TOYOTA perkenal teknologi kenderaan hibrid elektrik (HEV) termaju di Malaysia .
TOYOTA perkenal teknologi kenderaan hibrid elektrik (HEV) termaju di Malaysia .
Oleh Lizam Ridzuan


UNTUK kelestarian alam sekitar dan kemampanan proses pengeluaran kenderaan, UMW Toyota Motor (UMWT) kini menyediakan produk terbaharu untuk pasaran di negara ini dengan teknologi termaju ciri elektrifikasi.

Menerusi pelancaran Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV) pertama untuk Toyota yang dipasang di negara ini kenderaan berkenaan adalah praktikal, mampu milik, realistik dan pantas sebagai produk masa hadapan dalam era permotoran negara.

Sebagai pengeluar kenderaan utama dunia, Toyota bukanlah asing dengan usaha ini yang sudah dimulai sejak 20 tahun lalu melalui generasi pertama HEV model Prius yang diperkenalkan pada 1997.

Malah, terdapat lebih 45 model HEV lain ditawarkan dengan lebih 18 juta unit kenderaan terjual di seluruh dunia bukan sahaja sesuai bagi kegunaan harian, namun diuji ketahanan prestasi ke tahap maksimum di litar dengan meraih empat kejuaraan berturut-turut dalam Perlumbaan Le Mans 24 Jam oleh pasukan Toyota Gazoo Racing.

Elektrifikasi juga komitmen utama Toyota dalam usaha mengurangkan pelepasan gas karbon yang juga seiring dengan perbincangan Sidang Kemuncak Pemimpin mengenai Iklim 2021.

Timbalan Presiden UMWT, Akio Takeyama berkata, industri automotif mempunyai cabaran besar ke arah neutraliti karbon dan mencapai emisi sifar.

"Ia meliputi kitaran proses daripada pengeluaran, pengangkutan, penjanaan kuasa, bahan api atau pengecasan dan kitar semula serta pelupusan kenderaan.

"Namun Toyota mengambil semua cabaran itu dengan pendekatan lebih holistik kepada pengguna dengan penyelesaian yang lebih mampan bagi memenuhi kepelbagaian keperluan mereka," katanya.

Oleh itu, bagi langkah lebih efisien dan pantas, ia boleh dicapai melalui HEV meskipun Toyota turut memiliki model Kenderaan Bateri Elektrik (BEV), Kenderaan Elektrik Plug-in (PHEV) dan Kenderaan Sel Bahan Api Elektrik (FCEV) dan ia bergantung kepada polisi tenaga negara ia dipasarkan.

Malah Toyota juga aktif membangunkan 'e-fuels' daripada sel hidrogen yang meningkatkan keupayaan penggunaan bahan api lebih efisien secara drastik.

Toyota juga melakukan pelaburan jangka masa pendek dan panjang bagi pembangunan dan bekalan bateri yang turut memberi impak peningkatan sasaran jualan kenderaan ciri elektrik Toyota daripada lima juta unit ke lapan juta unit menjelang 2030.

"Kami yakin HEV adalah ciri mobilti yang paling realistik untuk pengguna di Malaysia terutama daripada sudut praktikal dan infrastruktur yang mempunyai potensi besar.

"Ia juga sebagai jambatan menghubungkan kepada pembangunan kenderaan elektrik penuh dengan usaha tetap dilaksanakan bagi merealisasikan BEV seperti pengurangan pada kos, penambahbaikan tenaga campuran dan pembangunan kemudahan sokongan lain," katanya.

Menurutnya, HEV dan BEV mempuyai proses pengeluaran yang sama termasuk menghasilkan janaan tenaga dan faktor pemilikan melebihi 10 tahun menjadikan keberkesanannya sama seperti BEV berdasarkan situasi semasa di Malaysia.

Kelebihan teknologi HEV Toyota generasi keempat ini ialah ia menawarkan teknologi termaju dengan ciri pintar selain pengalaman pemanduan lebih menarik.

TOYOTA  Prius
TOYOTA Prius

Ia menjana dwikuasa daripada dua motor elektrik dan enjin petrol menawarkan ketahanan dan penggunaan bahan api efisien untuk jarak lebih jauh sebelum isian semula diperlukan.

HEV ini direka untuk disesuaikan dengan pengeluaran kenderaan masa hadapan termasuk kos bahan api rendah, pengendalian terbaik dengan tork responsif dan paling penting ia mesra alam sejajar dengan sasaran neutraliti karbon Toyota menjelang 2050.

Enjin juga kini lebih senyap, prestasi lebih tinggi, pecutan dan pengendalian mantap serta kekasaran, gegaran dan kebisingan (NVH) yang lebih baik.

Ia juga dengan kejuruteraan untuk kebolehpercayaan, tahan lama dan mampu bertahan dalam ujian yang dilakukan termasuk pada keadaan pelbagai permukaan jalan dan jarak.

Antara kelebihan lain, HEV ini menjana tenaga dengan menggerakkan motor elektrik yang dicas semula secara automatik ketika pemandu membrek atau melepaskan pedal pecutan ketika kenderaan bergerak.

Sejajar dengan kemajuan ini, Presiden UMWT Ravindran K berkata mereka mempunyai produk dan teknologi yang tepat bagi menyokong infrastruktur semasa dan polisi tenaga yang dikeluarkan oleh kerajaan.

"Kami dalam kedudukan ideal menyumbang kepada visi Malaysia menjadi hub teknologi termaju serta usaha pengurangan karbon dalam proses pengeluaran dan produk,"

"Ia adalah langkah penting dalam memastikan polisi masa hadapan dan pelanggan bersedia menerima elektrifikasi pada kenderaan apabila ia dilancarkan kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 6:23 AM