ANTARA persembahan menarik yang ditonjolkan.
ANTARA persembahan menarik yang ditonjolkan.
Mohd Wazari Wazir

Jika memperkatakan mengenai India, kebiasaannya orang akan terbayang betapa indahnya seni bina Taj Mahal, pemandangan di Kashmir dan kota besar yang mengujakan di Rajasthan.

Namun, apabila sebut nama Nagaland, mesti ramai yang tertanya-tanya kedudukan lokasi negeri ini di dalam peta India.

Keunikan Pesta Burung Kenyalang (Hornbill Festival) antara faktor yang membawa penulis dan rakan ke Nagaland.

Ini kerana beberapa tahun sebelum itu, penulis pernah melihat sekeping gambar di sebuah majalah pelancongan mengenai beberapa suku kaum memakai pakaian unik, berwarna-warni dan memiliki raut wajah eksotik dengan berlatarkan suasana hutan rimba.

Umpama gambar berkenaan dirakam di tengah hutan Amazon di Amerika Selatan.

Hasil pencarian dan pembacaan, penulis menemukan Nagaland iaitu negeri di wilayah utara India dan bersempadan dengan Myanmar.

Pintu masuk utama ke Nagaland bagi rakyat Malaysia adalah melalui Kolkata ataupun New Delhi kerana tiada penerbangan secara terus ke sana.

Dari New Delhi atau Kolkata pelancong boleh meneruskan penerbangan ke Dimapur atau boleh memilih untuk meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan kereta api.

Penulia dan rakan, Azmi, menaiki pesawat AirAsia menuju ke Kolkata yang seterusnya meneruskan penerbangan ke Darjeeling.

BERLATIH di kawasan perkampungan yang disediakan sebelum membuat persembahan.
BERLATIH di kawasan perkampungan yang disediakan sebelum membuat persembahan.

Kami memulakan perjalanan dari Darjeeling menaiki kereta api ke Dimapur sebelum meneruskan perjalanan selama hampir empat jam ke Kohima, ibu negeri Nagaland menggunakan perkhidmatan bas henti-henti.

Untuk makluman, Festival Burung Kenyalang biasanya berlangsung selama 10 hari setiap tahun pada Disember.

Ia bermula dari 1 hingga 10 Disember dan diadakan di sebuah Kampung Warisan Kisama, kira-kira 10 kilometer dari Kohima.

Ramai pelancong memilih untuk bermalam di Kohima kerana di situ terdapat banyak pilihan hotel yang agak baik berbanding penginapan yang ada di perkampungan Kisama tempat berlangsungnya festival berkenaan.

Bagaimanapun, penulis dan rakan memilih untuk menginap di dalam khemah yang disewakan daripada agensi pelancongan kerana tidak mahu membuang masa berulang-alik sekiranya kami tinggal di Kohima.

Festival Burung Kenyalang dianggap sebagai 'ibu segala festival' di India.

Di sini, ada 16 suku kaum utama iaitu Angami, Ao, Chakhesang, Chang, Khiamniungan, Kachari, Kuki, Konyak, Rengmas, Phom, Lotha, Pochuri, Sangtam, Tumi, Yimchunger dan Zeliang.

KHEMAH yang  diduduki  penulis sepanjang berada
KHEMAH yang diduduki penulis sepanjang berada

Ketika berlangsungnya festival itu, hampir semua suku kaum Nagas yang mengambil bahagian akan berkumpul di Perkampungan Warisan Kisama selama 10 hari dan mempersembahkan adat serta budaya mereka kepada pengunjung luar.

Setiap suku kaum juga akan mempersembahkan tarian unik mereka di arena yang disediakan selama dua jam pada sebelah pagi dan dua jam lagi pada waktu petang.

Apa yang uniknya, setiap persembahan berbeza-beza setiap hari walaupun dipersembahkan suku kaum yang sama. Jadi, pengunjung tidak rasa bosan untuk ke sini setiap pagi dan petang.

Bagi pengunjung yang memilih untuk tinggal di Perkampungan Warisan Kisama, tiada bayaran masuk dikenakan berbanding dengan mereka yang berulang-alik dari luar ke sini.

Mereka perlu membayar 20 rupee untuk bayaran masuk dan 30 rupee untuk bayaran kamera.

Pada hari pertama kami di sana, awal-awal lagi penulis memilih untuk mendapatkan sudut rakaman foto yang baik di kerusi penonton yang disediiakan.

WAJAH kebanggaan suku kaum di Nagaland.
WAJAH kebanggaan suku kaum di Nagaland.

Di arena itu, pengunjung bebas memilih tempat duduk yang diinginkan tanpa sebarang bayaran.

Beberapa kerusi turut ditempatkan di pentas utama dan ia dikhaskan untuk tetamu kenamaan.

Pada awalnya, penulis berasa sedikit pelik kerana tidak nampak ramai kelibat jurugambar sedangkan acara berwarna-warni itu adalah syurga bagi peminat fotografi.

Rupanya, ramai jurugambar sibuk mengambil gambar yang jauh lebih menarik dan unik di kawasan rumah tradisional di bahagian belakang pentas persembahan utama.

Setiap suku kaum disediakan sebuah kawasan yang menempatkan rumah tradisi mengikut suku kaum untuk mereka berehat dan bersiap-siap serta mengadakan latihan sebelum turun ke pentas utama.

Di kawasan rumah tradisi itu, penulis dan jurugambar lain bebas merakam gambar mereka ketika sedang bersiap dan berlatih dengan jarak yang lebih dekat.

Pada penulis, apa yang menariknya, setiap peserta daripada pelbagai suku kaum begitu ramah dan penyabar dalam melayan kerenah pengunjung yang ingin merakam wajah mereka tanpa meminta sebarang bayaran.

Sedangkan ada di antara mereka adalah waris kepada suku kaum pemenggal kepala iaitu 'Head Hunter' yang cukup digeruni suatu ketika dahulu di Nagaland iaitu suku kaum Konyak.

SETIAP suku kaum mempersembahkan tarian kebudayaan masing-masing.
SETIAP suku kaum mempersembahkan tarian kebudayaan masing-masing.

Selain persembahan kebudayaan, terdapat juga gerai yang menjual makanan, minuman dan cenderamata daripada pelbagai suku kaum.

Peluang menghadiri festival itu sememangnya umpama bulan jatuh ke riba dan penulis gembira dapat menjejakkan kaki ke bumi Nagaland.

Pengalaman menyaksikan persembahan kebudayaan pelbagai suku kaum Nagaland adalah kenangan unik yang akan terpahat di ingatan sepanjang hayat.

Bagaimanapun, jika diizinkan lagi, selepas pandemik Covid-19 reda di seluruh dunia, penulis berazam untuk kembali ke Nagaland!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 7:00 AM