SUASANA di Jalan Zhaoyang untuk mereka yang gemar membeli-belah.
SUASANA di Jalan Zhaoyang untuk mereka yang gemar membeli-belah.
Nazirah Dzulkefli


JIKA dikenang perjalanan penulis menjelajah kota Harbin di China bersama 'buddy' percutian, Nor Fiqa Aida Mohd Sabri, 32, pada Januari tahun lalu, gerun juga rasanya kerana Covid-19 sedang merebak di Wuhan.

Cuma ketika itu belum merebak ke bandar mahupun wilayah lain termasuk Beijing dan Harbin yang menjadi lokasi percutian kami. Mungkin juga faktor pelancong tempatan atau warga China masih sibuk menjalankan aktiviti masing-masing termasuk bercuti.

Kunjungan kami ke Tanah Besar China sebenarnya tujuh hari, tetapi tumpuan percutian ialah penerokaan di Harbin di wilayah Utara China, Heilongjiang.

Saya dan Nor Fiqa kali pertama mengetahui mengenai Harbin daripada kenalan yang juga kaki melancong. Dia ada berkongsi mengenai bandar itu di Facebook.

Malah saya gunakan perkongsiannya untuk rancang perjalanan sepanjang tiga hari berada di bandar itu. Untuk sampai ke Harbin itu sendiri pun sangat mencabar berbanding itenari rakan itu yang memulakan perjalanan dari Beijing dan penerbangan pulang dari Harbin adalah lebih mudah. Perjalanan kami pula bermula di Beijing untuk ke Harbin kemudian kembali ke Beijing sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

PENULIS tidak melepaskan peluang merakam kenangan di kota Harbin.
PENULIS tidak melepaskan peluang merakam kenangan di kota Harbin.

Perjalanan malam dari Beijing menggunakan kereta api antara bandar dengan koc berkatil. Dengar macam santai, tetapi apabila menggunakan kereta api, tempoh perjalanan lebih panjang iaitu 10 hingga 12 jam.

Semua perjalanan kami uruskan sendiri tanpa bantuan ejen baik penginapan sehinggalah pengangkutan, semuanya menggunakan kemudahan awam. Saya suka melancong seperti gaya orang tempatan.

Namun halangan terbesar sepanjang ke Harbin ialah bahasa. Untuk beli tiket kereta api saya dan Nor Fiqa mengalami kesukaran menyebabkan kami terpisah antara satu sama lain dan terpaksa duduk dengan pelancong tempatan.

Kereta api berkenaan seperti bilik selain dalam satu ruang ada enam katil dan katil saya di atas. Selama perjalanan juga saya tidak turun dari katil.

ARCA ais dihiasi dengan lampu warna-warni.
ARCA ais dihiasi dengan lampu warna-warni.

Melancong tanpa pemandu pelancong menyebabkan kami perlu gunakan apa juga cara untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan. Kami menggunakan terjemahan Google untuk cari perkataan mudah selain bahasa tubuh apabila bertanya berkenaan jalan.

Sampai saja di Harbin, kami terus ke tempat penginapan dan ia dipilih berdasarkan lokasinya yang strategik dan masih selesa meskipun dalam kategori hotel murah. Kami teroka dahulu tempat makan berdekatan kerana terdapat komuniti Islam di kawasan itu.

Di sini juga kami bertemu pelancong solo dari Mexico dan dia menyertai aktiviti kami sepanjang berada di Harbin.

Hari pertama di Harbin, kami ke Ice Snow Harbin Festival. Menariknya kami menyertai rombongan pelancong tempatan dengan menaiki bas ke tapak festival.

KEBANYAKAN mereka yang mengunjungi Ice Snow Harbin Festival adalah pelancong tempatan.
KEBANYAKAN mereka yang mengunjungi Ice Snow Harbin Festival adalah pelancong tempatan.

Kami bertolak sekitar jam 4.30 petang dan berada di tapak itu sehingga lewat jam 9.30 malam. Festival itu memaparkan pelbagai bentuk arca ais diukir dengan pelbagai bentuk sama ada bangunan atau tugu ikonik serata dunia. Lebih menarik ia dihujani dengan lampu berwarna-warni.

Anda yang gemar bergambar memang kena kosongkan memori telefon selain bawa bateri tambahan untuk merakam kenangan dengan setiap ukiran ais yang dipamerkan. Satu kenangan tidak boleh saya lupa ketika berada di sini apabila kami ditinggalkan bas rombongan.

Mujurlah ada rakan dari Mexico mengajak kami berjalan beberapa kilometer dari tapak festival bagi mengelak dikenakan tambang enam kali ganda daripada nilai sebenar iaitu sekitar 20 yuan (RM12.50) sahaja.

Destinasi kedua di Harbin pula ialah melawat Volga Manor iaitu seperti sebuah perkampung di Rusia. Sekali lagi kami sertai pakej pelancong tempatan yang perjalanan menaiki bas selama sejam sebelum sampai ke sana.

REKA bentuk bangunan di Volga Manor seperti istana dalam kisah dongeng.
REKA bentuk bangunan di Volga Manor seperti istana dalam kisah dongeng.

Setiap bangunan di perkampungan itu menitikberatkan seni bina biasa dilihat di negara bekas Soviet Union. Menara bertingkat dan berwarna-warni menawarkan panorama cantik untuk dirakam dalam gambar.

Selain bergambar di sini ada juga aktiviti yang pelawat boleh menggelongsor dari struktur ais menggunakan pelampung khas. Menariknya di sini kami turut sertai kumpulan pelancong dari Filipina kerana setiap sesi perlu disertai lima orang.

Tidak lupa juga pada hari pertama, kami sempat melawat Jalan Zhaoyang yang menjadi tumpuan membeli-belah. Pada saya harga pakaian sejuk masih berpatutan, jika tidak membawa pakaian sejuk mencukupi pelancong boleh membeli-belah di sini.

Bagi mereka tidak pernah ada kesempatan menyaksikan sungai beku, satu lokasi kami singgah sebelum pulang iaitu Sungai Songhua memberikan pengalaman itu.

PENULIS (tiga dari kanan) dan rakan bersama pelancong lain dari Malaysia yang ditemui.
PENULIS (tiga dari kanan) dan rakan bersama pelancong lain dari Malaysia yang ditemui.

Ada satu taman awam di seberang sungai dan pengunjung boleh memilih untuk 'menyeberang' sungai beku atau menaiki kereta kabel. Bimbang kasut tidak sesuai kerana permukaan sungai beku itu yang pastinya licin, kami menaiki kereta kabel saja.

Di taman itu ada tempat untuk gelongsor salji dengan papan luncur selain boleh isi masa lapang dengan membina orang salji di sekitar tapak terbuka.

Saya nasihatkan mereka yang merancang ke Harbin pastikan memiliki bekalan mencukupi terutama pakaian sejuk kerana cuaca di bandar itu mencecah -21 darjah Celsius. Bagi mereka tidak biasa dengan hidangan luar bawa juga makanan pek siap demi mengelak kesukaran mencari makanan sesuai dengan selera.

KERETA kabel melintasi Sungai Songhua untuk ke kawasan rekreasi.
KERETA kabel melintasi Sungai Songhua untuk ke kawasan rekreasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 6:30 AM