PINNACLE ialah susunan batu menegak di kawasan bergurun.
PINNACLE ialah susunan batu menegak di kawasan bergurun.
Fatin Alawiyah Sahimi

MENGUNJUNGI Perth, Australia antara pengalaman mengujakan bagi penulis kerana ini kali pertama berada di luar negara.

Perasaan ketika itu mendebarkan, tetapi pada pada masa sama gembira untuk menempuh perjalanan sejauh 4,162 kilometer dari Kuala Lumpur menerusi penerbangan hampir enam jam.

Percutian kali ini penuh bermakna apabila disertai ibu tercinta, Salaitah Abdul Rahim,61, bersama tujuh ahli keluarga lain selama 10 hari dengan mengunjungi lokasi menarik di bandar itu antaranya Caversham Wildlife, Lancelin, Watertown Factory Outlet dan Swan Valley.

Umumnya, Perth adalah ibu negeri dan bandar terbesar di Australia Barat manakala sejarah mengenai namanya dipetik daripada bandar Perth, Scotland.

Perth juga negeri yang mengalami iklim Mediterranean dan mempunyai empat musim. Kebetulan kami berkunjung ke sana akhir tahun secara amnya cuaca panas dan baik.

Namun pada sebelah malam kami berasa seperti pada musim sejuk, tapi siang masih kelihatan matahari. Di sini tempoh masa siang adalah lebih panjang berbanding malam kerana pada jam 4 pagi, waktu Subuh sudah menjelang.

SERONOK meluncur pasir di Lancelin.
SERONOK meluncur pasir di Lancelin.

PEMANDANGAN indah Lautan Hindi di kawasan Moore River Sanctuary.
PEMANDANGAN indah Lautan Hindi di kawasan Moore River Sanctuary.

Mengenai perjalanan sepanjang berada di sana tidak sukar kerana rombongan penulis dibantu sepupu yang menetap dan bekerja di Perth. Jadi urusan penginapan dan pengangkutan sudah disusun mengikut kesesuaian ahli keluarga yang menyertai percutian.

Dalam senarai destinasi yang lawatan dibawa sepupu itu, paling menarik ialah Lancelin iaitu pekan nelayan kecil kira-kira 127 kilometer di utara Perth.

Jadi untuk sampai perlu menempuh perjalanan kira kira sejam jam 30 minit, namun berbaloi disebabkan di lokasi ini pengunjung boleh meluncur pasir atau ‘sand boarding’.

Pemandangan tidak membosankan kerana sambil lakukan aktiviti itu boleh nampak Lautan Hindi.

Cumanya ia mencabar ketika melakukan aktiviti berkenaan mata kerap dimasuki pasir berpunca daripada tiupan angin kuat. Sebaik-baiknya pakai kaca mata atau ‘goggle’.

Lebih lucu apabila tengok muka sendiri selepas bermain, memang sudah serupa pelakon opera Cina disebabkan penuh diselaputi pasir! Jadi wajib cuba aktiviti ‘sand boarding’ apabila berada di Perth. Jangan bimbang sewa papan untuk aktiviti meluncur di sini tidak mahal iaitu sekitar 10 Australia dolar (AUD) bersamaan kira-kira RM30 selama tiga jam menerusi operator beroperasi daripada karavan masing-masing.

MENDEKATI kanggaru.
MENDEKATI kanggaru.

Dalam perjalanan pulang ke pusat bandar, kami sempat singgah ke beberapa lokasi unik antaranya Moo re River Sanctuary iaitu pertemuan muara sungai dan laut serta Pinnacle iaitu kawasan gurun yang terdapat struktur batu tersusun menegak.

Tidak boleh dilupakan sepanjang berada di Perth ialah ketika berkunjunga ke pusat haiwan liar, Caversham Wildlife.

Angan-angan hendak peluk kanggaru tercapai apabila berada di sini. Lebih bernasib baik apabila boleh dukung koala dan bermanja dengan wombat.

Dengan bayaran masuk A$24 iaitu sekitar RM72 rasa berbaloi sebab ada pertunjukan atau demonstrasi ladang penternakan termasuk Molly Show iaitu demonstrasi mencukur bulu kambing biri-biri yang gebu.

Tidak lupa diingatkan buat kaki ‘shopping’ supaya menjengah Watertown Factory Outlet. Penulis terpaksa beristighfar apabila berulang-alik ke sana empat kali akibat penangan ‘boxing day’.

Barangan berjenama boleh didapati pada harga yang murah terutama untuk item 'off season'. Contohnya kalau cari barang musim sejuk pada musim panas, harganya akan turun.

Kalau sudah berada di sini boleh juga berkunjung ke Murray Street kerana ada cawangan kedai berkonsep sepanjang laluan berkenaan selain memandu lima minit untuk ke London Court.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 7:00 AM