GAYA ikonik kelasakan.
GAYA ikonik kelasakan.
Lizam Ridzuan


MODEL Land Rover terkenal kerana kelasakan dan digunakan oleh pasukan keselamatan seperti tentera dan polis di negara ini sebagai kenderaan operasi.

Namun, sejajar dengan perkembangan zaman dan teknologi, ia diberi nafas baharu menerusi model Land Rover Defender 110 Serba Baharu yang dilancarkan untuk pasaran tempatan oleh pengedarnya, Jaguar Land Rover (Malaysia).

Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) pacuan 4x4 ini bukan sahaja diangkat menjadi model mewah, malah turut boleh disesuaikan dengan prestasi laluan lasak seperti model generasi terdahulu.

Memenangi Anugerah Rekaan Kereta Terbaik Dunia 2021, Defender Serba Baharu direka dengan bayangan DNA asal, namun tampil gaya moden dan maskulin seperti lampu utama, matriks dengan lampu nyalaan siang (DRL) dan belakang daripada LED.

Untuk kekal gaya vintaj, pintu belakangnya masih menempatkan tayar simpanan selain kekal dengan bukaan sisi.

Dengan jarak roda 3,022 milimeter (mm), ia 99mm lebih panjang daripada model Discovery.

PAPAN pemuka gaya teknologi.
PAPAN pemuka gaya teknologi.

Panjang keseluruhannya ialah 5,018mm dengan lebar 2,105mm serta tinggi 1,967mm.

Ruang dalaman Defender juga luas dan selesa. Ia dilengkapi sistem infotainmen Pivi Pro, skrin sesentuh 10 inci, keterhubungan Android Auto dan Apple CarPlay serta sistem pembesar suara premium Meridian.

Kerusinya cukup eksklusif dengan balutan kulit Ebony Windsor.

DUA enjin 2.0L dan 3.0L MHEV ditawarkan.
DUA enjin 2.0L dan 3.0L MHEV ditawarkan.

Ia juga dilengkapi bumbung panorama, konsol tengah dengan perehat lengan, kawalan suhu dua zon, pencahayaan kabin dan soket 12 voltan pada ruang kargo.

Selain kegunaan harian, ia juga sesuai untuk laluan lasak dengan jarak kelegaan jalan 291mm selain ciri mod pemanduan 'Wade' untuk mengharungi laluan berair sedalam 900mm.

Ia dilengkapi antaranya dengan ciri pemanduan eco, normal, salji serta pasir.

Suspensi udara dengan kendalian 4x4 menambah keupayaan semua permukaan membolehkan ketinggian kenderaan dinaikkan 75mm hingga 145mm, mengikut keperluan.

Ciri keselamatan dengan kamera 360 darjah membolehkan ia melalui pelbagai permukaan jalan.

RUANG muatan kabin sehingga 2,380 liter.
RUANG muatan kabin sehingga 2,380 liter.

Ia juga dilengkapi antaranya dengan enam beg keselamatan, Stereng Bantuan Kuasa Elektrik (EPAS), Kawalan Cengkaman ELektrik (ETC) serta Kawalan Kestabilan Berpusing (RSC).

Ada dua pilihan enjin untuk pilihan pembeli iaitu 2.0L Ingenium yang menjana kuasa 300PS dan tork 400Nm serta 3.0L Ingenium Mild Hibrid Electric Vehicle (MHEV) pengecas turbo twin-scroll yang menjana 400PS dan tork 550Nm.

Tangki bahan apinya berkapasiti 90 liter. Selain mencapai kelajuan maksimum sehingga 191 kilometer/sejam (km/j), ia mampu memecut daripada sifar ke 100km/j dalam temph 8.1 saat.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Fuji White, Santorini Black, Pangea Green, Silicin Silver dan Gondwana Stone.

Untuk pasaran Malaysia, Land Rover Defender 110 Serba Baharu dijual pada harga RM798,800 (2.0L Ingenium) dan RM998,800 (3.0L(MHEV) (semua harga atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 6:46 AM