PEMBANTU tadbir miliki pangsapuri di lokasi strategik dengan panorama indah Putrajaya. FOTO Lokman Hakim Zubir
PEMBANTU tadbir miliki pangsapuri di lokasi strategik dengan panorama indah Putrajaya. FOTO Lokman Hakim Zubir
PPAM pilihan utama penjawat awam untuk memiliki rumah sendiri. FOTO Lokman Hakim Zubir
PPAM pilihan utama penjawat awam untuk memiliki rumah sendiri. FOTO Lokman Hakim Zubir
Fairul Asmaini Mohd Pilus


ISU kemampuan memiliki rumah dalam kalangan penjawat awam sebelum ini hangat dibincangkan dan ia dikatakan kritikal serta perlu diberi perhatian.

Apa tidaknya, harga semasa pasaran hartanah terutama di Lembah Klang kini meningkat berkali ganda dan ia sukar untuk dimiliki terutama bagi golongan berpendapatan rendah serta sederhana khususnya kakitangan kerajaan.

Justeru, keputusan kerajaan untuk mewujudkan Skim Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) memberi sinar kepada golongan berkenaan.

Antaranya, Shamsul Rizal Abdul Abdul Rahman, 37, mengakui bersyukur kerana berpeluang membeli kediaman pertamanya jenis pangsapuri menerusi skim berkenaan di lokasi strategik, Putrajaya.

Pembantu tadbir di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu sebelum ini tinggal menyewa sebelum berpindah ke kuarters.

Menyorot kisah pembelian itu, Shamsul Rizal yang mesra disapa dengan panggilan Sham berkata, pada 2013 dia membuat permohonan membeli kediaman menerusi skim terbabit.

SYURGA kecil bagi keluarga Shamsul Rizal. FOTO Lokman Hakim Zubir
SYURGA kecil bagi keluarga Shamsul Rizal. FOTO Lokman Hakim Zubir

MEMANFAATKAN ruang balkoni untuk sudut santai keluarga. FOTO Lokman Hakim Zubir
MEMANFAATKAN ruang balkoni untuk sudut santai keluarga. FOTO Lokman Hakim Zubir

Namun dia mengakui tidak menaruh harapan tinggi memandangkan ribuan kakitangan awam lain turut memohon dan semuanya bergantung kepada rezeki.

“Alhamdulillah, pada 2017 saya mendapat surat tawaran untuk membeli kediaman PPAM Pudina yang terletak di Presint 17 pada harga RM220,000.

“Mujur kakitangan awam boleh membuat pinjaman dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dan urusan membuat pinjaman juga tidak sesukar dengan bank konvensional.

“Lebih menarik, khidmat peguam turut disediakan dan semua itu menjadikan proses pembelian rumah lebih cepat,” katanya.

Menurut Sham, meskipun kediaman itu siap pada 2018, namun dia bersama isterinya, Noor Hasimah Abdul Rahim, 31, dan anak mereka, Adam Azrael, 4, hanya berpindah masuk setahun lalu.

Katanya, kediaman seluas 1,000 kaki persegi itu mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air.

DEKORASI ringkas yang selesa untuk seisi keluarga. FOTO Lokman Hakim Zubir
DEKORASI ringkas yang selesa untuk seisi keluarga. FOTO Lokman Hakim Zubir

Selain itu, rumah berkenaan juga hadir dengan ruang balkoni yang mempunyai panorama indah kawasan Putrajaya.

“Walaupun perlu membayar RM1,200 sebulan termasuk caj penyelenggaraan namun ia pelaburan berbaloi memandangkan lokasinya yang strategik.

“Dari rumah ke pejabat juga hanya mengambil masa 15 minit dan kediaman ini sungguh selesa, ia umpama ‘syurga’ buat keluarga kecil kami,” katanya.

Shamsul Rizal berkata, dia tidak melakukan banyak pengubahsuaian di kediaman berkenaan dan hanya membina kabinet dapur.

Untuk dekorasi dalaman pula, dia memilih perabot yang mampu milik dan mudah dialihkan.

Bagi menampakkan ruang yang luas, rona asal dinding iaitu putih dikekalkan.

“Selain harga yang berbaloi, kediaman jenis pangsapuri menjadi pilihan kerana ia mempunyai pelbagai kemudahan antaranya kawalan keselamatan, taman permainan kanak-kanak dan khidmat penyelenggaraan berjadual.

“Sementara anak masih kecil dan tidak ramai, kediaman jenis pangsapuri menjadi pilihan utama namun sekiranya ada rezeki, kami juga berhasrat memiliki kediaman jenis teres pula satu hari nanti,” katanya.

SHAMSUL Rizal dan keluarga. FOTO Lokman Hakim Zubir
SHAMSUL Rizal dan keluarga. FOTO Lokman Hakim Zubir

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 7:00 AM