PEMANDANGAN dari atas bot menyaksikan keindahan sekitar Pulau Hibiscus.
PEMANDANGAN dari atas bot menyaksikan keindahan sekitar Pulau Hibiscus.
Nurul Huda Kosnon


ALAT penggera kerap berbunyi, kipas enjin tersangkut di beting berlumpur selain berdepan detik cemas setiap kali bertembung dengan kapal layar mewah yang datang dari arah bertentangan antara cabaran penulis bersama pasangan ketika mengendalikan bot sendiri dalam percutian di Miami, Florida, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Bagaimanapun, garis panduan turut diberikan pemilik bot itu dalam sesi taklimat selama satu jam sebelum memulakan perjalanan menyusuri sekitar pulau kecil seperti 'Hibiscus'dan 'Palm.'

Sebelum ini penulis sering memasang angan-angan memandu bot menyusuri perairan Miami sehingga ada kalanya terbawa dalam mimpi. Jadi, apabila merancang destinasi percutian sempena menyambut hari kelahiran suami, Mohd Sukyme Mohd Yusof, diputuskan percutian perlu dijadikan realiti.

Percutian ke pantai terkenal dunia yang popular dengan jolokan 'the best body beach' itu adalah pada penghujung November 2019 lalu bermula dengan penerbangan tengah malam menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Amsterdam sebelum meneruskan penerbangan berikutnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Atlanta.

Tidak terhenti di situ, kami perlu menyambung perjalanan dengan penerbangan domestik pula iaitu iaitu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Fort Lauderdale-Hollywood selama dua jam.

Meskipun satu tempoh perjalanan memakan masa sehari, saat selesai pemeriksaan kaunter imigresen daerah Selatan Florida itu berakhir dengan satu kelegaan tidak dapat diungkap dengan kata-kata.

PENULIS berpeluang mengendalikan bot.
PENULIS berpeluang mengendalikan bot.

PENULIS tidak melepaskan peluang merakam memori di depan hotel yang pernah menjadi kediaman Gianni Versace.
PENULIS tidak melepaskan peluang merakam memori di depan hotel yang pernah menjadi kediaman Gianni Versace.

PENULIS dan suami di hadapan Seminole Hard Rock Hotel & Casino-Hollywood.
PENULIS dan suami di hadapan Seminole Hard Rock Hotel & Casino-Hollywood.

Menarik kali ini, penulis lebih gemar meninjau sendiri lokasi percutian dan memilih untuk menyewa kenderaan milik syarikat 'Alamo' yang sudah ditempah awal.

Namun perlu ketahui meskipun kami teruja dengan pengembaraan di Miami, aspek keselamatan diri terutama mematuhi had laju ditetapkan pihak berkuasa daerah itu bagi mengelak kejadian tidak diingini apatah lagi warga asing.

Tidak mahu membuang masa, esoknya perjalanan kami menyusuri gugusan pulau sekitar Miami terutama Hibiscus dimulakan seawal jam 9 pagi. Sewaan bot dengan kadar RM4,000 sehari bagi yang mahu mengendalikan sendiri. Jika perlukan pemandu (kapten) kadar tambahan RM2,000 dikenakan.

Pengalaman menarik kali ini apabila kami nekad memandu sendiri bot menyusuri Pulau Hibiscus yang terkenal dalam kalangan selebriti Hollywood sebagai penempatan musim panas bersama kapal layar mewah antaranya Pitbull, Jennifer Lopez, DJ Khaled dan David Beckham.

Mengakui ia suatu yang mencabar apabila saiz bot kami kendalikan lebih kecil berbanding kapal layar mewah yang keluar masuk ke kawasan pulau itu.

Pulau Hibiscus dianggap sebagai 'syurga' dalam kalangan penduduknya apabila membina kediaman dan memiliki dermaga masing-masing dengan bot atau kapal layar mewah untuk bersantai hujung minggu. Ia menawarkan panorama cukup indah terutama senja apabila menghubungkan antara Lautan Atlantik dan Biscyane Bay, Florida.

PANTAI Miami.
PANTAI Miami.

LITAR Daytona.
LITAR Daytona.

Tidak lengkap kunjungan kali ini kalau tidak ke Pantai Miami. Suasananya persis filem 'Baywatch' apabila dipenuhi jutaan pengunjung dan memiliki air laut yang jernih selain pemandangan bangunan atau dinding sekitar lengkap ukiran seni serta mural.

Paling penting ialah pondok keselamatan yang diletakkan di sekitar pantai itu menjadi tarikan utama.

Lagi satu tarikan sempat dikunjungi ialah hotel di 'Ocean Drive' iaitu antara laluan utama tumpuan pengunjung. Ia jadi tarikan disebabkan pernah menjadi kediaman pereka fesyen Itali terkenal dunia, Gianni Versace yang dikatakan dibunuh secara tragis berhampiran pantai itu.

Selain hotel berkenaan, satu lagi destinasi hotel unik sempat dikunjungi ialah Seminole Hard Rock Hotel & Casino-Hollywood, Florida ira-kira satu jam perjalanan dari Pantai Miami. Keunikannya ialah bangunan berbentuk gitar pertama dunia yang baru saja dilancarkan ketika itu.

Malah penulis sempat ke 'Daytona International Speedway' untuk menyaksikan pameran lebih 2,000 kereta klasik di litar lumba itu. Rasanya peminat permainan video 'Daytona' mengenali litar berkenaan dan paling bermakna ketika berada di situ, penulis berpeluang menaiki kereta lumba NASCAR Indy500 klasik selepas ditawarkan pemilik kenderaan itu.

Destinasi lain yang sempat dikunjungi ialah Universal Studios Island Of Adventures-Jurassic Park River Adventure, Orlando, YBOR City Tampa dan Naples iaitu daerah yang terkenal dengan hidangan klasik Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 7:01 AM