PEMANDANGAN Kota Kotor dari Old City Wall.
PEMANDANGAN Kota Kotor dari Old City Wall.
Muhamad Irfan Ab Manaf

Pertama kali penulis mengetahui kewujudan kota Kotor, Montenegro melalui perkongsian seorang rakan di akaun Instagramnya.

Rakan penulis ketika itu memuat naik sekeping gambar dengan papan tanda tertulis Kotor.

Namun, pemandangan yang dipaparkan dalam gambar itu sangat indah dan menakjubkan yang jauh berbeza dengan perkataan yang tertulis pada papan tanda itu kalau mengikut erti bahasa Melayu!

Kotor adalah sebuah kota di negara Montenegro yang terletak di pesisir Teluk Kotor.

Kedudukannya yang strategik menjadikan kota ini pilihan untuk didiami masyarakat sejak zaman dahulu.

Kotor turut dinamakan sebagai Natural and Culturo-Historical Region of Kotor dan dinobatkan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sejak 1979.

PENULIS bersama rakan bergambar berlatarbelakangkan Teluk Kotor.
PENULIS bersama rakan bergambar berlatarbelakangkan Teluk Kotor.

Penulis bersama beberapa rakan berpeluang melawat kota Kotor pada Disember 2019.

Perjalanan penulis bersama beberapa rakan dengan bas selama enam jam dari Tirana, Albania terasa amat singkat kerana dihidangkan pemandangan sangat mempesonakan.

Penulis tiba di stesen bas Kotor pada jam 2 petang. Suasana di stesen bas juga agak sunyi kerana tidak ramai pengunjung di kota itu pada musim sejuk.

Sebaik turun dari bas, penulis disapa seorang lelaki yang menawarkan perkhidmatan pemandu. Namun penulis menolak tawaran itu dan nekad untuk hanya berjalan ke penginapan terletak hanya empat kilometer dari stesen bas.

PEMANDANGAN di penghujung Oldtown Budva.
PEMANDANGAN di penghujung Oldtown Budva.

Bagaimanapun, kesejukan pada ketika itu membuatkan penulis dan rakan mengubah fikiran untuk kembali menerima tawaran lelaki berkenaan dengan tambang 10 euro sahaja untuk lima orang.

Pada masa sama, dia turut menawarkan perkhidmatan pemandu pelancong kepada penulis dengan harga yang sangat berpatutan iaitu 100 euro untuk lima orang dari jam 7 pagi hingga 7 malam.

KEINDAHAN pemandangan di Teluk Kotor.
KEINDAHAN pemandangan di Teluk Kotor.

Penulis bersetuju dengan tawaran itu. Pertemuan dengan lelaki tidak dikenali yang bernama Milam adalah satu rezeki kerana ia lebih jimat dan memudahkan berbanding menggunakan pengangkutan awam.

Kebanyakan rumah tumpangan di kota ini terletak di sepanjang Teluk Kotor. Seni bina rumah tumpangan juga agak klasik kerana Kotor adalah sebuah kota purba.

Penulis menginap di sebuah rumah tumpangan yang hanya beberapa meter dari Teluk Kotor. Rumah itu mempunyai balkoni yang membolehkan penulis menikmati pemandangan Teluk Kotor berlatarkan gunung batu kapur, Gunung Lovcen.

Pemilik rumah tumpangan itu amat mesra menjadikan penulis amat selesa selama menginap di situ. Kadar sewaan rumah tumpangan di Kotor jauh lebih murah ketika musim sejuk.

Penulis hanya perlu berjalan kaki untuk sampai ke Kotor Oldtown dari rumah tumpangan. Penulis terpesona melihat banyak kucing yang berkeliaran di sekitar Oldtown.

Seni bina Kotor Oldtown tidak banyak bezanya dengan Oldtown di tempat lain. Terdapat sebuah gereja besar di dalamnya iaitu Cathedral of Saint Tryphon yang dibina pada 1166.

Di sini juga terdapat banyak kafe untuk menikmati secangkir kopi. Kedai menjual cenderamata juga dengan harga yang berpatutan.

BUAH-buahan dan sayur segar di pasar pagi Kotor.
BUAH-buahan dan sayur segar di pasar pagi Kotor.

Penulis berkesempatan mendaki Old Town's City Wall untuk menikmati pemandangan indah keseluruhan kota Kotor.

Malah, suka penulis sarankan supaya pendakian dilakukan pada sebelah pagi kerana anda akan disajikan dengan pemandangan yang menakjubkan dengan ditemani kucing comel sepanjang pendakian.

Kedudukannya di Teluk Kotor menjadikan kota ini mempunyai banyak hasil laut yang segar. Penulis berkesempatan pergi ke pasar pagi dan melihat banyak hasil laut, sayur-sayuran dan buah-buahan segar pada harga berpatutan.

Penulis memilih untuk membeli bahan mentah di pasar pagi itu dan memasak di rumah tumpangan. Pilihan itu tepat kerana penulis dapat menjimatkan kos berbanding makan di restoran.

Sebenarnya tempoh dua hari sudah memadai untuk anda meneroka seluruh kota Kotor. Bagaimanapun, sekiranya anda ada lebihan masa, terdapat beberapa tempat menarik lain yang mudah untuk dilawati dan terletak berdekatan kota Kotor termasuk Tasik Shkoder, Budva dan Perast.

Kemudian penulis meninggalkan kota Kotor dengan kenangan indah untuk meneruskan perjalanan menuju ke Dubrovnik, Croatia.

Harapan penulis semoga dapat kembali lagi ke Kotor dan kawasan sekitarnya pada masa akan datang.

Semoga keindahan dan ketenangan yang ada di kota Kotor akan terus kekal selama-lamanya!

KUCING comel di Kotor Oldtown sedia menemani.
KUCING comel di Kotor Oldtown sedia menemani.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 7:00 AM