PENULIS merakam kenangan di atas buaian dengan berlatarbelakangkan danau dan gunung.
PENULIS merakam kenangan di atas buaian dengan berlatarbelakangkan danau dan gunung.
Nur Atikah Muhammad Ramlan


Semarang, Indonesia biasanya tidak tersenarai sebagai lokasi percutian sebaliknya kerap menjadi destinasi persinggahan bagi pelancong dari Malaysia untuk ke destinasi berhampiran seperti Karimun Jawa atau Dieng.

Bagi penulis yang sukakan seni bina bangunan lama memilih untuk bercuti ke destinasi itu kerana ia antara kota yang memiliki bangunan lama yang unik untuk dihayati.

Percutian selama lima hari bermula 20 Julai 2019 itu turut menyelit kunjungan ke Temanggung yang kira-kira dua jam perjalanan dari kota itu bagi mengisi jadual perjalanan.

Penulis yang juga mengembara secara solo melihat kemudahan pengangkutan awam sebagai elemen penting bagi akses ke semua tempat yang dirancang.

Rujukan dilakukan menerusi laman Facebook membabitkan kumpulan pengembara dari Malaysia dan negara seberang seperti Backpackers Buddies Malaysia (BBM), Backpacker's Indonesia (BPI) dan laman blog tertentu.

Selain bas dan van pelancong yang boleh memudahkan perjalanan melawat kawasan tarikan, perkhidmatan 'gojek' (khidmat motosikal berbayar) jadi pilihan penulis yang mengembara secara bersendirian.

Pengangkutan itu mudah dan berpatutan untuk sampai ke lokasi tarikan termasuk Lawang Sewu. Lawang Sewu bermaksud seribu pintu secara tidak langsung menerangkan keadaan 'wisata' (tarikan pelancongan) itu yang juga bangunan era kolonial dengan ratusan pintu.

Kalau hendak beri gambaran kawasan ini dengan bangunan yang memiliki ciri-ciri sama di Malaysia, penulis boleh beri bayangan bangunan stesen kereta api seperti di Ipoh dengan latar bangunan berwarna putih dan rekaan Eropah adalah yang terdekat.

Meskipun bangunan ini lama, binaannya masih utuh dan jelas kelihatan setiap bilik ada ciri-ciri dan kisah tersendiri. Boleh dikatakan tiga perempat daripada jumlah bilik yang ada boleh diakses pengunjung termasuk untuk bergambar. Caj masuk dikenakan sekitar 10,000 rupiah bersamaan RM3 untuk menjelajah segenap bangunan ini.

KAMPUNG Pelangi antara tarikan tersohor di Semarang.
KAMPUNG Pelangi antara tarikan tersohor di Semarang.

KAMPUNG Batik juga antara destinasi unik yang boleh dilawati ketika berada di Semarang.
KAMPUNG Batik juga antara destinasi unik yang boleh dilawati ketika berada di Semarang.

Jika Lawang Sewu membabitkan hanya sebuah bangunan kolonial sudah mampu mengujakan, keseronokan itu berganda apabila menjejak kaki ke Kota Lama. Destinasi tarikan itu adalah tujuan utama pengembaraan penulis ke Semarang.

Menyusuri Kota Lama boleh dikatakan sebagai perjalanan mengasyikan seolah-olah mengembara menggunakan mesin masa untuk ke satu kawasan yang dipenuhi bangunan lama.

Seluruh kawasan itu tampak cantik dengan bangunan bercirikan kolonial iaitu struktur pintu dan tingkap dengan bukaan luas yang juga menjadi pengenalan bahawa Belanda pernah mendiami bandar itu pada kurun ke-17.

Tumpuan utama di sini ialah Gereja Blenduk yang juga 'spot' utama untuk pengunjung bergambar selain bangunan sekitar yang dikatakan mendapat sentuhan beberapa arkitek Eropah ternama era itu seperti J P de Bordes W Westmass, HP De Wilde, Henry Thomas Karsten dan Lim Bwan Tjie.

Lebih membuatkan pemandangan kota itu unik apabila adanya terusan sekitar kawasan terbabit dan memiliki beberapa jambatan. Paling terkenal adalah Jambatan Berok.Terdapat juga pengaruh Arab dan China yang menunjukkan kota itu juga pernah menjadi tumpuan perdagangan.

Bukan sekali, sebaliknya ini kali kedua kunjungan penulis ke lokasi ini iaitu pada siang dan malam kerana suasana kedua-dua waktu itu berbeza.

Tidak hanya ada bangunan lama di Semarang, malah tarikan unik seperti Kampung Pelangi boleh dikunjungi pelancong. Kampung Pelangi ini memang meriah dengan rumah atau bangunan di segenap kampung dicat dengan warna-warni.

Ada juga dilukis dengan lukisan tiga dimensi untuk memberi peluang peminat aktiviti swafoto merakam momen indah di kampung terbabit. Paling ekstrem bagi penulis apabila berada di kampung itu ialah mendapati jalan turut dicat.

Sementara Temanggung pula juga dikenali sebagai Kota Tembakau kerana boleh dilihat tanaman tembakau berada di segenap kawasan itu. Temanggung adalah kawasan tanah tinggi dan pergunungan.

Sebenarnya idea untuk melawat ke kawasan ini tercetus apabila kenalan yang dikenali menerusi laman Couchsurfing, Nathalie, menceritakan mengenai lokasi terbabit.

BANGUNAN Lawang Sewu gah seperti istana kerana memiliki banyak bilik seperti namanya yang bermaksud ‘seribu pintu’.
BANGUNAN Lawang Sewu gah seperti istana kerana memiliki banyak bilik seperti namanya yang bermaksud ‘seribu pintu’.

PASAR antik boleh dikunjungi peminat barangan lama di Kota Lama.
PASAR antik boleh dikunjungi peminat barangan lama di Kota Lama.

Jadi, dia menjadi pemandu pelancong untuk dua lokasi tarikan di Temanggung iaitu Embung Kledung dan Sinsu Edupark Wonosobo. Istimewanya Embung Kledung adalah kedudukannya antara Gunung Sindoro dan Gunung Sumbing.

Di situ ada danau ikan koi yang pengunjung boleh beli makanan dan beri makan ikan koi putih oren. Memang unik apabila ikan hiasan ini mengerumun sebaik diberi makanan memberi panorama warna putih dan oren pada permukaan kolam yang berwarna kehijauan. Terdapat juga sudut bergambar dengan latar belakang gunung dan danau.

Berdekatan Embung Kledung terdapat taman rekreasi. Sinsu Edupark Wonosobo baru dilancarkan dua hari sebelumnya. Sinsu adalah gabungan nama gunung Sindoro dan Sumbing. Masih baru, tapi cantik juga panorama di situ. Sesuai untuk seisi keluarga bersantai sambil menikmati pemandangan indah.

Pengalaman tidak boleh dilupakan penulis sepanjang percutian adalah pada hari kedua apabila penulis berpeluang mengunjungi Desa Wisata Lembah Kalipancur.

Baca di laman blog, tempat ini terkenal sebab ada bangkai pesawat yang dijadikan restoran. Selain itu ada taman yang luas dan zoo mini. Tapi sayangnya, tempat itu tidak lagi dijaga. Taman dan kawasan pesawat terbiar. Lepas 15 minit, terus pulang.

Antara lain yang unik bagi penulis mengenai lokasi ini juga adalah gaya hidup masyarakat tempatan yang melakukan transaksi harian tanpa tunai.

Mereka ini pada penulis lebih ke hadapan dalam teknologi ini apabila hampir semua penjual termasuk di pasar malam menggunakan platform pembayaran tanpa tunai. Apabila penulis membuat bayaran secara tunai, reaksi pelik diberikan kebanyakan penjual termasuk untuk bayar 'gojek.'

Sajian wajib jika turun ke Semarang ialah 'babat gongso' dan 'nasi goreng babat'. Makanan khas Semarang yang menggunakan perut lembu dimasak dengan kicap manis dan cili. Ringkas tetapi lazat. Memang teringat-ingat dan jadi pilihan setiap kali makan malam.

Bagi buah tangan pula, 'wingko babat' sinonim dengan Semarang. Memang itu yang dicadangkan penduduk di sana untuk dicuba atau sebagai ole-ole. Bahan utama tepung pulut dan kelapa serta dijual pelbagai saiz dan perisa. Tapi selalunya yang dijual bentuk 'pancake' bulat seperti dorayaki. Rasanya hampir sama dengan kuih dangai di Malaysia!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 7:00 AM