TINGGALAN kaum Nabatean.
TINGGALAN kaum Nabatean.
WALAUPUN mencecah usia ratusan tahun, seni bina bangunan masih utuh.
WALAUPUN mencecah usia ratusan tahun, seni bina bangunan masih utuh.
KAWASAN Kubu Musa b Nusyar membolehkan pengunjung melihat pemandangan sekitar Kota Lama Al-Ula.
KAWASAN Kubu Musa b Nusyar membolehkan pengunjung melihat pemandangan sekitar Kota Lama Al-Ula.
Masnira Ramli


JIKA Eropah memiliki kota klasik dan bersejarah seperti Venice, rasanya di Asia Barat, Old City Al-Ula atau Kota Lama Al-Ula adalah lokasi paling sesuai untuk dikunjungi.

Penulis yang merantau dan menetap di Arab Saudi sejak 10 tahun lalu kerana mengikut suami bertugas di negara itu berasakan satu kerugian jika tidak berkongsi mengenai lokasi atau tarikan unik yang terdapat dalam wilayah Madinah itu.

Al-Ula terletak di barat laut Arab Saudi dan keluasannya meliputi 29,261 kilometer persegi dengan tarikan sejarah yang terdapat di kawasan berkenaan sedia untuk diterokai pengunjung.

Antara paling tersohor adalah Kota Nabi Saleh menerusi peninggalan kaum Nabatean yang memiliki kemahiran menakjubkan apabila mampu mengukir batu dan gunung untuk dijadikan struktur binaan seperti rumah serta kawasan ibadat mereka.

Namun kali ini pengembaraan penulis bersama keluarga adalah mengunjungi Kota Lama Al- Ula iaitu antara lokasi tarikan yang baharu dibuka semula kepada pelancong kerana ditutup ketika pandemik Covid-19.

Kota Lama Al-Ula juga tapak arkeologi sebelum ini dan berada kira-kira 22 kilometer dari Kota Nabi Saleh. Boleh lihat perbezaan masyarakat berlainan zaman apabila kota lama menampilkan struktur bangunan dibina daripada tanah liat dan bat, sementara Kota Madain adalah daripada struktur batu dan gunung semula jadi.

PENULIS dan keluarga di lokasi Tantora.
PENULIS dan keluarga di lokasi Tantora.

Difahamkan keluarga terakhir meninggalkan Kota Lama Al-Ula pada 1983 manakala masjid di kota itu berkhidmat kali terakhir pada 1985. Ini bermakna kota lama ini tidak berpenghuni hampir 40 tahun dan menjadi antara tapak arkeologi sebelum dibuka kepada pengunjung.

Lebih unik lagi, paderi dari Perancis, Antonin Jaussen dan Raphael Savignac mengunjungi kota berkenaan sebanyak tiga kali iaitu pada 1907, 1908 dan 1910 bagi mengutip transkrip lama kaum Lihyanit, Minaean, Thamudic serta Nabatean.Melihat kawasan itu menarik minat pengkaji Barat, rasanya satu kerugian jika berada di bumi Saudi, tetapi tidak meneroka atau melihat sendiri peradaban masyarakat zaman silam.

Meskipun teruja mengalu-alukan kehadiran pelancong, kerajaan Arab Saudi masih menetapkan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi setiap pengunjung dalam memastikan keselamatan terutama apabila varian baharu, Omicron masih menular di kebanyakan negara termasuk negara berkenaan.

Selain perlu imunisasi penuh termasuk dos penggalak, penjarakan fizikal dan had tertentu jumlah pengunjung dalam satu-satu masa juga ditetapkan.

PENERANGAN mengenai Tantora oleh pemandu pelancong dan terdapat maklumat pada papan pameran.
PENERANGAN mengenai Tantora oleh pemandu pelancong dan terdapat maklumat pada papan pameran.

Setiap pelancong wajib menggunakan khidmat pemandu pelancong yang sudah dilantik untuk meneroka kawasan dikunjungi selain mendapat maklumat betul mengenai setiap lokasi dilawati.

Bagi penulis, lawatan sehari di kota lama ini antara pengalaman menarik. Kota ini sangat luas dan mencabarnya, semua bangunan hampir sama kerana dibina daripada tanah liat dan batu.

Antara keunikan lain di sini termasuk satu lokasi yang menempatkan jam matahari atau dikenali dengan nama 'Tantora' dalam kalangan penduduk tempatan. Ini antara teknologi digunakan masyarakat dahulu bagi menjejaki perubahan musim dan mengatur giliran sumber air.

Cara ia berfungsi ialah bayang yang menjadi tanda aras bermula dan berakhirnya musim sejuk. Bayang yang terhasil daripada satu struktur berbentuk seperti menara akan dijadikan sebagai penanda.

‘SPOT’ perhentian unik.
‘SPOT’ perhentian unik.

Kecondongan bayang kiri dan kanan adalah mekanisme digunakan penduduk zaman itu untuk giliran bekalan air bagi ladang mengikut kawasan.

Ada beberapa kawasan untuk pengunjung untuk melihat pemandangan sekitar kota dan lokasi bergambar paling strategik ialah dari kubu Musa b Nusyar yang terletak di kawasan tinjau lebih tinggi.

Memang mencabar kerana pengunjung terpaksa mendaki anak tangga bagi mendapatkan gambar yang menarik. Bagi penulis ini adalah momen atau pengalaman amat berbaloi kerana dapat menyaksikan keseluruhan pemandangan Kota Lama Al-Ula.

Di kawasan ini sebahagian besar bangunan asal dikekalkan dan boleh lihat kesan peninggalan iaitu ukiran simbol kaum Nabatean masih dapat dilihat pada dinding batu di sesetengah bangunan yang ada.

KEDAI menjual cenderahati menampilkan dekorasi bercirikan tradisi tempatan.
KEDAI menjual cenderahati menampilkan dekorasi bercirikan tradisi tempatan.

Kawasan kota lama itu juga terbahagi antara kawasan penempatan dan umum termasuk bahagian pasar yang menjual pelbagai cenderahati serta produk kraf tempatan selain restoran. Mengikut sejarah, kota ini memiliki 900 rumah lama dan 400 kedai.

Boleh bayangkan betapa sibuknya kota ini suatu ketika dahulu kerana menjadi laluan utama dan penempatan penting. Berdasarkan makluman pemandu pelancong, pada abad ke-12, ia adalah laluan haji antara Kota Damsyik ke Makkah.

Jika inginkan maklumat lanjut, boleh kunjungi muzium di lokasi sama. Disarankan mengunjungi kota lama ini ketika Festival Tantora yang diadakan menjelang musim sejuk pada penghujung Disember hingga Februari.

Festival ini kali pertama diraikan pada 2018 dan suasana meriah dengan persembahan muzik artis tersohor tempatan dan luar negara.

SUASANA di Kota Lama Al-Ula.
SUASANA di Kota Lama Al-Ula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 6:20 AM