BENTUK yang menarik perhatian penulis iaitu 'batu gajah' di Al-Ula.
BENTUK yang menarik perhatian penulis iaitu 'batu gajah' di Al-Ula.
TELUK Aqabah.
TELUK Aqabah.
Masnira Ramli


SEPULUH tahun penulis menetap di Makkah, langsung tidak pernah terfikir untuk menjelajah ke destinasi pelancongan popular di Arab Saudi.

Sedangkan bumi Arab Saudi antara yang terbesar di Asia Barat dan mempunyai beberapa destinasi tarikan unik sehingga menjadi dambaan pelancong dari Eropah selain pelancong negara Arab yang lain.

Apabila penulis dan keluarga tidak dapat pulang ke Malaysia seperti kebiasaan setiap tahun kerana pandemik Covid-19, kesempatan itu dipenuhi dengan mengunjungi tarikan unik yang ada di Arab Saudi.

Sebelum ini lokasi unik berkenaan 'tertutup' dari pandangan mata luar sehinggalah kerajaan negara itu mula mengamalkan dasar terbuka apabila menawarkan visa pelancongan pada 2019 dalam usaha menggiatkan industri pelancongan.

Perkongsian penulis kali ini lebih kepada tarikan di sebelah utara Arab Saudi bermula dengan perjalanan dari Makkah ke Madinah sebelum melewati beberapa wilayah atau kota menarik antaranya Al-Ula, Al-Haql dan Tabuk.

Bagi rakyat Malaysia yang merancang mengembara ke destinasi ini, penulis menyarankan mengambil pemandu pelancong warga tempatan berbanding memandu sendiri kerana jalan dan keadaan muka buminya sangat mencabar.

Ia boleh dilakukan seawal pemohonan visa pelancongan lagi kerana ada maklumat berkaitan ejen dan pemandu pelancong berdaftar tertera pada laman web dokumen terbabit.

Rombongan penulis sekeluarga disertai tiga kenalan bersama keluarga masing-masing yang juga penduduk tetap dari Malaysia tidak ketinggalan menggunakan perkhidmatan itu kerana ada lokasi tidak membenarkan akses tanpa kehadiran pemandu pelancong warga tempatan.

Al-Ula yang turut dipanggil Madain Saleh atau Kota Nabi Salleh umpamanya memerlukan khidmat pemandu pelancong untuk masuk ke satu lokasi bersejarah yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sebagai tapak warisan dunia.

TELAGA yang menjadi lokasi pertemuan Nabi Musa AS dan isterinya iaitu anak Nabi Syuib AS.
TELAGA yang menjadi lokasi pertemuan Nabi Musa AS dan isterinya iaitu anak Nabi Syuib AS.

Mengikut penceritaan pemandu pelancong, jabatan arkeologi di situ baru memulakan kajian mereka pada 2004 dan sehingga kini masih melakukan kerja penggalian untuk kajian.

Ketika lawatan kami itu, terdapat beberapa orang ahli arkeologi yang sedang bekerja dan dikatakan penemuan yang ada hanya mewakili peratusan terkecil daripada tinggalan sejarah kaum Nabatean.

Dengar sahaja nama lokasi itu dipanggil Kota Salleh sebenarnya dikatakan bekas tinggalan kaum Nabatean atau Tsamud iaitu kaum yang terkenal dengan kehebatan memahat gunung-ganang untuk membina rumah dan makam dengan ukiran cantik.

Mengamati ukiran pada batu ada kala lukisan berbentuk simbol bersama tulisan kuno kaum itu, timbul rasa kagum dengan kemahiran kaum berkenaan dalam kerja ukiran terutama pada batu gunung.

PEMANDU kami Abu Saif menunjukkan sejenis buah yang hanya boleh dimakan keldai semasa trip ke padang pasir. Buah itu banyak terdapat di atas pasir.
PEMANDU kami Abu Saif menunjukkan sejenis buah yang hanya boleh dimakan keldai semasa trip ke padang pasir. Buah itu banyak terdapat di atas pasir.

Selain itu makam di situ menampilkan hierarki golongan yang ada pada zaman itu iaitu golongan pembesar dan orang kebanyakan. Makam pembesar ada ukiran kepala singa dan bagi orang kebanyakan makamnya biasa sahaja.

Kaum itu juga dikatakan menduduki kawasan sepanjang laluan perdagangan antara Syria dan Yaman yang termasuk kawasan itu. Mereka hidup dalam kemewahan dan dikisahkan menjadi sombong sehingga ingkar daripada menerima ajaran Nabi Salleh AS.

Atas sebab itu mereka diazab dengam gempa dan petir. Menurut pembacaan saya, kaum Tsamud hidup pada 300 tahun Sebelum Masihi antara zaman Nabi Nuh AS hingga Nabi Musa AS.

Di Al-Ula juga pengalaman tidak dapat dilupakan ialah kesempatan meneroka pasir pasir dipanggil Al-Hajar bersama seorang penduduk tempatan bernama Abdullah.

TINGGALAN kaum Nabi Salleh AS dapat dilihat di Madain Saleh.
TINGGALAN kaum Nabi Salleh AS dapat dilihat di Madain Saleh.

Skil pemanduan beliau menyusuri bukit pasir di gurun mengundang rasa gerun sehinggakan kami tidak henti-henti menjerit ketakutan.

Bagi beliau yang sudah diasuh untuk membiasakan diri di padang pasir memang arif dengan sudah selok-belok kawasan itu.

Abdullah yang dipanggil Abu Saif oleh orang tempatan turut mempunyai nama jolokan 'Al Ula Wikipedia' selain menunjukkan kami tanah perkuburan di padang pasir itu.

Kalaulah kami sendiri yang jelajah, pada pandangan mata hanya ada pasir dan batu menyerupai bentuk unik termasuk haiwan untuk dijadikan latar belakang gambar yang cantik.

Sele[as puas menjelajah Al-Ula, kami menyambung perjalanan ke Haql yang memerlukan kami menempuh perjalanan sejauh 600 kilometer dan kira-kira lapan jam perjalanan.

PENGEMBARAAN di padang pasir Al-Ula.
PENGEMBARAAN di padang pasir Al-Ula.

Dalam perjalanan itu kami singgah di satu kawasan dipanggil Jabal Lawz yang ada kaitan dengan sejarah Nabi Musa AS. Dalam satu kisah sirah diceritakan Nabi Musa AS menunjukkan mukjizat apabila membelah batu dan memancarkan 12 mata air untuk 12 suku Bani Israel.

Meskipun menempuh perjalanan sukar, iaitu sesat selama dua jam serta memandu di kawasan berbatu, apabila dapat melihat sendiri batu terbelah di depan mata memang rasa sangat puas!

Kami meneruskan pengembaraan ke hotel penginapan yang terletak di Haql yang juga sebuah kota berhampiran Teluk Aqabah. Teluk Aqabah adalah cabang Laut Merah yang melewati empat negara iaitu Mesir, Israel, Jordan dan Arab Saudi.

Nama Aqabah diambil sempena pantai utama kota Aqabah yang terdapat di Jordan sementara Haql pula terlalu terdekat dengan sempadan Jordan dan hanya kira-kira 26 kilometer pemanduan sahaja untuk melepasi sempadan.

Dari Haql, boleh nampak kawasan tiga negara lain di Teluk Aqabah itu Thaba (Mesir), Aqabah (Jordan) dan Eilat (Israel).

Kami menginap di sebuah hotel di pesisiran pantai. Kotanya kecil, bersih dan terkawal menjadikan kawasan ini sangat tenang serta indah dengan panorama Teluk Aqabah yang memukau kami setiap kali melihatnya.

Perjalanan kami diteruskan menuju ke wilayah Tabuk dan sebelum sampai ke kota besar itu, kami singgah ke Magna yang juga lokasi perkampungan dikatakan menjadi tempat Nabi Musa AS menetap selama 10 tahun.

Lokasi berkenaan ialah Madyan yang terdapat 12 sumber air dikatakan daripada mukjizat Nabi Musa AS. Dalam perjalanan Nabi Musa melarikan diri itu juga terdapat juga lokasi Wadi Tayyib Al Ism iaitu tempat baginda berehat ketika lari dari Mesir selepas merentas Laut Merah.

Di sini juga pengunjung boleh melawat Telaga Nabi Musa yang menjadi lokasi pertemuan dengan isterinya yang juga anak kepada Nabi Syuib AS. Kawasan ini dijaga rapi kerajaan Arab Saudi selain dipagar untuk dipelihara sebagai tinggalan sirah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 7:01 AM