DI Jeti Pulau Jerejak.
DI Jeti Pulau Jerejak.
Hafiz Ithnin


PERANCANGAN awal selama sebulan untuk mengunjungi Langkawi akhirnya diubah pada saat akhir empat sahabat ini untuk ke destinasi itu memandangkan seminggu sebelum ke sana, dimaklumkan berlaku peningkatan kes pandemik Covid-19.

Namun, ia tidak menjadi penghalang kepada Murnaena Nasir dan tiga rakannya untuk menerokai destinasi lain di utara Semenanjung iaitu ke Pulau Pinang yang amat terkenal sebagai destinasi 'memburu makanan'.

Berkongsi pengalaman itu, Murnaena mengakui hanya dia yang kali pertama ke pulau sinonim dengan sejarah Francis Light.

Baginya Pulau Pinang terutama Georgetown bukan sekadar destinasi percutian untuk mencuba kelazatan makanan tempatan terutama nasi kandar, tetapi lebih daripada itu.

Katanya, dia nyata teruja sebaik tiba di bandar itu kerana ada banyak bangunan tinggalan sejarah yang masih terpelihara dan boleh merasai kesan penjajahan di negeri itu.

"Dalam kalangan kami berempat, hanya saya saja yang tidak pernah menjejakkan kaki ke sini. Apatah lagi ketika berada di atas jambatan Pulau Pinang yang cukup sinonim dengan Pulau Mutiara itu. Pastinya tidak sabar untuk merakam keindahannya menerusi telefon pintar.

MURNAENA (dua dari kiri) bersama rakan di jambatan yang dipenuhi ‘Love Lock’ di Bukit Bendera.
MURNAENA (dua dari kiri) bersama rakan di jambatan yang dipenuhi ‘Love Lock’ di Bukit Bendera.

BERGAMBAR di Stairway To Heaven di Pulau Jerejak.
BERGAMBAR di Stairway To Heaven di Pulau Jerejak.

"Tiba saja tiba di Georgetown, kami sengaja memilih penginapan berdekatan Batu Ferringhi kerana kedudukannya yang begitu strategik untuk melawat kawasan tarikan di pulau itu," katanya.

Murnaena berkata, dia dan rakan tidak membuang masa dengan memilih Bukit Bendera sebagai destinasi pertama untuk diterokai kerana dimaklumkan ia dikatakan lokasi wajib dikunjungi.

Katanya, di Bukit Bendera terdapat sebuah kedai kopi, Kopi Hutan yang begitu popular bagi penggemar kopi dan dapat menikmati pemandangan hijau di sekelilingnya.

"Selain dapat menikmati pandangan hijau di Bukit Bendera, ia juga mempunyai tarikan untuk bergambar terutama di sekitar jambatan yang mempunyai 'Love Lock' seperti di Korea Selatan atau Jepun.

"Untuk sampai ke Bukit Bendera tidak perlu risau kerana terdapat kemudahan kereta kabel yang membawa pengunjung ke puncak berketinggian 1,996 meter dari aras laut itu dengan tiket RM30 seorang," katanya.

Jelasnya, Pulau Pinang tidak sekadar popular sebagai destinasi tinggalan sejarah malah terdapat juga aktiviti menikmati panorama malam di Penang Avatar Secret Garden di Tanjung Bungah.

Katanya, pengalaman menyaksikan pemandangan lampu yang berwarna- warni menghias pokok di sekitarnya amat unik kerana lampunya kerap bertukar mengikut tempoh masa tertentu.

"Bagi saya tempat ini juga menarik untuk dikunjungi kerana dibina seperti panorama di dalam filem fantasi, Avatar dan seakan-akan berjaya dihidupkan untuk dinikmati pengunjung.

"Tidak hairanlah lokasi ini sentiasa menjadi tarikan bagi pengunjung tempatan seperti kami dan pelancong dari luar negara terutama untuk merakam pemandangannya pada waktu malam," katanya.

Malah tidak lengkap bagi anda sekiranya sudah berada di Pulau Pinang, tetapi tidak mencuba makanan tempatan yang popular antaranya pasembur dan nasi kandar.

Sudah tentu, Murnaena dan rakannya itu tidak melepaskan peluang menikmati pasembur di Padang Kota Lama yang turut menawarkan pelbagai gerai hidangan berkenaan sambil menikmati angin malam di sebelah pantai.

KEENAKAN pasembur di Padang Kota Lama sukar dilupakan.
KEENAKAN pasembur di Padang Kota Lama sukar dilupakan.

JETI Pulau Jerejak yang bertemakan warna pelangi.
JETI Pulau Jerejak yang bertemakan warna pelangi.

"Bagi menikmati nasi kandar pula, kami mencari hidangan itu di sekitar George Town yang juga banyak pilihan. Rambang mata kami dibuatnya!

"Akhirnya kami memilih Restoran Din Maju sebagai tempat untuk menikmati hidangan berkenaan. Bagi kami hidangan di restoran itu sedap dan tidak mengecewakan. Malah, restoran itu juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama mengehadkan jumlah pelanggan yang makan di dalam restoran pada satu-satu masa," katanya.

Lebih menyeronokkan lagi, dia dan rakannya turut berkesempatan mengunjungi Pulau Jerejak dengan menaiki feri dari Georgetown berbekal tambang RM20 seorang. Ia bagi melihat sendiri kawasan yang mempunyai sejarah unik antaranya sebagai tempat penempatan banduan yang dibuang negeri.

"Bagi kami, melawat Pulau Pinang sememangnya menarik kerana pelbagai pengalaman dapat diterokai. Bukan sahaja laut, sejarah, makanan, malah bagi anda yang gemarkan mengambil gambar, ia juga antara destinasi yang sesuai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 7:01 AM