MOHD Azli Hisyam menunggang motosikal berulang-alik sejauh satu kilometer dari kedai makan ibu bapanya ke bangsal ternakan udang kara setiap hari.
MOHD Azli Hisyam menunggang motosikal berulang-alik sejauh satu kilometer dari kedai makan ibu bapanya ke bangsal ternakan udang kara setiap hari.
Ramli Ibrahim


'TINGGI terlajak' mengubah pendirian hidup seorang pemuda kerana terpaksa melupakan cita-cita asal menjadi tentera dan beralih kepada menternak udang kara.

Mohd Azli Hisyam Abdul Ghafar, 26, atau lebih dikenali sebagai 'budak panjang' kerana ketinggian luar biasa iaitu 2.2 meter. Lelaki tertinggi di Malaysia ini tidak menyesal mengubah haluan hidupnya.

Malah, dia menganggap menternak udang kara dekat rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3, Gua Musang, Kelantan rezeki yang datang bergolek.

Ini apabila dia mendapat tawaran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) untuk menternak udang kara yang belum ada penduduk berbuat demikian di sekitar Gua Musang dan semuanya diberi bantuan.

Daripada permulaan menternak udang kara itu enam ekor tujuh bulan lalu kemudian ditambah 70 ekor lagi udang induk yang membiak hingga lebih 2,000 ekor sekarang.

Ketika ditemui, dia berkata, selain dapat benih udang kara itu secara percuma, Risda daerah itu juga membina sebuah bangsal dan lengkap dengan kemudahan.

Katanya, sebelum ini timbul rasa runsing apabila sukar mencari peluang pekerjaan berikutan diri berubah ketinggian secara luar biasa ketika berumur 14 tahun.

"Saya memang tidak perasan berlaku perubahan luar biasa itu hingga rakan sekelas menyuarakannya kepada saya mengenai perkara itu.

"Selepas setahun saya mula merasai perubahan ketinggian hingga sukar berdiri lebih lama dan cepat rasa penat," katanya.

Dalam keadaan demikian, selepas tamat pengajian dia tidak ada pilihan dan untuk hidup berdikari dia memberi tumpuan kepada ternakan udang kara.

Menurut Mohd Azli Hisyam, memang cita-citanya menjadi tentera sejak di bangku sekolah, tetapi sudah hilang kelayakan disebabkan ketinggian luar biasa.

Dia adalah lepasan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, Alor Star, Kedah bahagian penyaman udara, tetapi selepas tamat pengajian tidak mampu melakukan kerja itu.

Malah, dia juga menerima sijil daripada Malaysia Book Of Records sebagai remaja tertinggi di negara ini beberapa tahun lalu disampaikan Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu Perdana Menteri.

PRESIDEN Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi), Shahnun Hanis A Suhaimi
PRESIDEN Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi), Shahnun Hanis A Suhaimi

Katanya, selain sukar mencari peluang pekerjaan sama ada di jabatan kerajaan atau swasta, dia juga terpaksa melupakan hasrat berumah tangga kerana tidak ada pilihan wanita yang sesuai.

"Orang seperti saya ini yang mempunyai ketinggian luar biasa sukar bagi wanita untuk terima sebagai suami," katanya.

Bagi menghilangkan rasa tertekan berdepan dengan segala masalah itu dia lebih banyak menghabiskan masa seharian dengan menternak udang.

Ternakan udang kara itu belum boleh dijual dan perlu tunggu antara tiga hingga lima bulan supaya pembesaran meningkat.

Katanya, pembiakan udang itu cepat iaitu antara 20 hingga 40 ekor bagi setiap induk yang diternaknya dan pasaran cukup besar iaitu RM120 sekilogram.

MOHD Azli Hisyam (kiri) berbincang
MOHD Azli Hisyam (kiri) berbincang

Dia akan gandakan jumlah ternakan udang itu dahulu sebelum dipasarkan walaupun sudah ada yang datang untuk membelinya.

Bapanya, Ab Ghafar Omar, 74, pula berkata, bidang ternakan udang itu perlu banyak dipelajari kerana ada kerumitan dari segi penjagaannya selain dia banyak membantu Mohd Azli Hisyam.

"Saya berada di bangsal ternak udang itu setiap hari selain Mohd Azli Hisyam juga menerima tunjuk ajar daripada Risda dan Jabatan Perikanan Kelantan.

"Insya-Allah, bidang itu boleh mencapai kejayaan berterusan selagi berlaku pembiakan dan menambah jumlah udang sebelum dapat dijual," katanya.

Dia berkata, Mohd Azli Hisyam anak ketujuh daripada lapan beradik yang mempunyai ketinggian luar dan mungkin ia rahmat Tuhan.

BANGSAL tempat menternak udang kara dibina dengan bantuan Risda dan lengkap peralatan menternak.
BANGSAL tempat menternak udang kara dibina dengan bantuan Risda dan lengkap peralatan menternak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 1:42 PM