Lizam Ridzuan

Kemas dan tersusun. Itu yang boleh dikatakan pada Kenderaan Utiliti Sukan (MPV) premium Hyundai Staria serba baharu yang tampil dengan rekaan unik serta futuristik.

Ia boleh dilihat melalui rekaan luaran serta dalaman yang banyak menyerlahkan ciri terkehadapan MPV premium buatan pengeluar dari Korea ini.

Lihat saja rekaan lampu hadapannya, ia berbentuk kiub dalam perumah yang unik.

Lampu nyalaan siang (DRL) pula dalam kedudukan melintang merentasi bonet.

Gril MPV ini mungkin yang paling mencuri perhatian. Lebar dan luasnya membuatkan ramai tertarik pada pandangan pertama.

Cermin tingkapnya yang luas pula diinspirasikan daripada seni bina tradisional Korea 'hanok'.

Walaupun luas, rekaan cermin ini memberi keselesaan pada penumpang, sama ada dalam jumlah maksimum atau seorang saja di belakang.

Keluasan tingkap juga menjadikan suasana kabin MPV ini lebih nyaman serta tidak terasa sesak.

MPV ini didatangkan dengan rim aloi 18 inci bersaiz 235/55 R18 serta tayar simpanan bersaiz sama.

Pintu bukaan luas automatik juga memudahkan urusan memasuk atau mengeluarkan bagasi.

Hyundai Staria sememangnya MPV yang luas dengan jarak asas roda 3,273 milimeter (mm), panjang keseluruhan 5,253mm dan lebar 1,997mm.

Ia dilengkapi tujuh tempat duduk. Kabinnya dilengkapi kerusi balutan kulit Nappa berserta pemanas atau penyejuk tiga ketetapan.

PAPAN pemuka ciri teknologi.
PAPAN pemuka ciri teknologi.

Selain itu, tempat duduknya lengkap dengan larasan elektrik (untuk baris pemandu, penumpang hadapan dan baris kedua).

Baris kedua juga memuatkan kerusi gaya kapten dan ia sememangnya menyerlahkan suasana eksklusif serta eksekutif MPV ini.

Ia juga didatangkan dengan kluster meter pemandu TFT LCD bersaiz 10.25 inci dan Rheostat serta sistem infotainmen lapan inci skrin sesentuh.

Sistem keselamatannya pula dilengkapi enam beg keselamatan, ABS, ESC, VSM, EBD, TCS, Kawalan Bantuan Mula-Bukit (HAC) dan Isofix.

Untuk Hyundai SmartSense, ia antaranya merangkumi Bantuan Mengelak-Perlanggaran Titik Buta (BCA), Paparan Titik Buta (BVM), Bantuan Elak Perlanggaran Trafik Melintas Belakang (RCCA) dan Bantuan Kekal Lorong (LKA).

Untuk prestasi, Hyundai Staria dijana enjin 2.2 CRDi Diesel. Ia mampu menjana kuasa 177PS pada 3,800rpm dan tork 431Nm pada 1,500 hingga 2,500rpm.

Ia juga dilengkapi kotak gear transmisi automatik lapan kelajuan dengan Shift-By-Wire (SBW) elektronik, pacuan roda hadapan (2WD) selain empat mod pemanduan iaitu Smart, Normal, Eco dan Sport.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Hitam Abyss, Putih Creamy, Perak Shimmering, Moonlight Cloud dan Steel Graphite.

Warna ruang dalaman boleh dipilih seperti dwi-tona coklat, kelabu dan biru serta hitam monotone.

Untuk pasaran Malaysia, Hyundai Staria serba baharu ini dijual pada harga bermula RM358,888 dengan jaminan dua tahun atau 50,000 kilometer, yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 6:30 AM