LEBIH 200 juruteknik selenggara disediakan.
LEBIH 200 juruteknik selenggara disediakan.
Lizam Ridzuan


KENDERAAN jenama Eropah sering dikaitkan dengan kos penyelenggaraan yang tinggi, malah sebelum ini dilihat mempunyai kualiti khidmat selepas jualan yang kurang memberangsangkan.

Namun, persepsi itu sebenarnya jauh daripada nyata kerana banyak jenama automotif di negara ini sudah memberi fokus utama kepada perkara itu.

Untuk itu, Vroom berkesempatan menemu bual Pengarah Selepas Jualan, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) Deenan Nadar mengenai perkara ini.

Menurutnya, pengalaman pemilikan kenderaan pengguna antara yang paling penting dalam memastikan kebolehpercayaan sesuatu jenama itu kekal untuk jangka panjang.

Sejak 2016, VPCM menyediakan 17 pusat jualan dan pengedar termasuk 18 pusat selenggara di seluruh negara dengan lebih 200 juruteknik terlatih daripada Akademi Latihan Automotif Volkswagen di Shah Alam, Selangor bagi memastikan setiap kenderaan diselenggara mengikut standard global.

Usaha itu memberi kesan dengan 80 peratus peningkatan diterima daripada aspek kepuasan pelanggan dan 89 peratus pengurangan daripada aspek pembaikan yang berulang.

DEENAN
DEENAN

"Selain pekerja terlatih, bekalan alat ganti juga sentiasa berada dalam stok simpanan pengedar bagi memastikan kelancaran selenggara tanpa perlu menunggu lama.

"Gudang alat ganti Volkswagen untuk rantau Asean di Johor memberikan kelebihan dan kemudahan penghantaran bekalan termasuk ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu kerana perkhidmatan logistik yang dibolehkan beroperasi," katanya.

Tambahnya, secara purata, pusat selenggara Volkswagen menerima 2,000 kenderaan untuk diselenggara pada setiap minggu di seluruh Malaysia dan ketika tempoh PKP, mereka mengambil langkah pendigitalan dengan pengenalan aplikasi mudah alih Volkswagen Cares dengan lebih 30,000 pengguna berdaftar.

"Antara kelebihan aplikasi ini ialah pelanggan boleh lakukan janji temu selenggara, maklumat berkaitan kenderaan serta terhubung dengan rangkaian pengedar di seluruh negara termasuk Pelan Insurans Volkswagen (VIP)," katanya.

Untuk kelegaan tambahan, VPCM juga menawarkan kaedah pembayaran ansuran bulanan kosong peratus faedah menerusi kad kredit serta diskaun selenggara dan alat ganti menerusi Volkswagen Care Plus.

APLIKASI bagi kemudahan selenggara.
APLIKASI bagi kemudahan selenggara.

Ia turut mencatatkan 60 peratus daripada pemilik yang sudah tamat tempoh jaminan tetap kembali ke pusat selenggara sah bagi memastikan jaminan alat ganti dan selenggara yang tulen serta berkualiti.

Katanya, untuk kesihatan dan keselamatan, lebih 90 peratus pekerja di pusat selenggara sudah divaksin dan setiap kereta juga akan disanitasi sebelum dan selepas proses penyelenggaraan.

Pihaknya juga mengalu-alukan maklum balas pelanggan menggunakan platform bebas Car.Advisor yang lebih telus untuk dijadikan rujukan utama bagi penilaian pengguna akan perkhidmatan selepas jualan.

Sehingga Ogos lalu, VPCM menerima lebih 4,000 penilaian dengan purata skor 4.72 daripada 5

bintang.

AKADEMI Latihan Automotif Volkswagen di Shah Alam.
AKADEMI Latihan Automotif Volkswagen di Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 6:20 AM