Maiamalina Mohamed Amin


JIKA ditanya lokasi paling menarik yang dilawati di Victoria dan kota Melbourne, Australia jawapan penulis, South Melbourne Market (SMM).

Ia mungkin jawapan kurang popular, apatah lagi pasar itu bukan lokasi tipikal kunjungan pelancong, namun ada sesuatu yang menambat hati penulis.

Terletak di pinggir selatan bandar raya Melbourne iaitu ibu negeri Victoria, SMM berusia 152 tahun, antara pasar tertua yang masih menjadi pilihan penduduk bagi mendapatkan keperluan seperti produk segar, hasil ladang, keju, coklat, rempah ratus, aksesori dan banyak lagi.

Mula beroperasi pada Mei 1867 ketika era pemerintahan Ratu Victoria, diuji pula dengan kebakaran pada 1981 dan dua kali dibom pada tahun sama, SMM masih berpaksi kepada objektif awal pembangunannya - berkhidmat untuk komuniti.

Semangat itu tidak lupus dan ketika kunjungan penulis pada 9 Oktober lalu, ia masih jadi tempat penduduk berkumpul, menikmati kopi, makan dan saling berhubung, selain membeli-belah.

Wajar penulis katakan pasar yang mengutamakan kitar semula itu, nadi penduduk di situ dan kenyataan ini disokong Aaron yang mengiringi penulis serta rombongan Kembara Mesra Muslim Australia untuk meneroka pasar berkeluasan empat hektar terbabit.

Kembara kami disertai enam pengamal media Malaysia, Indonesia dan Singapura atas jemputan Tourism Australia dengan kerjasama Visit Victoria.

Aaron pula sudah tujuh tahun berkhidmat dengan pengurusan SMM dan katanya, 5.5 juta orang mengunjungi pasar itu setahun dan Ahad biasanya paling sibuk dengan purata 30,000 pengunjung.

Bagi penulis, itu tanda ekonomi negara berkenaan makmur, bahkan pasar boleh jadi tempat sesuai untuk menilai ‘wajah’ sebenar sesebuah kota. Sebab itu penulis anggap ia istimewa.

PEMANDANGAN Pulau Philip dari udara.
PEMANDANGAN Pulau Philip dari udara.

Di ruang tengah pasar itu, terpampang mural wanita bertudung yang membawa banyak interpretasi, tetapi penulis menyifatkannya mesej jelas bahawa penduduk Melbourne terbuka menerima perbezaan dan mengiktirafnya.

Rupanya ada enam lukisan mural pelbagai motif di sekitar pasar termasuk parkir, namun potret wanita bertudung itu adalah karya pertama melambangkan kepelbagaian budaya dan hubungan terjalin dalam tempoh 15 dekad pasar terbabit.

Wanita pada imej mural dikatakan wujud tetapi kekal ‘anonymous’ dan dilukis menggunakan cat jenis spray serta akrilik oleh pelukis karya jalanan terbaik Melbourne, pada 2017.

Secara keseluruhan, Melbourne sememangnya kota yang menghargai seni jalanan apabila beberapa lorong di bandar raya itu dibenarkan menjadi kanvas untuk pelukis menzahirkan idea mereka.

Lima puluh minit pemanduan keluar dari Melbourne, kami ke Yarra Valley, kawasan lembah dan pergunungan yang menempatkan ladang ceri milik Cherryhill Orchard untuk merasai kemeriahan Festival Cherryhill Orchard Blossom.

Meskipun ladang bertukar taman itu belum mampu menandingi rimbunan bunga sakura di Jepun, ia memadai untuk penduduk menikmati keindahan Cherry Blossom putih, sebelum ia beralih kepada aktiviti memetik ceri pada November.

Keindahan Yarra Valley benar-benar penulis hayati apabila berkunjung ke Festival Tulip yang dihoskan Tesselaar Flower Farm. Ada 900,000 tulip berkembang cantik di situ yang mewujudkan pemandangan seperti pelangi.

Pesona coklat buatan tempatan di Yarra Valley Chocolaterie & Ice Creamery juga tidak boleh dinafikan.

PELANCONG bergambar di Brighton Bathing Boxes
PELANCONG bergambar di Brighton Bathing Boxes

Mengunjungi Mornington Peninsula pula, lokasi mesti lawat adalah Enchanted Advanture Garden yang juga taman buat mereka sukakan keseronokan dan cabaran ‘maze,’ selain aktiviti lasak seperti menyusuri pokok dan ‘zip lining.’

Jelajah tidak lengkap sekiranya tidak bertandang ke Pulau Philip yang letaknya Philip Island Nature Park - taman semula jadi buat pelancong melihat penguin kecil berjalan pulang ke Pantai Summerland, setiap kali matahari terbenam.

Sebelum itu, jika berminat melihat Pulau Philip dari pandangan atas, anda boleh menaiki helikopter kendalian Philip Island Helicopters yang menawarkan pengalaman sesingkat lapan minit pada harga AUS$90 (RM254).

Rombongan kami kemudian dibawa ke semenanjung paling selatan di tanah besar Australia iaitu Wilsons Promontory untuk menikmati pelayaran bot yang dihoskan Pennicott Wilderness Journeys, syarikat berpengalaman 20 tahun di Tasmania.

Bagaimanapun, jangan paksa diri jika anda menghidap mabuk laut kronik kerana banyak lagi aktiviti lain yang boleh dilakukan jika berkunjung ke Victoria, terutamanya kalau mahu bersiar di Melbourne sahaja.

Di kota itu, selain bertandang ke SMM, aktiviti mesti buat ialah Jelajah Karya Jalanan Melbourne yang diuruskan ‘street artists’ sendiri seperti James Wilson, 26, yang menjadi jurupandu rombongan kami untuk penjelajahan dari Flinders Streets sehingga ke Blender Studios di barat Melbourne.

Brighton Bathing Boxes, tempat ikonik yang menghimpunkan 82 pondok kayu berwarna-warni juga wajar singgah, selain Muzium Kesenian Islam Melbourne di Anderson Road, Thornbury dan berjalan di kejiranan Fitzroy yang masih banyak menyimpan seni bina era Victoria dan Edward.

Ambil masa juga untuk meneroka sisi lain Melbourne dengan ke Degraves Street, tempat pengumpulan kafe dan restoran trendy; Bourke Street yang ada pusat beli-belah pelbagai golongan serta Royal Arcade iaitu bangunan komersial tertua di Melbourne sejak 1869.

Jangan bimbang soal makanan halal kerana mudah diperoleh di bandar terutama dekat Sydney Road, Brunswick yang dipenuhi restoran Asia Barat dan kedai menjual daging halal untuk mereka yang memasak.

Apa yang penting, menikmati pengalaman berada di negara orang sepenuhnya dan menerima kepelbagaian seperti Melbourne yang mengiktiraf perbezaan budaya serta bangsa tanpa prejudis.

SMM yang menjadi pilihan penduduk mendapatkan produk segar.
SMM yang menjadi pilihan penduduk mendapatkan produk segar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:20 AM