JERAM tidak terlalu deras sesuai untuk anak kecil bermandi manda.
JERAM tidak terlalu deras sesuai untuk anak kecil bermandi manda.
Nurul Husna Mahmud
Nurul_husna@hmetro.com.my

Sebelum Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) dikenakan di Lembah Klang dan Putrajaya, penulis berkesempatan singgah sebentar di Air Terjun Serendah, Selangor.

Meskipun sering ke lokasi berhampiran untuk melakukan tugasan, singgah ke kawasan air terjun itu tidak pernah kesampaian.

Sehinggalah baru-baru ini berpeluang menjengah lokasi air terjun berkenaan apabila mengikuti tiga kenalan yang melakukan penyerahan bantuan keperluan bagi anak kampung Orang Asli Serendah yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti.

Mungkin lokasi air terjun itu tidak jauh daripada Kuala Lumpur iaitu kira-kira 35 kilometer dengan lebih kurang sejam pemanduan menyebabkan ia dipenuhi warga kota membawa keluarga masing-masing berkelah.

KAWASAN yang berkolam menjadi tumpuan.
KAWASAN yang berkolam menjadi tumpuan.

Tidak keterlaluan rasanya untuk berkorban 'waktu tidur' atau rehat di hujung minggu dengan mengunjungi lokasi percutian itu kerana pemandangan iaitu air jenih menyusuri jeram selain pemandangan hijau pohon meneduh sepanjang sungai.

Apatah lagi adanya kawasan berkolam luas warna airnya yang kehijauan dan bunyi air terjun 'menghempas' batu pasti 'menjentik' peminat aktiviti air untuk berendam.

Mereka yang merancang untuk berkelah atau mendapat 'port' sesuai (selepas PKPB) sebaik-baiknya bergerak awal pagi kerana kemudahan wakaf atau pondok rehat terhad.

Namun begitu terdapat beberapa kawasan sesuai untuk mendirikan khemah atau melakukan aktiviti barbeku bersama teman atau keluarga.

Sebelum sampai ke destinasi air terjun itu sebaik-baiknya membuat persiapan rapi termasuk memeriksa barang kerana untuk keluar kembali bagi membeli barang agak jauh kerana ia di kawasan perkampungan Orang Asli selain kedudukannya dalam Hutan Simpan Selangor.

SESUAI buat seisi keluarga.
SESUAI buat seisi keluarga.

Bukan laluan selesa untuk menyusuri perjalanan kampung berkenaan kerana laluan sempit dan perlu mengamalkan sikap toleransi untuk sampai dengan selamat.

Malah penulis sendiri hanya mengekalkan kelajuan pemanduan pada kadar sekitar 10 hingga 20 kilometer sejam bagi memastikan pemanduan lebih tenang dan santai.

Sebelum sampai ke lokasi berkenaan terdapat juga kolam pancing dengan deretan pondok kayu comel menjadi tempat berteduh buat kaki pancing. Ia sekitar 300 meter dari pintu masuk ke air terjun terbabit.

Kalau enggan mandi, boleh mencuba nasib selain menguji skil memancing di kolam berkenaan sementara menanti rakan atau keluarga puas bermain air.

Selain berkelah atau memasang khemah, pengunjung boleh lakukan aktiviti lebih mencabar dengan meninjau kawasan lebih 'atas' untuk menikmati suasana lebih privasi.

KAWASAN memancing untuk kaki pancing tidak jauh dari pusat perkelahan berkenaan.
KAWASAN memancing untuk kaki pancing tidak jauh dari pusat perkelahan berkenaan.

Kawasan berkenaan tidak ada jalan bertar menyebabkan pilihan terbaik adalah merentas ke jeram lebih dalam dengan berjalan.

Tidak perlu bimbang kerana untuk meniti ke jeram lebih jauh ke dalam hutan, anda akan dipayungi kanopi pokok spesies hutan. Itu membuatkan perjalanan lebih santai dan tenang kerana keadaan redup selain dapat menikmati bunyi air sungai mengalir.

Antara perlu dipastikan ketika mandi atau berkelah air terjun ialah perubahan cuaca atau fenomena kepala air. Pantau keadaan persekitaran meskipun seronok bermandi-manda dengan air yang jernih.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 7:00 AM