KEINDAHAN puncak Gunung Prau.
KEINDAHAN puncak Gunung Prau.
Sharifah Liza Suriani Syed Mustaffa


MINAT mendalam terhadap aktiviti pendakian gunung membawa penulis menjelajah Indonesia untuk mengambil bahagian dalam beberapa siri pendakian gunung di sana.

Setakat ini lebih daripada sepuluh gunung di Pulau Sumatera, Pulau Jawa, Pulau Lombok, Pulau Sulawesi dan Pulau Sumbawa berjaya didaki penulis termasuk gunung berapi tertinggi di Indonesia iaitu Gunung Kerinci dengan ketinggian 3,805 meter (m).

Untuk perkongsian pengalaman mendaki gunung kali ini, penulis ingin menceritakan kisah pendakian dua daripada empat gunung berapi iaitu Gunung Prau (2565m) dan Gunung Sindoro (3153m) pada Julai 2018.

Pada 4 Julai 2018, penulis memulakan pengembaraan secara solo dengan menaiki pesawat Air Asia dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Ahmad Yani, Semarang sebelum tidur semalaman sebelum ke Jogjakarta keesokan hari.

Turut serta dalam ekspedisi ini adalah penunjuk arah dipanggil Menir dan beberapa rakan pendaki lain termasuk warga Perancis bernama Xavier dan pendaki wanita Malaysia dikenali sebagai Ain.

Kami memulakan pendakian ke Gunung Prau di Tanah Tinggi Dieng iaitu Kabupaten Batang, Kabupaten Kendal dan Kabupaten Wonosobo.

Malah, kami tiba kira-kira jam 8 malam dan selepas tidur selama beberapa jam, pada 1.30 pagi kami bangun dan bersiap, mengalas perut serta pendaftaran untuk mendaki.

Pada jam 3 pagi, kami mula mendaki trek bertangga bersama beberapa pendaki lain. Sesungguhnya trek bertangga ini trek paling kurang diminati penulis.

Selepas laluan bertangga, kami teruskan perjalanan dan perlu melalui tiga pos sebelum tiba di puncak 'tipu' Gunung Prau pada jam 6 pagi.

Perjalanan ke puncak sebenar Prau masih perlukan 30 minit pendakian di ketinggian 2590m, tapi untuk kali ini kami hanya ke puncak 2565m kerana perlu segera turun untuk terus mendaki Gunung Sindoro.

PEMANDANGAN gunung dari puncak Prau.
PEMANDANGAN gunung dari puncak Prau.

PENULIS (kanan) mengenakan baju kurung di puncak.
PENULIS (kanan) mengenakan baju kurung di puncak.

Di sini panorama matahari terbit dikenali sebagai 'Golden Sunrise' yang menjadikan Gunung Prau sangat digemari pendaki.

Kami berpeluang bergambar dan menikmati pemandangan indah panorama gunung-ganang yang kelihatan seperti Sindoro, Sumbing, Merbabu dan Merapi kerana keadaan cuaca yang cerah serta tidak berkabus.

Tepat 8.30 pagi kami turun ke 'base camp' dan tiba 10 pagi sebelum terus bertolak menuju Basecamp Gunung Sindoro melalui Kledung.

Gunung Sindoro terletak di sempadan Kabupaten (Wilayah) Temenggong dan Wonosobo di Jawa Tengah. Dalam perjalanan, kami sempat singgah makan tengah hari di sebuah warung. Selepas itu, kami meneruskan perjalanan dan tiba di Basecamp Sindoro pada 11 pagi.

Selepas bersiap dan membuat pendaftaran, kami menaiki ojek sehingga ke Pos Ojek yang terletak di antara Pos 1 dan Pos 2.

Kami memulakan pendakian pada jam 1 tengah hari melalui trek yang masih agak landai dan pacak manja sehingga tiba di Pos 2. Perjalanan diteruskan melalui trek tanah dan batu yang berkecerunan hampir 70 darjah.

Maka di sini bermulanya episod 'pewai' atau keletihan maklumlah kami baharu turun dari Gunung Prau terus datang ke Sindoro selain tidak menggunakan perkhidmatan porter.

Namun, penulis kembali bersemangat apabila pendaki tempatan yang ditemui sepanjang trek begitu ramah dengan memberikan kata-kata semangat.

Selepas lima jam mendaki, kami tiba di tempat perkhemahan yang dipilih Menir iaitu di Sunrise Camp (2143m) kerana lokasi ini lebih dekat dengan trek ke puncak.

BERSAMA pendaki tempatan.
BERSAMA pendaki tempatan.

 TREK ke Gunung Prau.
TREK ke Gunung Prau.

Rehat dan tidur seketika untuk beberapa jam dan pada 2 pagi kami memulakan perjalanan ke puncak Gunung Sindoro.

Penulis mendaki perlahan-perlahan kerana pada ketinggian melebihi 2500m, penyakit ketidakselesaan akut pergunungan (AMS) boleh menyerang.

Ada tempat yang penulis terpaksa merangkak naik kerana sukar untuk mengimbangi badan.

Angin pula semakin kuat dan berdebu. Apatah lagi di kawasan terbuka sukar mencari perlindungan dari angin yang bertiup.

Dari pos 4 ke puncak, penulis mula terhidu bau belerang yang sangat kuat kerana Gunung Sindoro antara gunung berapi yang masih aktif.

Sejam kemudian, penulis bersama Ain dan Menir tiba di puncak Gunung Sindoro yang berketinggian 3153m.

Pada ketika itu matahari baharu sahaja terbit. Pendaki yang sudah sampai lebih awal asyik memerhatikan pemandangan matahari terbit dan panorama Gunung Sumbing mulai kelihatan dengan jelas.

Berada di puncak Sindoro, penulis berasa sangat terharu kerana berjaya mengharungi cabaran untuk sampai ke sini apatah lagi penulis mendaki dengan pergerakan yang perlahan seperti siput.

Penulis memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana walaupun tidak mempunyai fizikal kuat, tapi semangat dan jiwa kental yang menggerakkan kaki untuk menjejak puncak puncak gunung yang tinggi.

Apabila hari semakin siang, dapat kami bergambar sambil menikmati pemandangan indah di puncak Sindoro. Malah, penulis sempat menyarung baju kurung moden untuk sesi bergambar. Menarik bukan?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 7:00 AM