiannya memiliki rumah tanpa pagar sejak di bangku sekolah menjadikan dia dan isteri sepakat untuk memiliki aset berharga RM640,000 terletak di Puncak Alam, Selangor itu.

Beliau berkata, proses memiliki rumah itu bukan sesuatu yang mudah terutama untuk mendapatkan pembiayaan daripada bank yang amat teliti melihat aliran wang di dalam akaun dan komitmen bulanan.

BILIK tidur untuk tetamu.
BILIK tidur untuk tetamu.

BILIK tidur anak-anak.
BILIK tidur anak-anak.

"Hampir dua bulan masa diambil untuk mendapatkan bank yang boleh memberikan pembiayaan 90 peratus kepada saya bagi memiliki rumah ini dan bank kesebelas baru lulus.

"Sebenarnya dari segi pendapatan saya tiada masalah, cuma aliran wang keluar dan masuk tiada dalam akaun kerana dibayar secara tunai. Jadi, bank tidak melihat pendapatan sebenar," katanya.

Dr Khairul Idzham mengakui mempunyai aliran wang tunai di dalam tangan juga penting kerana selain perlu menyediakan wang deposit dan wang tempahan pula memerlukan hampir RM40,000.

"Agak mencabar juga untuk membeli rumah pertama ini memandangkan sebelum ini kita hanya membacanya. Apabila kita sendiri berdepan situasi sebenar, baru tahu bahawa aliran tunai dalam tangan dan wang keluar masuk dalam akaun amat memainkan peranan penting," katanya.

Antara tarikan lain menjadi faktor lelaki berusia 36 tahun itu ingin memiliki rumah berkenaan kerana dekat dengan klinik dia bertugas dan sudah biasa dengan kawasan berkenaan.

RUANG makan yang ceria.
RUANG makan yang ceria.

Jelasnya, membeli rumah yang sudah biasa dengan persekitarannya menjadikan mereka lebih selesa, apatah lagi mudah untuk menguruskan anak-anak ke sekolah dan rumah pengasuh.

Katanya, rumah teres dua tingkat bersaiz 1,800 kaki persegi itu juga siap sepenuhnya pada November tahun lalu dan dia sekeluarga tidak terus berpindah untuk membolehkan mereka membuat renovasi terlebih dahulu.

"Memandangkan ini adalah rumah pertama saya dan dibeli untuk dihuni bersama keluarga, jadi saya dan isteri sepakat untuk menjadikan rumah ini serasi dengan cita rasa kami.

"Dalam masa sama kami mengumpul wang untuk membolehkan kerja renovasi dilakukan antaranya di bahagian dapur, laman rumah, bilik tidur dan ruang utama," katanya.

Katanya, bagi aktiviti renovasi rumah selain menggunakan melakukan sendiri, ia juga mendapat sentuhan daripada pakar hiasan dalaman untuk mendapatkan hasil lebih teliti dan halus.

"Dari segi kos renovasi juga agak memakan belanja yang tinggi sekitar RM150,000 sudah diperuntukan, tetapi kami agak berpuas hati dengan hasil yang diperoleh selepas itu kerana ia kena dengan cita rasa.

DR Khairul Idzham dalam rumah yang baharu direnovasi.
DR Khairul Idzham dalam rumah yang baharu direnovasi.

MENGHIAS rumah dengan memiliki kolam kecil.
MENGHIAS rumah dengan memiliki kolam kecil.

"Bagi saya, untuk rumah pertama ini agak besar belanjanya, tetapi ia adalah tempat untuk kami sekeluarga tinggal dan pastinya sebagai ketua keluarga saya mahukan isteri dan anak-anak tinggal dalam suasana rumah yang selesa," katanya.

Tambahnya, isterinya juga amat menyokong untuk melakukan kerja renovasi walaupun menelan belanja tinggi dan turut membantu mengeluarkan modal bersama.

"Saya tidak malu untuk katakan isteri sanggup menjual barang kemas miliknya untuk membolehkan kami mempunyai rumah idaman ini kerana dia insan yang paling banyak membantu mencapai cita-cita saya untuk menyediakan rumah selesa untuk keluarga.

"Paling penting ialah kami juga sentiasa membuat perkiraan bagi memastikan wang yang dibelanjakan berbaloi dan tidak memberi komitmen bulanan yang tinggi pada masa depan," katanya.

SENTUHAN mewah hiasan dalaman.
SENTUHAN mewah hiasan dalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 7:00 AM