Suliati Asri


PERTAMA di Malaysia dan percuma untuk ummah. Itu konsep diketengahkan Murtadha Dakwah Centre (MADAD) di Sungai Petani, Kedah yang bakal menjadi pusat komuniti Islam pertama bertaraf antarabangsa dilengkapi masjid berasaskan ilmu falak dan menggunakan solar, rumah warga emas, pusat tahfiz integrasi, kapsul hotel serta menyediakan pengurusan jenazah.

Lebih membanggakan, semua perkhidmatan dan kemudahan ditawarkan tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Ia mungkin kedengaran mustahil, tetapi itulah konsep diketengahkan bersesuaian dengan misi penubuhannya iaitu menjadi organisasi yang menyediakan pendidikan, dakwah, amal dan sistem automasi untuk ummah yang lebih baik.

Ditubuhkan pada 2018 di Kampung Teluk, Sungai Petani Kedah dan dulunya dikenali sebagai 'Pusat Dakwah Darul Murtadha', pusat komuniti Islam ini inspirasi Allahyarham Ustaz Murtadha Mohd Yusof yang meninggal dunia dalam kemalangan, awal Januari 2018.

Pengarah Urusan MADAD, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof, 30, yang juga adik kepada Allahyarham berkata, abangnya meninggalkan inspirasi atau idea untuk mewujudkan Pusat Dakwah Darul Murtadha ketika itu yang kini dijenamakan sebagai Murtadha Dakwah Centre (MADAD).

MADAD bakal jadi pusat komuniti Islam pertama bertaraf antarabangsa dengan masjid beroperasi 24 jam sehari.
MADAD bakal jadi pusat komuniti Islam pertama bertaraf antarabangsa dengan masjid beroperasi 24 jam sehari.

"Menerusi cetusan idea itu, Allahyarham berhajat membangunkan surau, rumah warga emas dan pusat pendidikan untuk pelajar tahfiz.

"Alhamdulillah, apa yang dihajatkan iaitu Surau Darul Murtadha, pusat tahfiz Maahad Integrasi Madad (MIM) dan rumah warga emas (belum membuat pengambilan) sudah siap sepenuhnya," katanya.

Mohammad Yaakub berkata, kini apa yang pihaknya ingin lakukan adalah mengembangkan lagi inspirasi itu untuk memberi lebih banyak manfaat.

"Kini surau kita akan naik taraf kepada masjid, pusat tahfiz yang kini mempunyai 35 pelajar dinaik taraf supaya boleh menempatkan 300 pelajar dan rumah warga emas dirancang dapat menempatkan 40 warga emas lelaki serta perempuan," katanya.

Beliau berkata, pusat komuniti Islam itu dibina di atas tanah sendiri seluas tiga hektar dan sebahagian tanah permohonan dengan kerajaan, pembangunan fasa kedua MADAD itu dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

Mohammad Yaakub berkata, proses naik taraf itu membabitkan pembinaan dengan rekaan unik dan berfungsi sebagai pusat komuniti Islam yang sekali gus memberikan pelbagai kemudahan serta manfaat kepada semua.

MADAD, pusat komuniti Islam pertama bertaraf antarabangsa.
MADAD, pusat komuniti Islam pertama bertaraf antarabangsa.

"Menerusi masjid ini yang akan beroperasi 24 jam sehari, kami ingin mengembalikan sirah Nabi SAW ketika Masjid Nabawi berfungsi sebagai Darus Suffah iaitu pusat sehenti yang boleh dikunjungi semua orang meliputi golongan susah, senang, musafir, anak yatim piatu atau sesiapa saja.

"Masjid ini juga mempunyai keunikan tersendiri dan dibangunkan berdasarkan ilmu falak dengan sistem pencahayaan matahari untuk menunjukkan arah kiblat sebagai panduan supaya setiap hari arah kiblat adalah betul.

"Selain itu, masjid ini nanti lengkap dengan kapsul hotel yang pertama di Malaysia dengan 20 kapsul dan dua bilik kelamin," katanya.

Perkhidmatan ini diberikan secara percuma kepada musafir yang memerlukan tempat bermalam sementara menyelesaikan urusan di Kedah.

"Kadang-kadang musafir ada urusan penting dan hanya perlukan tempat untuk bermalam. Jadi, masjid sepatutnya menjadi tempat mereka berteduh dan beribadat. Ini antara sebab kita membuka masjid selama 24 jam supaya mudah didekati oleh semua masyarakat pada bila-bila masa," katanya.

Di sebelah masjid pula, katanya, adalah rumah warga emas disediakan secara percuma lengkap dengan penyediaan hospitaliti khusus buat warga emas termasuk penjagaan kesihatan, pemakanan dan banyak lagi kemudahan lain.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri merasmikan MADAD, Mac lalu.
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri merasmikan MADAD, Mac lalu.

"Kenapa saya katakan MADAD ini menyediakan kemudahan pengurusan jenazah percuma? Ini kerana antara syarat menghuni rumah warga emas adalah mereka mesti membantu menguruskan jenazah.

"Mereka duduk secara percuma, penjagaan dan mengikuti pengajian agama secara percuma. Jadi, dengan faktor menang-menang, akan diajar menguruskan jenazah sekali gus boleh menyumbang semula dengan menguruskan jenazah selain mendapat pahala melaksanakan urusan fardu kifayah," katanya.

Mohammad Yaakub berkata, inisiatif itu tercetus apabila banyak kes jenazah tidak dituntut selepas berlaku kematian, antaranya disebabkan oleh tiada waris atau waris tidak mampu menguruskan jenazah.

"Kos menguruskan jenazah boleh mencapai antara RM1,000 ke RM1,800 bergantung kepada lokasi. Mungkin bagi sesetengah kita jumlah itu tidak besar, tetapi ada sebahagian memang tak mampu," katanya.

Untuk kemudahan Maahad Integrasi MADAD pula, katanya, keunikannya ia menumpukan teknik khas Karantina apabila pelajar Maahad Integrasi MADAD mampu menghabiskan hafalan dalam tempoh kurang setahun.

Menurutnya, anggaran pembangunan fasa kedua boleh menempatkan kira-kira 300 pelajar apabila ia siap nanti.

PELAJAR tahfiz Murtadha Dakwah Centre.
PELAJAR tahfiz Murtadha Dakwah Centre.

Bukan itu saja, pelajar juga akan mengikuti tiga teras sukan utama iaitu berkuda, memanah dan berenang. Pelajar diharapkan mampu menjawat profesion seperti doktor, jurutera, penganalisis saham, guru atau bomba yang hafaz al-Quran.

"Profesion adalah pilihan mereka dan al-Quran adalah panduan mereka manakala akhlak itu adalah pakaian mereka. Itulah antara fasiliti yang ditawarkan di MADAD," katanya.

Bercakap mengenai konsep 'percuma' ditawarkan, Mohamamd Yaakub berkata, MADAD mengambil pendekatan ekosistem dilaksanakan Universiti Al-Azhar yang sudah beroperasi selama 1,051 tahun dan boleh memberikan biasiswa kepada 50,000 pelajar setiap tahun.

"Universiti Al-Azhar boleh terus memberikan biasiswa kepada pelajarnya sehingga ke hari ini menerusi sistem wakaf dan ekonomi yang mereka manfaatkan.

"Oleh itu, di MADAD kami juga mempunyai ekosistem sendiri, yang pertama kita mempunyai pasukan khas untuk menganalisis pasaran saham, aset digital, kolam udang kara, kolam udang, kolam ikan siakap, ikan sungai dan terbaharu menjalankan penternakan arnab terbesar di Malaysia serta mempunyai lebih 100 pokok durian musang king dan duri hitam.

"Jadi, ekosistem inilah yang akan menampung kembali kepada ekonomi MADAD. Ekosistem ini juga nyata terbukti apabila pernah satu setengah tahun MADAD tidak membuat kutipan dan alhamdulillah kami masih boleh bertahan serta memberikan pendidikan percuma," katanya yang juga pernah belajar di Mesir.

RUMAH Warga Emas MADAD tawar pelbagai kemudahan secara percuma.
RUMAH Warga Emas MADAD tawar pelbagai kemudahan secara percuma.

Mengulas lanjut, Mohammad Yaakub berkata, pihaknya sudah mencuba sendiri sistem itu dan yakin dengan kemampuan daripada beberapa ekosistem perniagaan yang pihak MADAD usahakan boleh mengekalkan secara sendirinya dalam jangka masa panjang.

"Penjualan 25 buku dikeluarkan secara e-book dan dibeli secara maya juga membantu ekosistem MADAD malah ada lagi hampir 20 buku sedang disiapkan dalam tempoh berbaki enam bulan tahun ini.

"Oleh itu, saya yakin dalam jangka masa panjang, apabila pusat dakwah ini siap sepenuhnya, banyak manfaat boleh kita berikan," katanya.

Menurutnya, jumlah permohonan diterima untuk memasuki MADAD sangat tinggi sehingga mencecah 3,500 permohonan untuk tahun ini sahaja lebih-lebih lagi kemudahan disediakan percuma.

Oleh itu, kata Mohammad Yaakub mereka menetapkan beberapa kriteria yang unik dan mudah iaitu sukarela dan tanpa paksaan.

Sukarela untuk menghafaz al-Quran bagi pelajar tahfiz dan sukarela untuk menghuni MADAD pula bagi warga emas.

"Apa yang saya boleh katakan, pengambilan pelajar di MADAD ini sangat mudah dan unik kerana kita mencari pelajar yang rela hati untuk menghafaz al-Quran dan bukan dipaksa ibu bapa mereka.

"Apabila mereka mempunyai komitmen, mereka ada kesungguhan dan keinginan. Kaedah ini berjaya dibuktikan apabila pada 2020, lapan daripada 30 pelajar yang diterima menjadi pelajar di MIM tidak boleh membaca al-Quran langsung.

"Bagaimanapun, dalam tempoh setahun, dua daripada lapan pelajar itu berjaya menghabiskan hafalan 30 juzuk al-Quran," katanya.

Kriteria bagi warga emas juga sama dengan pelajar tahfiz apabila mereka datang ke MADAD dalam keadaan rela hati dan bersedia untuk memberikan komitmen dan bukan dipaksa atau dihantar oleh anak.

"Kepada yang berhajat terbabit sama dalam pembangunan MADAD dan mahu berwakaf, kini kami sedang menjalankan Derma Wakaf RM1,000 Untuk Mak Ayah. Menerusi kempen ini, sesiapa yang berminat boleh membuat pembayaran secara terus, ansuran atau auto debit," katanya turut mengalu-alukan sebarang jumlah sumbangan ikhlas.

Untuk sebarang pertanyaan dan sumbangan, boleh layari laman sesawang www.madadcentre.com atau Facebook Murtadha Dakwah Centre atau menghubungi talian 0146019090.

Sumbangan juga boleh terus disalurkan ke akaun Maybank, 552059807117. Setiap sumbangan yang diberikan akan dapat hadiah 25 e-book secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 6:50 AM
MADAD ambil pendekatan dilaksanakan Universiti Al-Azhar, masih bertahan beri pendidikan percuma.
MADAD ambil pendekatan dilaksanakan Universiti Al-Azhar, masih bertahan beri pendidikan percuma.