Lizam Ridzuan


BOLIDE khusus untuk litar sahaja.
BOLIDE khusus untuk litar sahaja.

DIDEDAHKAN pada tahun lalu, Bugatti Bolide dibangunkan sebagai sebuah konsep 'hypercar' dan ia difokuskan untuk kegunaan di litar perlumbaan.

Teka-teki sama ada ia bakal ditawarkan untuk jualan atau tidak akhirnya terjawab baru-baru ini apabila Bugatti menyatakan jentera ini sudah bersedia untuk dikeluarkan.

Namun, ia bukan dibina untuk jualan umum, hanya terhad sebanyak 40 unit eksklusif buat peminat dan pengumpul jenama pengeluar hypercar dari Perancis ini.

Bolide bakal dilengkapi enjin 8.0 liter W16 seperti yang terdapat pada model Chiron dengan empat pengecas turbo yang menjana 1,825 kuasa kuda (hp) dan tork 1,850Nm.

Keseluruhan jentera seberat 1,240 kilogram (kg) dengan nisbah berat ke kuasa 0.9kg ketika menggunakan bahan api RON 98.

Menerusi pacuan semua roda (AWD) dan transmisi tujuh kelajuan DSG, ia mampu memecut daripada sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 2.17 saat.

Untuk dimensi, ia sepanjang 4,756 milimeter (mm), lebar 1,998mm, tinggi 995mm, jarak asas roda 2,750mm dan kelegaan jalan pula 75mm.

EMPAT ekzos setiap satu untuk pengecas turbo.
EMPAT ekzos setiap satu untuk pengecas turbo.

Ia dibangunkan dengan casis monocoque ringan daripada karbon dan gentian karbon.

Setiap satu gentian mempunyai kekuatan regangan 6,750 newton setiap milimeter persegi dan kekukuhan pada 350,000 newton setiap milimeter persegi yang kebiasaannya digunakan dalam industri aeroangkasa.

Kerangka belakang dengan keluli yang dikimpal menawarkan kekuataan tegangan 1,200 newton milimeter setiap persegi.

Walaupun ketebalan dinding hanya satu milimeter, ia menggunakan keluli tahan karat berkekuatan tinggi yang hanya digunakan dalam dunia penerbangan.

Ia juga tampil dengan padanan menarik dengan rim magnesium OZ Racing bersaiz 18 inci gaya bilah turbin.

RUANG dalaman ringkas material gentian karbon.
RUANG dalaman ringkas material gentian karbon.

Pengarah Rekaan Bugatti Achim Anscheidt berkata, ciri minimalis dengan falsafah gaya 'form follows performance' adalah pendekatan yang digunakan dalam menghasilkan Bolide yang diasaskan daripada enjin sedia ada daripada model Chiron.

"Peluang ini umpama mimpi jadi nyata selepas berkhidmat 17 tahun di Bugatti, akhirnya usaha menghasilkan sebuah projek eksperimen menjadi realiti.

"Oleh kerana ia untuk kegunaan litar, maka kami lebih bebas untuk menjadikan rekaannya lebih agresif tanpa terlalu terikat dengan peraturan yang perlu diikuti jika menghasilkan kenderaan jalanan," katanya.

RIM titanium gaya bilah turbin.
RIM titanium gaya bilah turbin.

Walaupun dengan ciri prestasi dan kelajuan, Bugatti Bolide didatangkan dengan standard keselamatan antarabangsa yang ditetapkan oleh FIA.

Kereta sports hyper ini yangg hanya boleh digunakan di litar akan melalui proses pengeluaran dalam tempoh tiga tahun dan bakal diserahkan kepada pemilik pada 2024 dengan setiap unit ditawarkan pada harga kira-kira RM16.97 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 7:00 AM