12 Apostles menempatkan struktur batu kapur gergasi setinggi 45 meter.
12 Apostles menempatkan struktur batu kapur gergasi setinggi 45 meter.
Muhammad Farid Nazmi Md Lazim


BUMI Australia penuh dengan khazanah budaya dan keindahan alam yang tidak ternilai. Lokasinya yang tidak terlalu jauh dari Malaysia menjadikannya satu tarikan kepada pelancong di Malaysia untuk ke sana.

Kesempatan kami untuk ke Melbourne, ibu negeri wilayah Victoria pada September tahun lalu bersama Ayyash Faruq Travel & Tours adalah pengalaman berharga yang sukar untuk dilupakan.

Kami mengembara di Melbourne dan kawasan sekitarnya selama lima hari empat malam.

Sepanjang berada di sana, Great Ocean Road antara tempat yang sangat mengesani jiwa.

Jalan sepanjang 243 kilometer (km) ini menyimpan pelbagai rahsia dan keunikan tersendiri. Perjalanan kami bermula seawal jam 7 pagi.

PENULIS di Loch Ard Gorge.
PENULIS di Loch Ard Gorge.

Memandangkan ketika itu awal musim bunga, siang agak singkat dan perancangan waktu perlu dibuat dengan teliti supaya tiba di hentian terakhir sebelum malam menjelma.

Kami melalui jalan pesisiran Great Ocean Road yang dibina sebagai tanda peringatan kepada tentera yang berkhidmat dalam Perang Dunia I.

Pembinaan yang bermula pada 1919 dilaksanakan rakan tentera yang selamat pulang dari perang itu sebagai langkah untuk mengambil mereka bekerja semula dengan bantuan Dana Great Ocean Road.

Selepas dua jam 30 minit perjalanan dari bandar Melbourne, akhirnya kami tiba di hentian pertama iaitu Anglesea.

Di sinilah permulaan kepada pengembaraan kami di Great Ocean Road. Selepas berehat di Anglesea, kami meneruskan perjalanan ke Gerbang Peringatan (Memorial Arch).

Ia kawasan tarikan pelancong berhenti mengambil gambar untuk diabadikan sebagai kenangan dan menjadi bukti kunjungan di situ.

Perjalanan diteruskan melalui jalan pesisir laut yang sangat mempesonakan.

Di situ, kami dihidangkan dengan pemandangan lautan biru dan pantai yang indah sentiasa menghiasi pemandangan. Sukar untuk diungkap betapa hebatnya ciptaan Allah.

MEMBERI makan kepada burung di Kennett River.
MEMBERI makan kepada burung di Kennett River.

Seterusnya kami berhenti sebentar di Kennett River untuk melihat koala dan berpeluang memberi makan kepada burung liar yang di situ.

Kemudian perjalanan diteruskan ke sebuah pekan kecil dikenali sebagai Apollo Bay. Di sini kami disajikan makan tengah hari di Restoran Iluka.

Tak lengkap datang ke Australia jika tidak merasai fish and chips yang dihasilkan daripada ikan segar. Di hadapan restoran itu tertera sijil pengesahan halal oleh Islamic Council of Victoria.

Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke 12 Apostles yang menjadi kemuncak perjalanan kami di Great Ocean Road.

Perjalanan dari Apollo Bay ke 12 Apostles mengambil masa sekitar dua jam melalui Taman Negara Port Campbell. Sesekali kami melalui padang ragut yang luas menghijau.

Kami tiba di 12 Apostles sekitar 4 petang. Dari susur pejalan kaki, kami dapat melihat pemandangan yang sangat indah dan mengujakan.

Ia sebenarnya struktur gergasi batu kapur setinggi 45 meter di Lautan Selatan. Terdapat lapan struktur yang masih berdiri manakala bakinya sudah runtuh disebabkan hakisan angin.

Sebenarnya ada banyak hentian atau lookout sepanjang Great Ocean Road, namun disebabkan kekangan masa, kami hanya memilih yang terbaik.

Loch Ard Gorge antara yang unik dan berbaloi untuk berhenti jika ke Great Ocean Road.

Di sini, kami bagai berada di dalam sebuah gua besar yang terdapat struktur batuan tinggi di sebelah kanan dan kiri.

KEINDAHAN Air Terjun Otways menjadi tarikan pelancong
KEINDAHAN Air Terjun Otways menjadi tarikan pelancong

Sejarah menarik mengenai Loch Ard Gorge ialah terdapat sebuah kapal bernama Loch Ard belayar di kawasan ini sehingga terlanggar batu karang yang besar lalu karam.

Hanya dua orang yang selamat daripada 54 penumpang. Kawasan ini juga menjadi antara tumpuan untuk penggambaran filem.

Ketika senja mula menjelma, kami meneruskan perjalanan pulang ke bandar raya Melbourne. Kami tiba di hotel penginapan sekitar 9 malam.

Walaupun perjalanan amat memenatkan, kami berasa puas kerana dapat menikmati pemandangan ciptaan Tuhan amat indah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 7:00 AM