KEUNIKAN rumah 'hobbit' menarik perhatian pengunjung.
KEUNIKAN rumah 'hobbit' menarik perhatian pengunjung.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


TIDAK perlu terbang jauh ke New Zealand untuk melihat kecomelan rumah 'hobbit' sebaliknya anda hanya ke negara jiran kita sahaja.

Sebut sahaja mengenai Bandung, Indonesia, pasti ramai yang akan teruja.

Suatu ketika dahulu, ia bukan sahaja umpama 'syurga' kepada kaki membeli-belah, malah turut menjadi destinasi pelancongan yang menawarkan pelbagai pilihan kepada pelancong.

Khabar terbaharu dari Bandung, destinasi itu kini memiliki tarikan pelancongan menarik iaitu Farmhouse Susu Lembang.

Konsep unik yang ditawarkan Farmhouse Susu Lembang menjadikan ia kini antara lokasi pilihan utama rakyat Indonesia untuk menghabiskan hujung minggu.

Terletak di kawasan resort pelancongan tanah tinggi yang nyaman, rumah ladang itu antara tempat 'sejuk' popular dalam kalangan rakyat Indonesia.

Seni bina landskap dan rekaan bangunan di Farmhouse Susu Lembang juga unik kerana ia direka dengan elemen Eropah terutama ala Belanda.

Selain itu, ia turut dihiasi dengan dekorasi mercu tanda terkenal daripada beberapa negara termasuk kincir angin yang popular di Belanda.

Sesuai dengan namanya, pengunjung juga berpeluang bermesra dan memberi makan kepada pelbagai haiwan jinak seperti biri-biri, lembu, kuda dan burung.

TERLETAK di kawasan tanah tinggi yang sejuk dan nyaman.
TERLETAK di kawasan tanah tinggi yang sejuk dan nyaman.

Pengunjung kanak-kanak juga bebas bermain dengan haiwan berkenaan, sekali gus menjadikan Farmhouse Susu Lembang destinasi pendidikan interaktif.

Lebih mencuri perhatian sudah pastinya rumah 'hobbit'

kecil yang menjadi tumpuan utama pengunjung ke sana.

PENGUNJUNG boleh bermesra dengan haiwan ternakan.
PENGUNJUNG boleh bermesra dengan haiwan ternakan.

Ia menjadi pilihan pengunjung terutama penggemar filem The Lord Of The Rings untuk merakam gambar kenangan.

Lebih menarik, pengunjung juga boleh menyewa kostum pakaian tradisional lengkap masyarakat Belanda untuk bergambar dan melaram di sekitar kawasan berkenaan.

Bagi yang datang bersama yang tersayang, anda boleh menulis nama masing-masing pada mangga dan kemudian kuncikan di Jambatan Cinta.

Jambatan itu kini dihiasi ribuan mangga pelbagai warna dan secara tidak langsung menceriakan lagi kawasan pelancongan berkenaan.

REKAAN seni bina gaya Eropah.
REKAAN seni bina gaya Eropah.

Bagi yang gemar bergambar dan memuat naik di media sosial, terdapat beberapa 'spot' menarik termasuk taman bunga yang dikhususkan untuk merakam gambar kenangan.

Kawasan resort pelancongan itu memang luas, namun ia tidak terasa penatnya kerana cuacanya yang nyaman dan sejuk.

Sementara itu, jika mencari oleh-oleh untuk kenangan, ada beberapa kedai yang menjual cenderamata seperti kemeja-T, aksesori, pemegang kunci dan magnet.

PENGUNJUNG boleh menyewa kostum untuk melaram di kawasan sekitar.
PENGUNJUNG boleh menyewa kostum untuk melaram di kawasan sekitar.

Pendek kata, semuanya ada di Farmhouse Susu Lembang.

Kelak, jika keadaan semasa sudah mengizinkan untuk melancong, jangan ketinggalan untuk membawa seisi keluarga

berkunjung ke Bandung dan singgah di Farmhouse Susu Lembang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 7:00 AM