LARANGAN guna kenderaan bermotor untuk beri ruang penjagaan alam sekitar selain menghormati kepercayaan suku Tengger. FOTO Nurzeira Hani Karim Jelani
LARANGAN guna kenderaan bermotor untuk beri ruang penjagaan alam sekitar selain menghormati kepercayaan suku Tengger. FOTO Nurzeira Hani Karim Jelani
Nurzeira Hani Karim Jelani

PERCUTIAN ke Surabaya, Indonesia selama empat hari tiga malam Februari lalu dirancang bersama teman untuk merehatkan diri selepas sibuk bekerja.

Pakej percutian dan penerbangan sudah ditempah awal dengan bajet kurang daripada RM2,000.

Kami memilih untuk terbang pada awal pagi bermula jam 9 pagi dan mengambil kira-kira dua jam 45 minit untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya.

Sebaik tiba, pemandu pelancong menyambut ketibaan kami dengan van pelancong untuk menuju ke Probolingo iaitu kawasan tanah rendah berhampiran Taman Negara Bromo yang juga inap desa tempat kami menginap.

Dari lapangan terbang untuk sampai ke desa itu memakan masa dua setengah jam dengan melintasi lebuh raya baharu daerah Timur Jawa.

Kami berehat secukupnya kerana dijadual keesokan lebih getir apabila memerlukan kami bangun seawal jam 3 pagi untuk mendaki puncak Bukit King Kong.

ANAK tangga menuju ke Kawah Bromo. FOTO Nurzeira Hani Karim Jelani
ANAK tangga menuju ke Kawah Bromo. FOTO Nurzeira Hani Karim Jelani

PEMANDANGAN padang savana sebelum menuju ke Kawah Bromo. FOTO Nurzeira Hani Karim Jelani
PEMANDANGAN padang savana sebelum menuju ke Kawah Bromo. FOTO Nurzeira Hani Karim Jelani

Seterusnya, awal pagi itu cuaca sejuk ditambah dengan kelopak mata masih berat terpaksa dilawan untuk menikmati pemandangan indah Taman Negara Bromo dari puncak Bukit King Kong. Difahamkan oleh pemandu pelancong membawa kumpulan kami, 'spot' ini adalah lokasi terbaik untuk menikmati matahari terbit di daerah itu.

Namun sebelum dapat menikmati pemandangan indah, perjalanan untuk sampai bukanlah sesuatu yang mudah.

Trek masih gelap dan hanya berbekalkan lampu telefon pintar, kami terpaksa mendaki puncak dan anak tangga selama 45 minit. Selepas sampai kami mendirikan solat Subuh sementara menanti matahari terbit.

Tidak jauh dari lokasi itu ialah Taman Negara Bromo yang juga destinasi seterusnya pasti kami kunjungi dalam percutian ini. Keadaan agak lengang daripada biasa kerana kebetulan masyarakat di situ sedang meraikan bulan tanpa kenderaan.

Bukan saja tiada kelibat kenderaan pacuan empat roda, khidmat kendalian untuk ke Kawah Bromo diganti dengan tunggangan kuda dengan jarak perjalanan sejauh empat kilometer.

Menurut orang tempatan, larangan motokar ke lokasi tarikan tersohor di situ sebagai memberi ruang untuk pemulihan alam sekitar dan ekosistem selain dilakukan bagi menghormati Suku Tengger yang menyambut wulan Kepitu (bulan ketujuh) yang dipercayai bulan suci mereka.

PENULIS (depan) dan rakan bergambar dengan latar belakang Desa Warna-Warni Jodipan. FOTO Nurzeira Hani Karim Jelani
PENULIS (depan) dan rakan bergambar dengan latar belakang Desa Warna-Warni Jodipan. FOTO Nurzeira Hani Karim Jelani

PEMANDANGAN di kampung yang berwarna-warni. FOTO Nurzeira Hani Karim Jelani
PEMANDANGAN di kampung yang berwarna-warni. FOTO Nurzeira Hani Karim Jelani

MUZIUM Angkut ketika malam. FOTO Nurzeira Hani Karim Jelani
MUZIUM Angkut ketika malam. FOTO Nurzeira Hani Karim Jelani

Rasanya pemilihan kami untuk eksplorasi ke Taman Negara Bromo pada waktu itu tepat kerana buat julung kali kawasan itu tidak sesak dengan pelancong memberi ruang untuk kami bergambar sepuas-puasnyanya.

Sebelum sampai ke kawah, sebenarnya terdapat 250 anak tangga perlu didaki dan memang ia pengalaman tidak akan dilupakan bagi penulis yang jarang mengikuti mana-mana aktiviti pendakian dalam negara.

Pada sebelah petang pula kami menuju ke Air Terjun Madakaripura yang memerlukan kami merentas hutan selama 30 minit. Getirnya perjalanan kali ini terpaksa menempuh hujan lebat sebelum sampai ke destinasi berkenaan.

Hari terakhir, pengembaraan kami ke daerah Malang menempatkan desa tersohor yang pernah menjadi lokasi penggambaran video untuk lagu Muda nyanyian artis hip hop Malaysia, Altimet.

Kisah mengenai kampung dinamakan Desa Warna-Warni Jodipan ini juga unik yang satu ketika dahulu ia dikatakan kampung tercemar dan suram bertukar wajah menerusi projek komuniti dilaksanakan pelajar universiti tempatan dalam usaha mewujudkan atmosfera sihat serta positif.

Usaha pelajar itu disokong oleh syarikat cat tempatan yang menderma 2,721 liter cat dan perkakas lain bagi memperindahkan kawasan. Selain kampung berkenaan kami turut melawat Batu Flower Garden, kebun epal dan muzium angkut.

BERBASIKAL di udara. FOTO Nurzeira Hani Karim Jelani
BERBASIKAL di udara. FOTO Nurzeira Hani Karim Jelani

PEMANDANGAN indah air terjun Madakaripura. FOTO Nurzeira Hani Karim Jelani
PEMANDANGAN indah air terjun Madakaripura. FOTO Nurzeira Hani Karim Jelani

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 7:00 AM