KEDIAMAN Zulkifly.
KEDIAMAN Zulkifly.
Muhamaad Razis Ismail

SELEPAS hampir lapan tahun tinggal bersama mentua, seorang pegawai keselamatan di sebuah universiti di Kelantan kini berjaya memiliki kediaman sendiri di Kampung Bukit Tereh, Kuala Krai.

Zulkifly Long, 35, bersama isteri Cik Noraini Ismail, 35, dan tiga anaknya mula berpindah ke kediaman yang siap dibina Januari lalu.

Biarpun terpaksa berulang-alik sejauh 160 kilometer setiap hari ke tempatnya bertugas di Bachok, Kelantan, Zulkifly tidak ralat kerana berpuas hati memiliki kediaman sendiri.

Malah Zulkifly turut melantik kontraktor sendiri untuk kediaman seluas 2,000 kaki persegi dengan empat bilik yang mula dibina Jun tahun lalu itu.

Katanya, dia membuat pinjaman peribadi di sebuah bank dan menggunakan wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Saya bersyukur rumah ini berjaya disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan pada harga yang agak berpatutan. Malah dengan duit pinjaman itu, saya masih mampu untuk membeli perabot untuk kediaman baru.

ZULKIFLY (kanan) bersama isterinya.
ZULKIFLY (kanan) bersama isterinya.

RUANG tamu memberi keselesaan kepada keluarganya.
RUANG tamu memberi keselesaan kepada keluarganya.

"Biarpun jauh dari tempat bekerja, saya selesa tinggal di sini kerana dekat dengan tempat kerja isteri dan kediaman mentua," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Menurutnya, selain itu, kediamannya itu terletak hanya tiga kilometer dari bandar Kuala Krai.

"Di bandar Kuala Krai terdapat pelbagai kemudahan termasuk pasar raya, hospital, bank dan sebagainya.

"Oleh itu, saya tidak pergi jauh untuk ke bandar sekali gus dapat menjimatkan masa dan wang.

"Salah seorang anak saya berusia dua tahun yang menghidap penyakit cerebral palsy sejak lahir juga mudah dibawa ke hospital untuk rawatan," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini dia pernah beberapa kali mencuba untuk memiliki kediaman sendiri menerusi projek kerajaan pusat dan kerajaan negeri namun gagal kerana tidak memenuhi syarat.

DAPUR yang luas
DAPUR yang luas

"Saya pernah memohon untuk membeli kediaman di Rantau Panjang berdekatan dengan kampung pada 2016, namun tidak berjaya.

"Kemudian saya mencuba mencari beberapa projek perumahan milik kerajaan negeri namun tidak meneruskannya kerana menyedari tidak memenuhi syarat yang ditetapkan," katanya.

Mengulas lanjut, selepas itu dia mencari kediaman di sekitar bandar Kuala Krai yang berhampiran dengan rumah mentua.

"Mungkin rezeki saya apabila mentua menawarkan untuk membina kediaman sendiri di atas tanah miliknya.

"Saya bersyukur urusan dipermudahkan dan akhirnya impian untuk memiliki kediaman sendiri menjadi kenyataan," katanya.

HOSPITAL yang terletak berhampiran kediamannya
HOSPITAL yang terletak berhampiran kediamannya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 6:30 AM