TELUK  Matsushima tersenarai antara tiga teluk tercantik di Jepun.
TELUK Matsushima tersenarai antara tiga teluk tercantik di Jepun.
Kamal Zharif Kamaludin


PENULIS yang berada di Jepun sejak 2014 berpeluang ke utara negara itu dengan destinasinya, Tohoku pada awal November lalu. Kedudukannya atas sedikit dari Tokyo yang merangkumi wilayah Fukushima, Yamagata, Miyagi, Iwate, Akita dan Aomori.

Selama 270 tahun, Tohoku menjadi destinasi pelancongan. Lebih-lebih lagi pada abad ke-20, Tohoku terkenal disebabkan ada reputasi sebagai lokasi yang indah dipandang selain jauh dari bandar.

Sehinggakan pemuisi terkenal negara matahari terbit itu, Matsuo Basho pernah mengatakan perjalanan ke destinasi itu antara 'perjalanan yang jauh'.

Kebanyakan kawasan di Tohoku bergunung-ganang dan iklimnya lebih rendah berbanding tempat lain seperti Honshu. Honshu pulau terbesar yang menempatkan bandar Tokyo, Osaka dan Nagoya.

Sebaik-baiknya siapkan pakaian tebal supaya percutian ke Tohoku lebih mendamaikan. Ada perkara lebih menarik apabila di rantau ini tidak banyak kes Covid-19.

BELAYAR di sekitar teluk dengan bot antara perkara mesti dicuba pengunjung.
BELAYAR di sekitar teluk dengan bot antara perkara mesti dicuba pengunjung.

Bagaimanapun, untuk mereka yang tidak tahu mengenai wilayah ini mungkin boleh merujuk peristiwa gempa bumi dan masalah reaktor nuklear yang berlaku pada 2011.

Apabila bermusafir di bumi asing seperti Tohoku, pelancong Muslim sebaik-baiknya meninjau dahulu terutama hal babitkan makanan atau minuman halal.

Mengenai tarikan di Tohoku, Matsushima antara kisah paling tersohor dan sejak ratusan tahun dulu pun ada yang sanggup berjalan kaki jauh ke destinasi itu dari Edo (nama lama Tokyo). Jarak antara kedua-dua tempat itu lebih 300 kilometer.

Matsushima adalah sebuah teluk yang dikelilingi lebih 200 pulau kecil. Sejak ratusan tahun lalu, ia termasuk dalam tiga pemandangan tercantik di Jepun selain Miyajima dan Amanohashidate.

Pada 2013, Matsushima jadi teluk pertama di Jepun yang diterima masuk dalam persatuan 'teluk tercantik di dunia.' Keindahannya berjaya meraih status tiga bintang dalam Michelin Guide.

Sebab itu Matsuo Basho menghadapi 'masalah' untuk menjelaskan sejauh mana indahnya destinasi itu.

PENULIS menikmati pemandangan sekitar Matsushima dengan bot.
PENULIS menikmati pemandangan sekitar Matsushima dengan bot.

"Matsushima ah!, Aaah, Matsushima, ah!, Matsushima, ah!," hanya itu yang diungkapkannya dek terpesona dengan keindahan teluk terbabit.

Jadi, apabila penulis berkesempatan mengunjungi

Matsushima, penulis cuba keluar dari Hotel Metropolitan iaitu lokasi penginapan seawal mungkin.

Kali ini hendak merasa pengalaman menaiki bot dari Shiogama. Perjalanan bot dimaklumkan memakan masa 50 minit dan disarankan mengambil jadual perjalanan paling awal.

Mula-mula nampak seperti tiada apa yang menarik, apatah lagi tempat menaiki bot di Shiogama seperti pelabuhan kecil yang biasa-biasa saja.

Cuma ketika menyusuri teluk di Matsushima, penulis melalui pengalaman sama dengan Matsuo. Mulut terus membisu. Ketika itu penulis sedang menikmati pemandangan musim luruh.

Dari dalam bot sudah boleh nampak pulau-pulau kecil disimbahi cahaya matahari jingga musim luruh. Kalau rasa sejuk, boleh masuk semula ke dalam bot. Ditambah dengan pemandangan burung terbang rendah di permukaan air.

Tamat masa 50 minit, kami sampai di pelabuhan Matsushima. Ini hanya baru saja pemandangan dan pengunjung sebaik-baiknya berada di sana untuk beberapa musim kerana keindahannya yang luar biasa.

DESTINASI Tohoku juga popular ketika musim salji.
DESTINASI Tohoku juga popular ketika musim salji.

Berkunjung ke Tohoku juga memberi kesempatan kepada penulis melawat Zuiganji iaitu sebuah kuil Buddha. Bangunan yang dapat dilihat kini adalah binaan semula oleh pemerintah bernama Date Masamune.

Bagi yang selalu menonton animasi dan 'game' Jepun, memang kalian kenal siapa itu Date Musamune.

Pada saya lawatan ke destinasi ini sebagai memahami kelainan fahaman, agama dan budaya setempat.

Di bangunan itu, penulis masuk ke seksyen dapur Zen. Kalau diperhatikan ruangnya sama sahaja dengan rekaan bilik Jepun gaya masa sekarang.

Dinding atau pintu gelongsor pula dipanggil fusuma dan yang berbeza ialah kemasan pada dindingnya.

Itulah namanya 'budaya Date' berasal daripada budaya lama Kyoto-Momoyama. Konsepnya minimalistik selain paparan yang begitu terperinci. Terdapat kira-kira 161 lukisan pelbagai saiz menggunakan daun emas di situ.

Ketika berjalan di ruang legar bangunan itu, penulis boleh mendengar bunyi kayu seolah-olah 'membengkok.' Ini menunjukkan ada yang keluar masuk di kawasan itu.

PEMANDANGAN malam mengasyikkan.
PEMANDANGAN malam mengasyikkan.

'Bunyi' berkenaan amat berguna pada zaman dulu sebagai ciri-ciri keselamatan dan menghindari ruang dimasuki pencuri. Kenapa mereka buat begitu? Sebabnya ketika itu masih lagi zaman perang, belum masuk era keamanan besar samurai.

Satu lagi hendak dikongsi ialah mengenai kawasan Zuiganji ini dulunya penuh dengan pokok pain yang tinggi sehingga cahaya matahari pun susah hendak menembusinya.

Namun sekarang berbeza kerana kesan tsunami dan gempa bumi pada 2011, namun masih menjadi benteng berguna untuk bangunan itu.

Tidak jauh dari Zuiganji, dengan hanya berjalan anda pasti menemui kedai snek yang mesra Muslim berusia 80 tahun. Antara nama snek itu ialah 'kamaboko' yang bermaksud kek ikan Jepun.

Snek 'kamaboko' boleh dimakan dengan selamat kerana diperbuat daripada ikan putih, putih telur, garam, gula dan sos ikan. Kalau kek ikan jenis lain ada yang berbentuk bulat berwarna putih dan merah jambu di dalam mangkuk soba atau udon.

Bukan setakat makan saja, selepas beli dengan harga 250 yen sebatang, kita boleh bakar sendiri sampai jadi coklat gelap atau sedikit hitam.

Kalau nak makan, tidak perlu letak apa-apa kerana snek itu pun sudah ada rasa manisnya. Cuma pastikan makan sehingga habis sebelum keluar dari kedai. Orang Jepun sensitif dengan bab kebersihan!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 7:00 PM