XC40 elektrik sepenuhnya bakal dilancarkan tahun hadapan.
XC40 elektrik sepenuhnya bakal dilancarkan tahun hadapan.
Lizam Ridzuan

VOLVO Car Malaysia mengumumkan pelantikan Pengarah Urusannya yang baru, Charles Frump menggantikan Nalin Jalin yang berkhidmat daripada 2019 sehingga 2020 baru-baru ini.

Beliau yang bertugas di Volvo Auto India dengan jawatan sama sejak 2017 memainkan peranan penting memacu pertumbuhan pasaran dan pendapatan Volvo dalam segmen kereta mewah di India.

Menerusi temu bual oleh Vroom baru-baru ini, katanya, di India, Volvo berada dalam segmen ultra mewah yang merangkumi satu peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) di sana.

"Pasaran sangat kompetitif dengan setiap pengeluar mempunyai model-model terbaik namun itulah cabaran untuk menjadikan kenderaan jenama Volvo ini setanding dengan jenama-jenama premium dari Jerman.

"Ia banyak memberi pengalaman baharu kepada saya bagaimana mahu mensasarkan golongan pembeli yang berpendapatan tinggi pada jumlah yang sangat minimum daripada 1.4 bilion rakyat negara itu," katanya.

Penguasaan pasaran, perkembangan jenama serta penerimaan jenama Volvo juga kini semakin meningkat di India dengan penawaran produk pada harga yang bertepatan.

Ia antara yang berjaya dilakukannya menjadikan jenama kenderaan dari Sweden itu antara pilihan utama segmen berkenaan di India.

Oleh kerana tiba di negara ini ketika negara sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Ogos lalu, maka banyak usaha dan pendekatan yang perlu dilakukannya selepas industri kembali dibuka.

"Sasaran jangka pendek saya ialah mahu menyerahkan kenderaan dengan seberapa segera yang mungkin kepada pembeli selepas tertangguh akibat pandemik.

"Semua model baharu termasuk XC40 PHEV hanya bakal dilancarkan pada tahun hadapan yang mana tumpuan utama saya sekarang ialah memastikan pelanggan memiliki kenderaan secepat mungkin," katanya.

Frump berkata, semua teknologi enjin pembakaran bahan api termasuk pengecas turbo kini sudah dihentikan dan segala pelaburan serta teknologi syarikat kini tertumpu ke arah penghasilan mobiliti elektrik.

Ia susulan pengumuman global Volvo untuk menjadi syarikat elektrik sepenuhnya pada 2030 dan usahanya memastikan syarikat di Malaysia selari dengan usaha ini.

Frump memiliki ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dalam Pemasaran Antarabangsa dari UCLA Anderson School of Management, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) dan menamatkan pengajian sarjana muda dalam bidang ekonomi dan matematik dari St Olaf College, Minnesota, AS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 6:35 AM