Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


PEMANDANGAN memukau namun perlu berwaspada berikutan selipar atau kasut anda akan mudah dilarikan ‘hantu’ jika leka seketika.

Itu dialami penulis ketika menunaikan solat Subuh di Masjid Mtoro, Mahiwa Street, yang terletak di tengah- tengah Dar es Salaam iaitu ibu kota Tanzania, Afrika ini.

Penulis yang berada selama 11 hari di negara ini, mulanya musykil apabila mendapati hampir semua jemaah yang hadir ke mana-mana masjid akan meletakkan kasut atau selipar dipakai ke dalam plastik sebaik tiba di tangga masjid.

Bungkusan berisi selipar itu kemudian akan dijinjing dan diletakkan di sudut atau tiang masjid yang terletak tidak jauh dari lokasi mereka mengerjakan solat.

Malah agak keterlaluan apabila ada antara mereka meletakkan bungkusan selipar itu di saf paling hadapan berhampiran tempat imam berdiri.

WARGA kota Dar es Salaam mengerumuni Masjid Mtoro untuk solat Zuhur.
WARGA kota Dar es Salaam mengerumuni Masjid Mtoro untuk solat Zuhur.

Namun, persoalan itu terjawab apabila penulis mendapati sandal yang diletakkan di rak khas disediakan berhampiran tempat mengambil wuduk ‘lesap’ selepas selesai mengikuti tazkirah.

Apakan daya, insiden sudah berlaku dan penulis terpaksa pulang berkaki ayam ke hotel yang terletak 50 meter dari masjid.

Seorang jemaah masjid, Omar Hasaan berkata, kegiatan mencuri selipar atau kasut di masjid di Tanzania bukan perkara asing malah ia semakin serius dan dikaitkan dengan golongan pengemis jalanan, peniaga kasut terpakai dan ‘musang’ menyamar sebagai jemaah masjid.

Malangnya isu ini mungkin boleh diatasi sekiranya pihak masjid memasang kamera litar tertutup (CCTV) seperti mana dilakukan kebanyakan pengurusan masjid di Malaysia.

Penulis yang mengikuti program bantuan kemanusiaan dan Misi Ibadah Korban hasil kerjasama Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) dan Sinar Korban Services di Tanzania, baru-baru ini mendapati ibu kota Dar es Salaam sedikit lebih membangun berbanding kota Afrika lain seperti N’Djamena, Chad; Khartoum, Sudan; Niamey, Niger atau Lilongwe, Malawi.

PEMANDANGAN indah dari jeti Azam Marine Ferry.
PEMANDANGAN indah dari jeti Azam Marine Ferry.

Jumlah rakyatnya mencecah 50 juta orang menyebabkan ibu kota ini kelihatan padat dengan manusia berada di mana-mana.

Cuaca hampir sama dengan Malaysia selain kedudukannya terletak di pinggir pantai menghadap Lautan Hindi menyebabkan penulis agak selesa untuk bergerak walau ketika terik mentari.

Tidak perlu bimbang dikejar pengemis jalanan berikutan penulis mendapati situasinya jauh berbeza berbanding Jakarta, Indonesia; Jaipur, India atau Kaherah, Mesir yang pernah dilawati sebelum ini.

Walaupun terdapat pandangan skeptikal terhadap warga Afrika yang dianggap kasar dan agresif, keadaan sebenar berbeza di sini.

Masyarakat Tanzania tidak kelihatan pelik atau memandang rendah terhadap ‘orang luar’ sebaliknya mereka mudah didekati untuk memulakan perbualan.

PEMANDANGAN ibu kota Dar es Salaam yang dipenuhi premis perniagaan dan penjaja bergerak.
PEMANDANGAN ibu kota Dar es Salaam yang dipenuhi premis perniagaan dan penjaja bergerak.

Mungkin kepelbagaian penduduk membabitkan warga Arab, Oman dan China selain negara ini menjadi tumpuan pelancong antara faktor mereka sudah biasa dengan kehadiran orang asing.

Ada baiknya jika anda belajar serba sedikit bahasa tempatan Swahili berikutan bahasa ini senang diingati dan mereka mudah mesra apabila mengetahui ‘orang luar’ cuba menggunakan bahasa harian mereka.

Antaranya yang popular adalah ‘Assante’ bermaksud terima kasih, Habare (apa khabar), selamat pagi (jumbo) dan Na Kula Nani (siapa nama anda?).

Sepanjang tempoh berada di bandar ini, penulis mendapati landskap ibu negara Tanzania ini dipenuhi pangsapuri dan bangunan bertingkat selain keadaan jalan yang sempit.

Infrastruktur yang kurang diberi keutamaan menyebabkan kebanyakan jalan tidak diturap dengan baik antara faktor suasana mudah berdebu.

PENULIS sempat merakam momen nelayan menurunkan hasil laut di pesisir pantai bersebelahan Kivukoni Fish Market.
PENULIS sempat merakam momen nelayan menurunkan hasil laut di pesisir pantai bersebelahan Kivukoni Fish Market.

Malah keadaan ini menjadi punca kesesakan lalu lintas yang teruk terutama ketika waktu puncak. Malah jika berlaku kemalangan, kenderaan di sini, langsung tidak boleh bergerak.

Di mana-mana saja boleh dilihat jurujual bergerak atau peniaga kaki lima menjaja limau, kacang, kelapa, rokok hinggalah kepada kasut, stereng kereta dan alat pemadam kebakaran.

Yang pasti mereka tidak mendesak anda membeli barangan dijual dan anda mudah mengambil gambar atau berswafoto di mana-mana saja.

Soal makanan halal bukan masalah berikutan ada pelbagai restoran menawarkan sajian makanan nasi beriani atau capati seperti di Malaysia.

Penulis sendiri mulanya agak terkejut apabila mendapati perkataan nasi beriani dan capati turut digunakan di negara ini sekali gus membuktikan bahawa sajian itu bersifat universal.

Biasanya ia dihidang di dalam dulang besar berlaukkan ayam atau daging sebelum dimakan beramai-ramai persis kerap diamalkan warga Timur Tengah.

Kesempatan yang ada turut diambil penulis untuk melawat lokasi terkenal iaitu pasar ikan ‘Kivukoni Fish Market’ yang dianggap lokasi wajib dikunjungi pelancong luar.

SUASANA kediaman dan premis perniagaan sekitar bandar Dar es Salaam.
SUASANA kediaman dan premis perniagaan sekitar bandar Dar es Salaam.

Uniknya pasar ikan ini menjadi lokasi aktiviti lelongan ikan yang baru ditangkap nelayan di laut.

Ikan segar ini akan cuba dibida orang ramai termasuk peniaga pada harga terbaik. Pemerhatian penulis mendapati rata-rata hidupan laut dijual masih segar tanpa diletakkan ais. Tiada bau busuk di sini, malah terdapat pelbagai hidupan laut ‘mewah’ dijual termasuk udang kara, kurita dan kerapu merah.

Pemandangan nelayan membawa turun hasil laut dari deretan kapal di pesisir pantai berhampiran pasar ikan ini sungguh menakjubkan.

Malah jika bernasib baik, anda akan berjumpa peniaga menjual hidupan laut pelik seperti ular laut, belut, ikan buntal, sirip yu dan pelbagai lagi.

Satu lagi jangan lupa juga untuk berkunjung ke pasar Kariakoo Market di tengah ibu kota ini. Pasar kering ini yang lebih luas berbanding kawasan Chow Kit menawarkan pelbagai barangan harian hinggalah kepada fabrik Afrika, kraftangan, makanan dan pelbagai lagi.

Walaupun sektor industri dan keupayaan ekonomi negara ini tidak sehebat Malaysia, satu perkara yang harus dipuji apabila penulis sukar menemui golongan pengemis atau gelandangan di ibu kota ini.

Memikirkan perkara ini, terlintas di benak fikiran penulis betapa penduduk Tanzania adalah golongan yang gigih dan gemar berniaga apa saja.

Mereka bukanlah golongan yang merempat atau mengharapkan belas simpati ramai. Ini jauh berbeza dengan ratusan pengemis dan gelandangan yang biasa penulis temui di kaki lima Jalan Tunku Abdul Rahman dan Chow Kit saban malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 6:00 AM
KEADAAN pasar ikan Kivukoni Fish Market yang menjadi pusat menjual pelbagai hasil terus dari laut.
KEADAAN pasar ikan Kivukoni Fish Market yang menjadi pusat menjual pelbagai hasil terus dari laut.